Automasi yang diistilahkan sebagai ‘penggunaan secara secara meluas alat-alat automatik di dalam sistem pembuatan atau proses-proses pengeluaran’ terbukti berguna dalam mengambil alih kerja-kerja berat dan bahaya untuk dilaksanakan oleh manusia termasuklah perlombongan, pembinaan struktur besar, dan kerja-kerja penyelamatan dalam kebakaran dan kemalangan.
Stephen Hawking, seorang ahli fizik teori terkemuka di Barat, menyatakan pada 2015: “Sekiranya jentera menghasilkan segala keperluan kita, maka hasilnya akan bergantung kepada bagaimana barang keperluan diagihkan. Semua orang boleh menikmati kehidupan yang bersenang-lenang dan bermewah-mewahan sekiranya kekayaan hasil jentera dikongsi bersama, atau semua orang akan menderita kemiskinan sekiranya para pemilik jentera berjaya melobi menentang pengagihan kekayaan. Setakat ini, gayanya lebih menjurus kepada keadaan yang kedua, dengan teknologi memacu ke arah ketidaksamaan yang kian meningkat.”
Ramalan tentang teknologi dan automasi bakal mengambil-alih kerja-kerja manusia telahpun dibuat sejak 1930-an lagi oleh seorang pemikir dan ahli falsafah teknologi Amerika, Lewis Mumford, di dalam karya-karya besar beliau Technics and Civilization dan seterusnya The Myth of the Machine.
Keghairahan menuju kepada ekonomi berintensifkan modal mewujudkan jurang kekayaan besar yang kian meningkat disebabkan kehilangan pekerjaan disebabkan automasi. Hindustan Times melaporkan pada Disember 2016 bahawa peratus pengangguran tinggi di negara-negara Eropah, seperti Itali sebanyak 33% dan Sepanyol sebanyak 44%. Laporan Oxfam, An economy for the 99 percent, yang dibincangkan di dalam Davos Summit menyebutkan bahawa di dunia kekayaan 3.6 bilion manusia kini bertumpu di tangan hanya 8 orang. Tampaknya Barat terlampau mementingkan kemajuan sains dan teknologi sehingga gaya terkini seolah-olah mereka sanggup menggantikan seluruh tenaga kerja dengan automasi dan robot sekiranya boleh.
Automasi bukanlah masalah yang baharu di dalam sejarah peradaban Islam. ‘Ilm al-hiyal ialah disiplin membina automasi terawal yang dikenal sebagai al-alat al-mutaharrik bi dhatiha (alat yang bergerak dengan sendirinya). Namun, Islam menekankan peranan manusia itu sendiri dalam memakmurkan alam yang menjadi pekerjaan baginya. Kerja menjadi suatu perkara yang mulia dan tiada terpisah dari ibadah kepada Pencipta yang menjadikannya. Firman Allah ‘azza wa jalla dalam Surah al-Mulk “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Bahkan, setiap hari orang Islam mengikrarkan “Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hayatku, dan matiku adalah untuk Allah Tuhan Sekalian Alam” (Surah al-An‘am:162).
Hari ini kita lebih memerlukan kebijaksanaan para ‘ulama terdahulu yang terakam di dalam karya-karya penting seperti Al-Hathth ‘ala al- Tijarah wa-al-Sina’ah wa-al-‘Amal oleh al-Khallal dan Kitab Adab al-Kasb wa’l-Ma‘ash oleh Imam al-Ghazali dalam membimbing pertimbangan keperluan automasi dan kerja.