Peristiwa ombak besar atau tsunami merupakan satu bencana alam yang belum pernah lagi berlaku di negara ini. Kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004 lalu merupakan yang julung-julung kali dan ia amat mengejutkan seluruh negara dan dunia amnya. Ini kerana banyak negara lain terutamanya di rantau Asia telah terlibat dan menerima banyak kesan kemusnahan akibat bencana ini. Kejadian yang berlaku ini telah mengundang pelbagai tafsiran berhubung punca kejadian dan mengapa ia berlaku, sama ada yang ditafsirkan oleh pihak berkuasa mahupun orang perseorangan. Dan setiap individu pula akan bertindak menurut apa yang mereka fikirkan atau tafsirkan. atau pun menurut pentafsiran oleh pihak berkuasa kerana sebarang tafsiran berkaitan kejadian ini akan turut memberi kesan antara satu sama lain.
Bencana ombak besar ini merupakan satu kejadian yang tidak pernah terduga oleh setiap penduduk negara ini kerana Malaysia sememangnya bebas dari lingkaran gempa bumi yang mampu mencetuskan tsunami berbanding Indonesia atau Jepun jika punca kejadian adalah dikaitkan dengan gempa bumi atau tanah runtuh. Dalam Islam, setiap umatnya dididik bahawa sebarang kejadian dahsyat atau malapetaka adalah ketentuan dan takdir Ilahi dan hanya Dia sahaja yang Amat Mengetahui sebarang kejadian yang belum atau akan berlaku. Dan malapetaka itu berlaku tanpa pengecualian, iaitu tidak hanya menimpa golongan yang ingkar, tetapi turut menimpa golongan yang taat dan boleh berlaku di mana-mana sahaja yang Dia kehendaki, walaupun di tempat yang dikategorikan sebagai ‘zon selamat’. Bencana atau musibah yang diturunkan itu pula wajar dilihat sebagai ujian kepada umat manusia supaya mereka lebih bersyukur dan berakhlak mulia dan menerimanya dengan penuh redha, di samping sebagai penghapus dosa mereka selama ini. Pendek kata, terdapat perbezaan dari segi tanggapan, pemikiran dan tindakan di sebalik kejadian yang berlaku di kalangan orang ramai. Tanggapan ini turut memberi kesan terhadap cara dan kaedah masyarakat setempat bertindak dalam menangani bencana ini seperti penerimaan mereka terhadap peristiwa yang berlaku di samping persediaan mereka sama ada dari segi mental dan emosi, mahupun dalam aspek persediaan kecanggihan sistem teknologinya. Sebagai sebuah negara yang dikategorikan ‘sentiasa selamat’ dari sebarang bencana gempa bumi mahupun letupan gunung berapi atau taufan besar, negara dan masyarakat telah mengambil langkah selesa dengan tiada persediaan baik dari aspek mental dan emosi, mahupun dalam langkah-langkah logistik kerana menganggapnya sebagai tidak relevan atau bebanan kos. Oleh yang demikian, kejadian bencana seperti tsunami itu sudah pasti memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan setiap lapisan masyarakat yang terlibat di negara ini, lebih-lebih lagi kepada para mangsa.
Sokongan orang ramai yang memberi bantuan secara sukarela kepada mangsa kejadian adalah satu amalan murni. Namun ketika menghulurkan bantuan emosi dan mental mangsa, keadaan mereka perlu difahami dahulu secara terperinci agar bentuk bantuan yang diberi bertepatan dengan keperluan mangsa di samping dapat memelihara standard profesionalisme bantuan yang dihulurkan. Sebenarnya dalam usaha memberi rawatan dan pemulihan mangsa trauma, huluran bantuan merupakan langkah awal kepada proses pemulihan terutamanya penyembuhan aspek mental dan emosi. Pada umumnya, mangsa dalam kejadian ini masih lagi berada dalam keadaan terkejut dan trauma kerana amat tidak menyangka sama sekali bahawa mereka terlibat dalam satu bencana yang amat dahsyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Mana-mana individu memang tidak mahu perkara buruk berlaku dalam diri mereka kerana ia amat menjejaskan kestabilan mental dan emosi mereka. Lebih-lebih lagi peristiwa yang berlaku buat pertama kali dalam bentuk yang menakutkan, mengerikan atau menyayat hati dan datangnya secara mengejut tanpa diundang akan mengakibatkan persediaan mental menjadi kurang mantap. Lantaran itu, terdapat di kalangan mereka yang terus mempersoalkan mengapa mereka atau keluarga mereka yang menjadi mangsa dan bukannya orang lain atau di tempat lain. Mereka menafikannya dan tidak dapat menerima hakikat kejadian tersebut. Namun terdapat juga segelintir mangsa yang menerima hakikat bencana ini, tetapi tindakan mereka yang menolak terus sebarang bantuan yang sepatutnya mereka terima dan beranggapan mereka seolah-olah tidak mengalami apa-apa yang membimbangkan adalah menggambarkan bahawa mereka turut menafikan diri mereka juga adalah sebahagian daripada mangsa dan tidak menerima hakikat kejadian yang berlaku. Seterusnya di kalangan mangsa terbabit akan terdapat kecenderungan yang biasa dialami oleh mana-mana mangsa trauma lain iaitu mereka akan terus melihat bahawa bencana yang berlaku sebagai satu bebanan amat hebat dalam kehidupan. Keyakinan mereka terhadap kehidupan semakin pudar lalu menjadikan aktiviti kehidupan bertukar hambar. Ada yang berkemungkinan untuk tidak meneruskan hidup lagi kerana sudah tiada harapan pada kehidupan. Usaha pemulihan dengan memperbetulkan persepsi dan perspektif minda mereka bahawa bencana yang berlaku adalah ujian bagi membina sebuah kehidupan baru yang lebih bermakna lagi akan menjadi lebih berhasil sekiranya sokongan kepada pemulihan kemusnahan harta benda turut seiring.
Selain dari terjejasnya kestabilan fungsi mental, mangsa trauma bencana ini juga akan mengalami ketidakstabilan emosi. Sebarang perubahan pada kestabilan emosi yang dialami mangsa berhubung rapat dengan kesan yang mereka alami akibat bencana di samping berapa lama jangka masa mereka terdedah dalam bencana tersebut. Pelbagai reaksi emosi akan dialami mangsa seperti rasa sedih, kecewa, marah dan perasaan takut serta cemas. Walaupun reaksi emosi ini adalah normal apabila berhadapan dengan peristiwa yang menyedihkan atau menakutkan, ia akan mendatangkan tekanan amat ketara kepada mangsa apabila kemampuan dan tahap kawalan mereka untuk bertindak balas terhadap reaksi emosi itu amat terhad. Dalam hal ini, mangsa perlu diberi pelbagai kemahiran dan beberapa alternatif untuk meningkatkan keupayaan mereka berhadapan dengan reaksi emosi yang tidak menyenangkan. Seterusnya jangka masa pendedahan mangsa dalam bencana yang terlalu lama boleh mengakibatkan pendedahan keterlaluan kepada pengalaman traumatik yang akhirnya menjejaskan kemampuan mereka untuk mengendalikan ingatan dan igauan secara lebih berkesan lantas mencetuskan pemikiran, memori atau idea yang obsesif dan intrusif, satu lagi sumber kepada tekanan mental dan emosi yang dialami.
Tahap tekanan yang dialami mangsa sekiranya tidak difahami secara terperinci dan dilaraskan dengan betul, akan menjejaskan usaha-usaha bantuan dan pemulihan kepada mangsa trauma dan mendatangkan kesan tingkahlaku lain. Dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kejadian ini pada peringkat awal lagi merupakan pendekatan proaktif, selaras dengan usaha memartabatkan prinsip Islam hadhari bagi menjamin kehidupan yang berkualiti di kalangan rakyat jelata tanpa mengira perbezaan agama dan budaya, secara adil dan saksama.