BERPOLITIK tidaklah menjadi satu kesalahan dalam mempromosi dan melaksanakan sesuatu idea atau gaga-san di dalam masyarakat kita. Kita perlu berpolitik dalam menyusun pentadbiran dan agenda sosial, ekonomi dan sebagainya.
Tetapi sebagai satu umat yang terlibat dan komited dengan adab, nilai dan etika keagamaan, maka kita juga harus membataskan diri kita supaya tidak terbawa-bawa dengan sesuatu yang boleh mengarahkan kita kepada sifat melampau, melebihi had dan melalaikan.
Sebagai satu umat yang mempunyai nilai akhlak dan kerohanian yang tertentu, kita sentiasa tertakluk kepada peraturan dan nilai-nilai moral kerohanian yang telah ditentukan oleh agama kita. Oleh itu, berpolitik pun haruslah mengikut etika dan adabnya juga.
Sebelum pilihan raya kita berpolitik, semasa pilihan raya kita berpolitik dan kini selepas pilihan raya pun kita berterusan berpolitik.
Politik kita pula ialah politik kepartian dan kelompok yang amat menjurus kepada kepentingan tertentu sama ada untuk individu atau parti ataupun beberapa kumpulan yang dikumpulkan menjadi rakan perjuangan bersama untuk menjatuhkan kumpulan atau individu yang lain.
Golongan yang amat terlibat dalam politiking ini pula nampaknya ialah orang-orang Melayu. Sebelum dan semasa pilihan raya orang Melayu merupakan golongan yang amat kuat berkempen dan melakukan gerak gempurnya untuk menjatuhkan orang Melayu sendiri atas nama politik sempit kepartian tanpa mengira kemusnahan dan kehancuran yang bakal dihadapi oleh orang Melayu sendiri pada jangka panjangnya.
Sebelum dan semasa pilihan raya orang Melayu berkempen dengan hebat untuk mendapatkan kuasa politik sehingga sanggup mengambil jalan kotor dan tidak beretika dengan hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk memenangi pilihan raya bagi diri dan partinya. Semua perkara di sekelilingnya dijadikan isu politik, dan isu politik itu pula dihitamputihkan, bererti bahawa apa yang dibuatnya adalah semuanya baik dan bersih, dan apa yang dilakukan oleh orang lain adalah kotor dan hitam semata-mata. Hal ini terbukti dengan mengambil contoh pihak kerajaan dan pembangkang umpamanya.
Bagi pembangkang segala apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak betul semuanya, dan yang betulnya ialah apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka diberi kuasa. Dalam keghairahan mendapatkan kuasa politik ini juga kelihatan seolah-olah pakatan yang dilakukan dengan beberapa pihak, terutamanya dengan bukan Islam, amat tidak teliti dan tidak dihalusi akibatnya.
Politiking secara jangka pendek tanpa memandang jauh ke hadapan akan akibat buruk yang akan diterima oleh orang Islam dan orang Melayu adalah amat berbahaya dan mungkin menjadi ancaman kepada kewujudan bangsa dan maruah sendiri.
Politiking secara tidak amanah dan tidak ikhlas, termasuk dalam konteks menggunakan ajaran agama, petua dan sebagainya untuk mempengaruhi orang awam juga merupakan satu taktik yang terkeluar dari tatasusila dan ada berpolitik yang sebenarnya.
Hingga hari ini nampaknya politiking amat rancak di dalam masyarakat orang Melayu. Semua yang dilakukan nampaknya menggambarkan motif politik sebelah pihak, bukan untuk umum. Kalau diambil contoh pembangkang sekali lagi ternyata bahawa kerajaan yang berkuasa di Terengganu sekarang ini, belum pun mantap dan teguh kedudukannya, telah bermain politik kepartian yang amat tebal. Isu utama yang ditimbulkan adalah berupa tuduhan dan kenyataan umum tentang penyelewengan yang dikaitkan dengan kerajaan yang lalu. Tuduhan itu pula amat serius iaitu tentang amalan rasuah, kroni dan sebagainya yang dikatakan berlaku secara berleluasa dengan bertimbun-timbun fail dan buktinya.
Maka hal ini membangkitkan pula reaksi dari pihak kerajaan iaitu dalam bentuk cabar-mencabar supaya pihak yang menuduh mengeluarkan buktinya secara jelas dan membawanya ke tengah.
Semuanya ini berlaku melalui media, dan semuanya telah sampai kepada segala peringkat pembaca, termasuk kepada pihak-pihak yang sering mengintai-intai kesempatan untuk menangguk di air keroh, dan menunggu-nunggu peluang untuk menuang minyak ke atas api yang sedang marak, supaya orang-orang Melayu terus berkonfrontasi dan bertelagah sesama sendiri tanpa akhirnya.
Politiking melampau dan melulu sebenarnya amat merugikan masyarakat Melayu sendiri. Kalau semua isu dipolitikkan secara melulu, maka sebenarnya kita mendedahkan semua pembangunan bangsa Melayu di dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi, perindustrian, multimedia dan politik sendiri kepada bahaya, seolah-olah apa yang dibangun dan dilakukan di dalam bidang-bidang itu adalah merupakan gambaran hitam putih bagi kerajaan dan pembangkang.
Ketika kerajaan membangunkan semuanya itu dengan mempunyai ciri-ciri yang sihat untuk bangsa dan negara, maka pembangkang akan melihatnya dengan kaca mata hitam, bahawa semuanya itu merugikan rakyat. Kedua-dua belah pihak akan bertegang leher tanpa mempunyai pandangan yang benar-benar objektif, maka akhirnya orang Melayu sendiri yang rugi.
Memang tidak ada sesiapa pun yang dapat menegah orang lain dari memasuki permainan yang dinamakan politik dan politiking. Tetapi seperti yang disebutkan di atas setiap orang dan semua pihak haruslah mempunyai daya penapis dan penelitian yang teliti untuk melihat yang sihat dan sakit, yang beradab dan biadab, yang beretika dan melampau.
Politiking melulu merosakkan masyarakat dan haruslah dijauhi dan hal ini bukan hanya berlaku di antara parti politik dengan parti politik yang lain, malah ia berlaku dalam sebuah parti seperti UMNO yang rancak dengan kempen pilihan peneraju parti ini dalam bulan Mei akan datang.