Mulai 15 Oktober lalu sehingga 29 Januari depan sebanyak 23 barang telah diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga Barang-Barang Pengguna Tahun 2005/2006 sempena sambutan Deepavali, Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru China. Dalam tempoh hampir lima bulan itu, harga runcit maksimum barang kawalan berkenaan diguna pakai di semua 138 daerah di seluruh negara. Barang itu termasuk ayam “standard”, ayam “super”, daging lembu tempatan, daging kerbau import, daging kambing tempatan, ikan bawal putih, udang putih besar, telur ayam Gred A dan telur ayam Gred B. Turut disenaraikan, kacang panjang, kubis bulat, cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil, ubi kentang dan tomato.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal yakin skim itu dapat memberi manfaat kepada pengguna kerana kebanyakan barang ditetapkan pada harga sama dengan pasaran semasa, malah lebih murah. Dilihat pada senarai harga barang yang dikeluarkan, 921 harga, atau 29 peratus daripada 3174 harga yang ditetapkan bagi 23 barangan kawalan seperti diumumkan itu, dilihat mencatat kenaikan berbanding harga pasaran. Selain itu, 626 harga, atau 19.7 peratus daripada 3174 harga yang ditetapkan diletakkan pada harga runcit lebih rendah daripada pasaran semasa; manakala 1627 harga lain adalah menyamai harga jualan semasa. Shafie berkata langkah menetapkan harga barang lebih tinggi daripada harga semasa diambil bagi menyeragamkan harga barang di semua daerah. Malah harga bagi semua gred telur ayam diseragamkan iaitu telur gred A berharga 30 sen sebiji, gred B 29 sen dan Gred C 28 sen serta RM 4 bagi sekilogram kubis panjang China berkuatkuasa pada tempoh sama.
Shafie berkata, mekanisme yang digunakan bagi menetapkan harga maksimum runcit adalah berdasarkan pemantauan harga dua minggu sekali di semua daerah mulai 1 Mei lalu sehingga 31 Ogos. [“Kita juga membuat pemantauan harga harian sepanjang September lalu selain mendapat pandangan agensi kerajaan serta sesi perbincangan dengan pengimpot,pengeluar, pembekal, pemborong, persatuan peniaga dan pengguna,” katanya].
Penetapan harga runcit maksimum barangan itu dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Kawalan Harga 1946. Mengikut Seksyen 6 Akta yang sama, tindakan tegas boleh diambil jika terdapat peniaga yang menjual melebihi harga maksimum runcit ditetapkan, berniaga barang harga terkawal tanpa lesen dan gagal meletakkan tanda harga menggunakan papan warna merah jambu. Bagi orang perseorangan, mereka boleh didenda sehingga RM 15000 atau dua tahun penjara. Kesalahan ini juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM 7500. Syarikat pula boleh dikenakan denda maksimum RM25000.
Mengikut Shafie, kementeriannya akan memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorokkan bekalan untuk menyelewengkan harga. Para pembekal dan agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA), Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi jaminan bekalan barang-barang perlu mencukupi bagi menampung keperluan semasa musim perayaan, katanya.
Di dalam Islam, segala yang berkaitan barang atau perkhidmatan mesti dijelaskan oleh peniaga tanpa menyembunyikan kecacatan, mutu dan harga berpatutan. Akhlak yang amat dituntut kepada peniaga ialah amanah dan jujur. Seorang peniaga perlu amanah dalam menyampaikan semua maklumat tentang produknya kepada pelanggan. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud:
Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir, selagi mereka belum terpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat berkat dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatan. (Hadis riwayat Muslim).
Sebenarnya di antara peniaga dengan pembeli saling memerlukan, tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga. Hubungan ini mewujudkan satu ikatan menjaga kepentingan pihak yang satu lagi, selain untuk kepentingan sendiri. Ikatan ini juga disebut kontrak sosial atau satu perjanjian tidak bertulis yang wujud di antara kedua-dua pihak. Setiap pihak yang mengikat “perjanjian” ini mesti mematuhinya. Peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan sebenarnya telah mengkhianati perjanjian tersebut dan hukum Allah.
Islam telah menetapkan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh peniaga dan pembeli untuk mengelak berlakunya penindasan. Syarat paling penting dalam urus niaga ialah suka sama suka atas tujuan saling mendapat kebaikannya. Ini dapat dilihat di dalam firman Allah, Surah an-Nisa, Ayat 29. Islam amat mementingkan adab dalam perniagaan dan peniaga yang jujur akan dibalas syurga, seperti sabda Rasulullah bermaksud:
“Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid”(Hadis riwayat Tarmizi dan Hakim).
Ini adalah kali pertama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) menguatkuasakan kawalan harga pada musim perayaan dalam tempoh yang begitu panjang. Sebelum ini, ia hanya untuk tempoh satu atau dua bulan. Langkah kawalan harga sehingga awal tahun depan itu baik bagi mengelakkan peniaga, termasuk pemborong daripada mengaut keuntungan berlebihan, terutama pada musim perayaan. Namun, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata, jumlah 23 barang masih tidak mencukupi tetapi menerima baik usaha kerajaan dalam menyelaraskan harga barang di 138 daerah seluruh negara.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa kurang yakin dengan rancangan penetapan kawalan harga barangan jika penguatkuasaan tidak dilakukan dengan serius. Skim kawalan harga ini tidak akan berkesan jika tidak ada tindakan susulan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan kerajaan dan tidak meletakkan harga pada kadar yang tinggi. Oleh itu diharapkan sebanyak 14000 Sukarelawan Pemantau Harga(SPH) dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dengan memantau dan membuat laporan kepada KPDNHEP jika terdapat peniaga yang degil yang menaikkan harga atau tidak meletakkan tanda harga.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga akan memantau 23 barang yang diletakkan mengikut skim Kawalan Harga Barang-Barang Pengguna Tahun 2005/2006, supaya peniaga mengikut arahan kerajaan melalui penetapan harga yang disyorkan. Presiden Fomca, N Marimuthu berkata, Fomca akan mengarahkan pasukan pemantauan mereka melakukan pemerhatian dan membuat aduan kepada kerajaan jika ada pihak gagal mengikut perintah itu.
Perlu ditekankan disini bahawa dalam sistem ekonomi Islam, kerajaan berhak campur tangan terhadap pasaran akibat penyelewengan dan penipuan yang mencetuskan inflasi atau kekurangan keperluan asas. Kerajaan diberi amanah untuk memastikan batas-batas harga yang berpatutan atau adil, dan melarang aktiviti ekonomi yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Hal ini dapat dilihat dari awal kerajaan Islam, yang disebut oleh Dr Abdul Qadir Husaini(1966) di dalam bukunya, Arab Administration. Khalifah Ali bin Abi Thalib telah pergi sendiri ke pasar Kufah untuk mengawal timbangan yang digunakan dan beliau benar-benar mempastikan bahawa tidak ada seorang pun yang berasa ditipu.
Pengguna juga ada peranannya dalam hal ini. Mungkin terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang berikutan kenaikan harga minyak walaupun tiada kesan ketara ke atas produk mereka. Selain kawalan harga yang ditetapkan, penipuan boleh juga berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk dari segi timbangan dan kualiti barang. Peniaga atau peruncit berkenaan mungkin masih mengikut harga ditetapkan, tetapi mempunyai kualiti kurang baik. Justeru pengguna perlu memainkan peranan dan perlu tahu dan bijak menggunakan hak mereka jika ada peniaga yang cuba menipu. Orang ramai patut menjadi “mata dan telinga” KPDNHEP dengan membuat laporan terhadap peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan skim berkenaan.
Dalam hal ini Islam telah menetapkan kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar tanpa pilih kasih. Pembeli yang ditindas seharusnya berhak mendapat keadilan melalui satu sistem yang bebas dan berwibawa.