Bahang pilihanraya menghampiri kemuncaknya. Kalah atau menang adalah adat dalam pertandingan. Namun yang penting adalah perjuangan yang memacu pertumbuhan dan kestabilan negara perlu diteruskan. Masa yang masih berbaki ini perlu dimuhasabahkan agar kestabilan negara tidak tergadai kerana permusuhan yang berbaur perbezaan fahaman politik.
Walau siapa pun yang bakal menerajui kepimpinan negara, sokongan padu yang tidak berbelah bahagi perlu dicurahkan kerana yang perlu diutamakan adalah keamanan dan kemajuan negara. Kalah dan menang bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan oleh strategi dan kekuatan sesebuah pihak yang bertanding tetapi ia menggambarkan pilihan majoriti rakyat yang berpaksikan kepada ketelusan dan kewajaran dalam pemerintahan berdemokrasi. Justeru, pasca pilihanraya menentukan mandat yang diberikan oleh rakyat dapat dipikul dan dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya.
Kepimpinan dalam sesebuah negara adalah sesuatu yang murni, bukan satu imbuhan untuk diraih. Setiap pemimpin perlu tahu bahawa amanah yang diberikan merupakan tanggungjawab dan bukannya suatu kebanggaan atau kemegahan. Kemenangan yang dicapai bukanlah bermaksud mempunyai tiket untuk bebas melanggar undang-undang negara, adab dan etika yang dianjurkan dalam agama. Tetapi ia merupakan satu cabaran untuk memastikan bahawa tanggungjawab itu disempurnakan. Pemimpin yang dipilih oleh rakyat itu adalah untuk memberi khidmat kepada rakyatnya. Sepertimana yang pernah dituturkan oleh Saidina Abu Bakar ra apabila dilantik sebagai khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW; “Wahai manusia, sesungguhnya saya telah diserahkan dengan urusan kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik untuk kamu. Sekiranya saya bertindak baik, maka bantulah saya, jika saya tidak betul, luruskan saya. Kebenaran itu amanah, pendustaan itu khianat.”
Pemimpin perlu memahami dan menyedari bahawa tanggungjawab itu akan dinilai dan dibalas oleh Allah. Segala kemampuan dan kebolehan memimpin juga datang daripada Allah. Justeru pemimpin berjiwa besar perlu memahami bahawa tindak tanduk mereka akan dibalas oleh Allah dan perlu merasakan kekuasaan itu bukan hak milik mutlak mereka.
Sama ada menang atau pun kalah, tampuk kepimpinan yang dipilih oleh rakyat perlu meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara. Dakwah dan tarbiah umat juga mesti diteruskan kerana perjuangan menegakkan Islam adalah bersifat jangka panjang sehingga ke hujung nafas dan tidak terhenti disebabkan oleh kemenangan atau kekalahan. Pemimpin atau pemerintah harus bijaksana dan bukan terburu-buru dalam melaksanakan agenda masing-masing. Apa yang penting adalah hala tuju dan masa depan negara yang aman dan makmur serta mendapat keampunan dan keredhaan Allah.
Dalam mengharungi pasca pilihanraya, kita perlu berhenti mencari kesalahan dan menuding jari kepada pihak lawan tetapi bersama meluncurkan idea baru dalam meneruskan agenda pembangunan negara dan ummah. Usah jadikan perbezaan ideologi sebagai alasan untuk merencat kestabilan yang sedia ada dan menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan. Apa yang penting sekarang ialah nasib rakyat dan negara, bukannya imej dan kedudukan parti politik masing-masing.
Individu perlu matang dan bijak dalam menjalankan peranan sebagai masyarakat yang demokratik. Bukannya sering bercakaran dan bermusuhan kerana ia akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri, bangsa dan juga negara. Jika umat Islam saling bertelagah, mewujudkan pertelingkahan dan fitnah menfitnah, musuh Islam di luar sana tentu sekali tersenyum lebar dengan kegoncangan yang melatari perpaduan umat Islam itu sendiri. Justeru, masyarakat dan juga pemimpin perlu membuka minda agar tidak terjerat dengan persengketaan berpanjangan. Kesalahan perlu diperbetulkan dan keadilan juga mesti ditegakkan.
Pemerintah atau pemimpin memerlukan sokongan daripada institusi masyarakat itu sendiri dalam meneruskan agenda pentadbiran negara. Masyarakat perlu mendokong keharmonian dan perpaduan bukannya menyemarakkan kebencian antara satu sama lain. Pihak mana pun yang disokong mahupun yang dipilih, pemimpin yang terpilih itu perlu diberikan sokongan yang padu agar pembangunan negara tidak tersekat disebabkan perbezaan ideologi politik.
Kita semua saling memerlukan seperti satu binaan yang kukuh. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim).Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Setiap kelemahan boleh ditampung dengan sesuatu kelebihan dan setiap kelebihan juga pasti ada ruang kebocoran disebaliknya. Maka tiada istilah perseteruan dalam pilihanraya ini. Tetapi jadikan ia sebagai satu medan persaingan yang sihat kerana kadangkala yang dianggap musuh itu mampu memperbaiki dan menampung kelompongan yang wujud. Sejajar dengan itu, intipati daripada firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 perlu dijadikan sumber inspirasi bagi seluruh umat Islam agar tidak ghairah membudayakan permusuhan dalam masyarakat pada hari ini. “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”
Bagi sesiapa sahaja yang berada di tampuk pemerintahan, wajar melihat kemenangan itu sebagai satu amanah yang berat untuk dilaksanakan. Maka, pemerintah memerlukan masyarakat yang berpandangan terbuka dan komited.
Kewujudan kelompok ilmuwan penting sebagai kuasa pencetus idea serta agen penyemak dan pengimbang (check and balance). Ini kerana kestabilan politik, keamanan dan kemajuan negara menjadi tujuan utama dan tanggungjawab bersama tanpa mengira parti mana sekali pun. Teguran wajar diberikan dan peringatan secara adil perlu dilontarkan untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama seperti mana yang dirakamkan dalam surah al-A’la ayat 9 yang bermaksud: “Oleh itu berikanlah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran) kerana sesungguhnya ia bermanfaat.”
Justeru, siapa pun pihak yang bertanding sama ada bakal menang atau pun kalah pada pilihanraya ini, kita sebagai satu unit masyarakat perlu bersatu padu kerana sinergi yang wujud dengan kesepaduan itu akan menghasilkan satu daya tolakan yang kuat untuk memacu pertumbuhan, kestabilan dan kemakmuran negara. Perbezaan fahaman dan persengketaan yang menjadi batu penghalang itu perlu ditolak ke tepi kerana arus kemajuan yang kuat perlu diusahakan oleh seluruh masyarakat kita. Apa yang paling penting dalam pasca pilihanraya ialah mewujudkan sebuah masyarakat dinamik dan negara yang aman makmur serta mendapat kerahmatan daripada Allah SWT, natijah daripada pemimpin yang mempunyai sifat al-Qawiy (kompetensi) dan al-Amin (integriti).