“DEMI sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.
“Orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.
“Mereka itulah orang yang dilimpahi kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157)
Kemusnahan yang dibawa bencana tsunami amat terasa, terutama terhadap mangsa yang terselamat. Trauma dan tekanan emosi serta memori hitam akibat kehilangan orang tersayang serta harta benda sesuatu yang sukar untuk dikikis daripada memori mangsa hingga akhir hayat mereka.
Sebagai orang Islam, kita diajar setiap musibah adalah ujian Allah. Ini juga untuk menilai tahap kesabaran seseorang dan seterusnya membentuk daya ketahanan utuh bagi membolehkan kita menjadi Muslim yang kuat dari segi mental dan fizikal.
Di samping itu, kita perlu berfikiran positif kerana setiap yang berlaku adalah ketentuan Ilahi dan setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah bermaksud: “Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada antaranya, secara main-main.” (Surah al-Anbiya’, ayat 16)
Dari segi zahir, memang bencana dan kemusnahan memberi kesan buruk terhadap sosioekonomi. Namun, sebagai khalifah Allah di bumi, manusia perlu meneruskan kehidupan. Mungkin kita dapat bangkit daripada kemusnahan dan menjadi orang yang lebih baik daripadanya sebelumnya.
Tiada sebab untuk kita menyalahkan ketentuan Ilahi atas musibah yang berlaku. Sebaliknya, ini perlu dijadikan titik tolak untuk kita menjadi orang yang lebih kuat daripada sebelumnya.
Lihat saja apa yang berlaku kepada bangsa Jepun. Bangsa yang hampir musnah akibat Perang Dunia Kedua, tetapi bangkit daripada kemusnahan itu. Hari ini Jepun membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah bangsa maju, progresif dan inovatif.
Ini adalah contoh yang ditunjukkan bangsa bukan pengamal ajaran tauhid yang perlu kita contohi. Namun mereka berjaya kerana mengamalkan nilai positif yang dianjurkan Islam seperti tekun, sabar dan bekerjasama.
Mungkin tidak keterlaluan jika kita bandingkan kemusnahan bandar Hiroshima atau Nagasaki dengan di Banda Aceh, Sumatera. Selepas di bom pada 6 Ogos 1945, yang tinggal di Hiroshima adalah kubah bangunan Dewan Penggalakan Perindustrian Hiroshima (The Hiroshima Prefecture Industrial Promotion Hall) yang sekarang dikenali sebagai Kubah Atom (The A-Boom Dome).
Begitu juga dengan Banda Aceh. Selepas dilanda tsunami pada 26 Disember lalu, bandar itu bagaikan padang jarak padang tekukur dan binaan yang masih utuh adalah Masjid Baiturahman. Kedua-dua kejadian menyaksikan ribuan nyawa melayang. Tragedi Hiroshima dan Nagasaki meragut 250,000 nyawa. Sementara, di Indonesia, terutama di Sumatera yang majoriti penduduknya Islam kehilangan lebih 100,000 nyawa.
Mungkin juga satu kebetulan. Keutuhan bangunan Dewan Penggalakan Perindustrian Hiroshima menjadi simbolik kepada negara Jepun yang juga kuasa industri utama dunia.
Diharap simbolik yang sama berlaku kepada umat Islam di Aceh. Keutuhan Masjid Baiturrahman diharap menjadikan mereka lebih utuh keimanan kepada Ilahi dalam menempuh cabaran. Ini juga diharap menjadikan mereka lebih cekal untuk membangunkan kembali negeri yang musnah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kofi Annan, menganggarkan tempoh untuk membangunkan kembali kawasan yang terjejas mungkin memakan masa hingga sedekad. Namun, itu bukan persoalan utama.
Apa yang diharapkan kita berganding bahu menolong mangsa tsunami sekadar termampu, terutama saudara seislam termasuk di luar negara.
Apa yang lebih diharapkan ialah peranan Pertubuhan Persidangan Negara Islam, terutama negara Teluk yang kaya untuk menyumbang membangunkan kembali peradaban yang musnah. Agak memalukan kerana sejurus selepas peristiwa buruk itu, negara Kesatuan Eropah segera berjanji menghulurkan bantuan. Namun, negara Islam yang kaya agak ketinggalan dalam hal ini.
Bagaimanapun, Malaysia bersyukur kerana kemurahan korporat dan rakyatnya. Walaupun kita berbeza agama dan keturunan, rakyat Malaysia segera menghulurkan bantuan kepada mangsa iaitu wang ringgit dan harta
benda.
Bencana tsunami yang hanya dikaitkan dengan ombak besar akibat kesan gempa bumi yang selalu melanda Jepun, kini menjadi pengalaman kepada negara kita.
Anggapan Malaysia selamat daripada gempa, gunung berapi atau tsunami kerana tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik perlu diubah. Peristiwa 26 Disember lalu sudah membuktikannya.
Kita perlu mempunyai pakar dalam bidang berkaitan bencana alam dan bersedia terutama dari segi sistem amaran awal dan komunikasi. Perkara itu penting agar dapat meminimumkan kemusnahan atau kehilangan nyawa apabila bencana berlaku.
Kepakaran dan kemudahan infrastruktur bukan mahu melawan ketentuan Ilahi walaupun Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)
Ini ialah sebahagian proses tawakal yang dianjurkan Islam dengan kita perlu melakukan usaha sebelum menyerahkannya kepada Allah bagi mendapatkan keputusannya.
Apapun, kita jadikan tragedi ini sebagai muhasabah untuk memperbaiki kelemahan dan menjadikan pengajaran untuk lebih bersedia pada masa depan.