Tabiat makan melambangkan peribadi seseorang. Sebagaimana ungkapan yang seringkali kita dengar iaitu “you are what you eat”. Namun begitu, ramai yang tidak menitikberatkan tentang hal ini. Di samping mementingkan pemakanan yang sihat dan seimbang, sebagai orang Islam, kita perlulah mendapatkan makanan yang menjadi darah daging kita daripada sumber yang halal dan bukannya sumber haram. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam tafsirnya, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi manusia” [Surah Al Baqarah: 168].
Menyentuh tentang status pemakanan masyarakat Malaysia kini, boleh dikatakan buruk kerana masyarakat kita terlalu mewah dengan segala jenis makanan. Pelbagai jenis juadah makanan yang dimakan oleh setiap daripada kita saban hari kadangkala mengundang pelbagai jenis penyakit yang jelas merbahaya. Namun begitu, masyarakat kita masih memandang enteng tentang hal ini. Juadah yang disediakan seringkali mengandungi kolesterol dan lemak yang tinggi, gula dan garam berlebihan dan mengandungi bahan yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan kita.
Seandainya kita sebagai hamba Allah tidak menjaga kesihatan yang sewajarnya, bagaimana mampu untuk kita menjalankan taklif yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah. Badan yang sihat datangnya daripada pemakanan yang baik dan sihat juga boleh memberikan kekuatan kepada kita menjalani ibadah seharian sama ada bekerja mahupun belajar.
Satu lagi faktor yang menyumbang kepada status pemakanan kita ialah senaman. Tabiat bersenam juga dianggap remeh oleh masyarakat Malaysia menyebabkan ramai di antara kita kurang aktif dan tidak mengamalkan riadah dalam kehidupan seharian. Gambaran yang lazim berlaku di kalangan kita ialah keluar bekerja pagi, balik bekerja malam hari tanpa memikirkan kesihatan dan meluangkan masa untuk beriadah. Gaya hidup malas dan tidak mementingkan pemakanan yang sihat boleh menyumbang kepada kita persekitaran yang tidak sihat dan menyediakan keadaan yang amat berguna kepada gejala penyakit yang berkaitan dengan makanan seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan juga obesiti.
Akibat tempias daripada pembangunan ekonomi negara dan terpengaruh dengan budaya pemakanan Barat, masyarakat kita lebih mementingkan pengambilan makanan segera berbanding mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kekangan masa menyebabkan ramai di antara kita lebih gemar memilih makanan segera tanpa memikirkan status kesihatan mereka. Ini ditambah lagi dengan kemunculan pelbagai restoran makanan segera yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan menggalakkan lagi pengambilan makanan segera yang sudah semestinya membawa pelbagai penyakit. Jika dilihat kini, satu situasi yang terbalik apabila masyarakat di barat sudah pun menyedari akan hal ini dan berusaha untuk mendidik masyarakat mereka mengamalkan tabiat makan yang sihat dan seimbang tetapi berbeza dengan masyarakat Malaysia yang berlumba-lumba untuk menjadikan makanan segera tersebut sebagai juadah harian dan menggantikan makanan budaya dulu, dengan alasan mudah, cepat dan sedap. Inilah yang perlu diubah dalam setiap jiwa generasi kita. Kalau sejak daripada kecil, kanak-kanak sudah disogokkan dengan makanan yang tidak berkhasiat dan tabiat makan yang tidak baik maka membesarlah mereka dengan seribu macam kemungkinan masalah kesihatan.
Kita perlu anjakkan pemikiran, bahawa tidak semestinya yang mudah itu berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Kita perlu korbankan selera kita untuk memastikan kesihatan tubuh yang baik dan kesinambungan generasi yang sihat. Peranan kerajaan yang perlu dimainkan cukup hebat di mana ia perlu mendidik masyarakat Malaysia supaya bersungguh-sungguh mengamalkan budaya pemakanan yang sihat dan seimbang dan perlu menetapkan dasar supaya rakyatnya mementingkan sifat penjagaan kesihatan. Kita perlu sedar di mana, penjagaan pemakanan yang seimbang merupakan satu langkah pencegahan penyakit. Ini kerana makanan yang kita makan setiap hari memberi kesan yang besar terhadap status kesihatan seseorang. Kita selalu mendengar ungkapan mencegah itu lebih baik daripada mengubat. Hubungkaitnya ialah menjaga pemakanan kita adalah lebih baik daripada rawatan penyakit. Kenapa kita mesti tunggu sakit dahulu untuk dirawat sedangkan tidak menjaga pemakanan supaya kesihatan lebih terjamin? Lagipun, jika difikirkan kos merawat itu lebih tinggi berbanding kos mencegah. Kenapa kita tidak berusaha untuk mengubah tabiat ke arah mencegah timbulnya penyakit?
Masyarakat kita sekarang terlalu sibuk mengejar duniawi sehingga kadangkala mengorbankan waktu makan. Sebab itulah mereka lebih terdorong untuk mengambil makanan segera. Disinilah silapnya kita, sibuk dengan urusan, pemakanan tidak seimbang dan tidak berkhasiat yang memberi kesan kepada kesihatan dan seterusnya hubungan kita dengan Allah juga terjejas akibat kesihatan yang tidak dititikberatkan. Apakata, kita ubah tabiat kita untuk berubah kepada penjagaan pemakanan yang seimbang untuk kepentingan dunia dan akhirat. Sepertimana pepatah arab yang membawa maksud “akal yang cerdas berada di badan yang cergas”.
Dalam pada itu, kita juga perlu mendidik generasi muda dan mengubah tingkah laku pemakanan kanak- kanak dengan mendidik mereka memilih makanan yang berkhasiat berbanding dengan makanan ringan dan segera. Ini kerana ia menyumbang kepada penyakit apabila dewasa kelak contohnya obesiti kanak-kanak yang mencatatkan angka yang tinggi di negara maju. Kita perlu sedar bahawa obesiti bukan sekadar masalah dari segi rupa luaran ataupun zahir tetapi juga merupakan penyakit yang kronik. Ramai yang beranggapan, obesiti hanyalah pada zahirnya tetapi tidak mengetahui akan kesan buruk terhadap kesihatan. Oleh itu, ramai yang menggunakan pil pelangsing atau krim yang berlambak di pasaran kini untuk kepentingan kosmetik tetapi tidak menyedari bahawa kaedah yang paling selamat untuk mengatasinya ialah menjaga pemakanan, amalan senaman yang berskala dan mengamalkan cara hidup yang sihat. Sesungguhnya, kita memerlukan satu pendekatan yang serius dan bersepadu bagi mengatasi masalah yang makin meruncing kini. Sejajar dengan itu, kita seharusnya mencontohi sunnah Rasulullah iaitu makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jika ini diamalkan, kita dapat melihat kesannya yang baik, sama ada untuk kesihatan mahupun ibadah kita kepada Allah.