AHAD, 26 Disember 2004 adalah hari yang tidak akan dilupakan oleh kebanyakan daripada kita. Satu hari yang mengelirukan banyak orang. Satu hari yang menyaksikan jujuran air mata akibat banyaknya nyawa terkorban. Hari inilah, ombak besar tsunami menghempas daratan. Akibatnya Indonesia, Sri Lanka, Thailand, India, Myanmar, Maldives dan Malaysia merasakan bahananya.
Semalam genap sebulan peristiwa itu. Kehilangan nyawa dan harta benda akibat tsunami bukan sedikit. Hingga 23 Januari lalu, angka kematian melepasi 227,000 orang. Indonesia adalah negara yang paling teruk dilanda malapetaka itu dengan 173,981 mangsa disahkan terkorban setakat ini. Kebanyakan mangsa ini kehilangan segala-galanya. Oleh itu, pelbagai
bantuan amat mereka perlukan.
Bangga dan terharu bukan kepalang kerana Malaysia (melalui usaha Pasukan Mercy Malaysia) adalah pasukan bantuan yang pertama tiba di Aceh, Indonesia. Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood walaupun berkata tiada apa yang hendak dibanggakan, tindakan cepat mereka harus menerima pujian.
Pada masa sama di tanah air, mangsa tidak diabaikan. Beribu-ribu tangan dengan rela hati menghulurkan bantuan yang diperlukan. Ada yang menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga dan masa. Tenaga dan masa ini diperuntukkan untuk memenuhi keperluan mangsa. Mereka diberikan kata-kata semangat untuk membina kehidupan semula. Bagi yang menghadapi trauma, khidmat kaunseling dihulurkan.
Bukan itu saja, wang ringgit, pakaian, makanan dan ubat-ubatan juga diberikan. Daripada seorang pemimpin, usahawan hingga pelajar, bantuan tidak henti-henti diutuskan. Hasilnya, hingga kini, puluhan juta ringgit dikutip oleh pelbagai organisasi.
Tatkala melihatkan semangat yang ditunjukkan ini, timbul rasa bangga. Inilah semangat masyarakat prihatin Malaysia. Semangat yang suatu ketika dulu dikhuatiri hilang, rupa-rupanya belum pupus. Kesepaduan ini jarang sekali dapat dilihat. Oleh itu, bagi penulis, peluang ini sangat membanggakan dan akan dikenang setiap masa.
Banyaknya bantuan membuktikan bahawa masyarakat Malaysia bukan saja warga prihatin, malah penyayang. Kita sendiri merasakan betapa sukarnya menghadapi malapetaka ini. Apatah lagi, mangsa bencana itu. Ia walaupun tidak dapat mengembalikan segala milik mereka, bantuan ini diharapkan akan dapat mengurangkan kesengsaraan itu.
Pada masa sama, sokongan yang dihulurkan membuktikan kesatuan hati rakyat Malaysia. Pada ketika inilah kita dapat melihat betapa rupa, bangsa dan agama bukanlah satu ukuran penting. Tidak kira siapa mangsa itu, bantuan diberikan tanpa banyak persoalan. Kesepaduan inilah yang jarang dapat kita tunjukkan dan saksikan.
Renungi hadis riwayat Abdullah bin Umar yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah saw sedang berdiri di atas mimbar. Baginda memperkatakan mengenai sedekah dan menjaga diri daripada meminta-minta. Baginda bersabda: Tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas adalah yang memberi manakala yang berada di bawah adalah tangan yang meminta.”(Sahih Muslim)
Hadis ini jelas membuktikan betapa mulianya sikap suka memberi bantuan. Malahan, insan murah hati ini memperoleh kedudukan yang tinggi di sisi. Begitu pun, dalam Islam, sedekah atau bantuan yang dihulur hendaklah semata-mata kerana Allah. Sikap bersedekah untuk menunjuk-nunjuk diibaratkan “…seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian
batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi)…” (Surah al-Baqarah, ayat 264)
Dengan kata lain, memberi bantuan dengan niat yang salah adalah sia-sia saja kerana tidak mendapat keredaan Yang Maha Kuasa. Namun, dalam ayat 271, Surah al-Baqarah menerangkan bahawa: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan
sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Dengan ayat ini, fahamlah kita bahawa jika niat memberi sedekah itu betul, tidak kira apa cara sekalipun iaitu sama ada secara terang-terangan atau tidak, sedekah ini tetap akan mendapat balasan baik.
Justeru, sikap prihatin yang ditunjukkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebenarnya memberikan kesan positif kepada generasi muda.
Penulis bangga melihatkan anak-anak kecil turut memberikan sumbangan kepada mangsa tsunami. Mungkin, anak-anak kecil ini turut merasakan kesengsaraan yang dialami oleh rakan sebaya.
Seluruh keadaan ini sebenarnya akan memberikan satu bentuk pendidikan kepada anak-anak kita. Mereka akan mempelajari bahawa sikap tolong-menolong penting dan harus dijadikan amalan hidup. Anak-anak kecil sangat mudah diajar. Jika kita telah menerapkan semangat ini kepada generasi muda, maka dengan izin Allah mereka akan menjadi generasi yang suka
membantu orang lain.
Sayangnya dalam kesibukan menghulurkan bantuan, ada juga berita yang membuatkan kita terkedu apabila membacanya. Ada antara pemberi bantuan (dalam bentuk barangan) yang mengambil peluang ini untuk membuang barangan yang tidak mereka perlukan lagi. Hal ini adalah sikap yang tidak baik dan tidak harus dijadikan amalan. Mereka ini hanya menyusah dan mencemarkan usaha mulia orang lain.
Oleh itu, berilah bantuan sepatutnya. Jangan susahkan orang lain semata-mata kerana kita hendak memudahkan diri sendiri.
Amalan memberi bantuan harus dijadikan budaya rakyat Malaysia. Sikap sebegini sebenarnya selari dengan matlamat membentuk masyarakat Islam Hadhari iaitu satu masyarakat yang membangun dengan mengekalkan nilai murni yang utuh.
Sebuah negara maju yang mempunyai masyarakat sebegini adalah `sebenar-benarnya’ sebuah negara maju.
Namun begitu, jangan memilih bulu ketika memberi bantuan. Dengan kata lain, jangan sekadar menghulur bantuan untuk kejadian besar saja. Bantuan juga diperlukan untuk kes yang lebih kecil dan mungkin tidak mendapat publisiti meluas media. Misalnya, bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim, bekas penagih dadah, mahu pun mangsa HIV/Aids. Golongan sebegini juga memerlukan bantuan fizikal dan tiupan semangat untuk meneruskan kehidupan
mereka.
Memberi bantuan dalam apa juga bentuk dituntut dalam Islam. Bantuan tidak terhad kepada orang Islam, malah melangkaui sempadan rupa, agama, bangsa dan negara. Rakyat Malaysia membuktikannya. Sekali lagi, ucapan setinggi tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin dan penyayang.