Golongan Belia Malaysia yang ada pada hari ini adalah merupakan aset yang penting kepada agama dan negara. Negara kita memiliki jumlah belia yang ramai iaitu 11.9 juta orang daripada 28.3 juta penduduk negara kita. Ini bermakna hampir sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada golongan belia. Mereka berada dalam lingkungan umur di antara 15 hingga 39 tahun.
Sebagai satu kelompok masyarakat dengan jumlah yang besar, mereka sekali-kali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi golongan ini dilihat berpotensi dalam menuju arus pembangunan negara. Malah nilai kepentingan belia ini sebenarnya dapat diperhatikan melalui frasa-frasa yang sering dikaitkan dengan mereka seperti belia aset negara, pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara dan lain-lain lagi.
Jumlah belia yang ada ini perlu digembleng supaya mereka menjadi lebih mantap dari pelbagai aspek meliputi sahsiah dan keperibadian, intelek dan akademik, di samping pembangunan fizikal dan sosial yang cemerlang. Selain itu, dalam mencapai frasa tersebut, golongan belia atau juga dikenali sebagai golongan muda ini perlu dididik dan dibentuk sejajar dengan aspirasi Wawasan 2020 dan sebagai inspirasi pemangkin negara.
Walau bagaimanapun, golongan belia menghadapi cabaran yang sangat hebat. Mereka ini bukan sahaja terdedah kepada budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, tetapi mereka semakin diresapi dan terdedah kepada laman-laman sosial yang cukup membimbangkan. Banyak suara-suara golongan muda ini mudah diikuti terutama menerusi media sosial. Jika buat benda yang baik tidak apa. Cuma apa yang kita khuatir jika pendapat atau pandangan mereka ada yang mengikut emosi yang melampau.
Walaupun Laporan Indeks Belia Malaysia ada menyatakan bahawa salah laku yang melibatkan golongan belia berada pada tahap yang tidak membimbangkan, namun kita perlu menaruh perasaan gusar. Kegusaran ini perlu kerana sesuatu yang dikatakan tidak membimbangkan, mungkin akan sampai ke tahap yang genting jika tiada usaha pencegahan dilakukan pada peringkat awal. Kegusaran juga akan bertambah dengan masalah yang ditunjukkan di laman sosial sekarang yang ada segelintirnya menghina nabi, ada juga yang cuba bergambar dengan berpakaian tidak senonoh terdedah sini sana, gaya penulisan yang keterlaluan mengikut emosi dengan memaki hamun dan ini sekaligus mencemar budaya dan akhlak belia itu sendiri. Jika beginilah bentuk belia yang ada pada hari ini, negara kita sebenarnya sedang menuju kehancuran.
Jika permasalahan ini tidak dibendung, kita khuatir ia akan menular dan merebak dan seterusnya menjadi satu kebiasaan atau menjadi satu kelaziman walaupun sebelum ini ia merupakan sesuatu yang menyalahi nilai akhlak ketimuran yang kita amalkan. Imam Al Ghazali pernah berkata: “Jika kita ingin tahu corak dan rupa bentuk masa depan, maka lihatlah kepada generasi muda hari ini.“
Sehubungan itu, golongan belia ini perlu disedarkan dan diberi bimbingan yang sewajarnya agar nilai baik yang ada pada diri mereka itu dapat disuburkan dan disalurkan ke arah kebaikan.
Justeru itu, belia hari ini perlukan kepada kefahaman dalam memperkasakan ilmu. Dalam keadan-keadaan tertentu, mereka tidak boleh bertindak mengikut emosi. Sekiranya diri mereka tidak diberikan pengisian jatidiri yang betul dan kuat maka mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran pada hari ini dan akan datang.
Begitu juga, masyarakat juga perlu sedar bahawa jika golongan muda ini tidak diperlengkapkan dengan ilmu dan kemahiran maka mereka akan kehilangan penyambung kepada masa depan. Dengan kata lain golongan muda merupakan satu jaminan kepada kelangsungan fikrah dan dasar yang diwujudkan oleh golongan sebelumnya dan seterusnya mereka berperanan untuk memperkasa dan memartabatkan lagi pandangan ini.
Pada usia muda ini juga, kemampuan seseorang itu untuk ketajaman dan pemahaman fikiran serta keupayaan minda untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu pengetahuan berada pada peringkat yang terbaik. Ini juga menjadikan golongan muda ini sebagai sasaran utama pergerakan sahsiah dan kebudayaan untuk memastikan penguasaan sistem yang cuba dibentuk ke atas masyarakat berterusan.
Justeru, kemampuan yang ada pada generasi muda ini dan kekuatan pengaruh mereka di dalam sesebuah masyarakat menjadikan golongan muda sebagai aset atau harta yang paling bernilai. Di samping itu, mereka juga menjadi unsur utama yang boleh memberi kesan kepada arus pembangunan dan kemajuan masa depan.
Dalam hal ini, pandangan hidup Islam turut sependapat bahawa kemampuan yang ada pada diri belia ini serta peranan mereka dalam menentukan hala tuju ummah adalah sesuatu yang tidak boleh diragukan sama sekali.
Bahkan agama Islam menerusi ajaran al-Quran dan hadis memang menghargai dan memberi penekanan terhadap kepentingan golongan muda dalam membantu membangunkan peradaban bangsa dan agama.
Jika kita menyelusuri sirah nabi serta apa yang diceritakan dalam al-Quran, kita akan dapati bahawa golongan belia merupakan golongan yang banyak memainkan peranan untuk menegakkan syariah Allah SWT. Antaranya sebagai contoh, Nabi Yusuf a.s telah dilantik menjadi Menteri Kewangan Mesir di saat negara tersebut mengalami masalah kemarau yang teruk sewaktu berusia 30 tahun. Pada usia muda belia itu baginda berjaya mengemudi Mesir mengharungi kepayahan menguruskan ekonomi dengan bijaksana.
Melihat kepada senario hari ini, bagaimana kita dapat mengulangi kecemerlangan lampau ini jika sebahagian besar golongan belia tidak sedar akan kepentingan mereka dalam proses pembangunan ummah? Bagaimana kita boleh menjadi satu bangsa yang kuat dalam pelbagai sudut kehidupan; jika sahsiah para belia hari ini lebih mencintai hiburan berbanding keilmuan dan kemahiran? Justeru, sebagai belia Islam, keperluan ilmu dan kemahiran adalah perlu untuk mencapai sebagai belia yang berwawasan seiring dengan syariat Islami.
Namun, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, belia hari ini perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.
Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik. Usaha yang berterusan berteraskan kepada nilai-nilai dalam pembangunan insani dapat menghasilkan belia yang berketrampilan dalam semua aspek kehidupan.
Jadi bangkitlah para belia dan ambillah setiap peluang yang disediakan untuk memajukan diri dan seterusnya menjadi kelompok belia Muslim yang berguna yang dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan kemajuan ummah.