Pendedahan tentang eksploitasi terhadap kanak-kanak dan penglibatan mereka dalam dunia pekerjaan sebagai pekerja bawah umur oleh sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini mengusik benak fikiran. Tinjauan yang dilakukan di beberapa buah negeri, membabitkan beberapa orang kanak-kanak dan remaja yang mewakili pelbagai latar belakang. Pekerjaan yang dilakukan oleh mereka didorong oleh alasan yang berbeza-beza, namun yang menyamakan usaha mereka hanyalah matlamatnya, iaitu mendapatkan rezeki dan sumber kewangan.
Apa yang menyedihkan ialah kanak-kanak seawal usia lima tahun telah mula mengerah keringat dan kudrat demi membantu keluarga mendapatkan sesuap nasi. Barangkali dalam fikiran mereka, tidak terlintas sama sekali hasrat untuk ke sekolah, kerana yang lebih utama ialah dapat menyumbang bagi meringankan bebanan anggota keluarga. Sekelompok lagi pelajar remaja yang ditemui terbabit dengan “pekerjaan”, iaitu aktiviti yang dijalankan bagi mendapatkan derma sebagai sebahagian kegiatan kokurikulum sekolah turut menyentak fikiran kerana jika benar sebagaimana didakwa, mereka sesungguhnya menjadi mangsa eksploitasi. Sama ada disedari atau tidak, kanak-kanak yang mewakili pelbagai latar belakang ini diberi perlindungan oleh Akta Kanak-Kanak 2001. Ini dapat dilihat pada Seksyen 17 (1) yang memberikan takrif kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, termasuklah mereka yang mengemis dan menjaja. Walau bagaimanapun, perbuatan menjaja dalam konteks Akta (Pekerjaan) Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 (Akta 350) pula adalah relevan kerana ia suatu bentuk pekerjaan. Dengan kata-kata lain, Akta ini membenarkan pekerja kanak-kanak dan orang muda untuk bekerja, termasuklah menjaja. Namun Akta Kanak-Kanak 2001 pula menjadikannya sebagai salah satu keadaan yang menyebabkan kanak-kanak terbabit dianggap memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Ini seterusnya membolehkan pihak berkuasa campur tangan serta mengambil kanak-kanak itu daripada ibu bapanya dan diletakkan di bawah jagaan pihak lain yang dirasai sesuai. Percanggahan yang wujud antara kedua-dua Akta ini berhubung dengan perkara yang sama kelihatan memerangkap dan menjadikan pekerja bawah umur ini yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja sebagai mangsa keadaan.
Memetik pandangan Prof. Madya Siti Zaharah Jamaluddin dalam tulisannya, “Akta Kanak-Kanak 2001 : Implikasi Terhadap Pekerja Kanak-Kanak dan Orang Muda” (2002), … “Usaha menghapuskan buruh kanak-kanak mestilah menjadi agenda negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam usaha kita mencapai status sebagai sebuah negara maju. Keberkesanan penguatkuasaan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 juga akan mengurangkan jumlah golongan ini dalam pasaran buruh. Bekerja sebagai penjaja, sama ada untuk upah atau membantu keluarga serta bekerja di tempat-tempat tertentu tidak lagi kelihatan menarik kerana kanak-kanak boleh dipindahkan daripada jagaan ibu bapa dan ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Selain itu, sudah masanya Akta (Pekerjaan) Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 (Akta 350) dikaji semula bagi melihat sama ada peruntukannya dipinda untuk menyesuaikannya dengan keadaan semasa.”
Antara langkah penting yang telah diambil bagi menyokong usaha menghapuskan buruh kanak-kanak ialah peruntukan undang-undang melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 611) yang mewajibkan pendidikan prasekolah dan pendidikan sekolah rendah (Seksyen 29 & 29A). Peruntukan undang-undang ini turut menjelaskan kegagalan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan rendah yang dianggap sebagai suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pendekatan ini dilihat dapat mengurangkan bilangan buruh kanak-kanak di negara ini kerana kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan bersekolah dan bukannya bekerja.
Namun demikian, persoalan lain yang timbul di sini ialah wujudkah pihak tertentu atau pihak berwajib yang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah benar-benar memperoleh pendidikan sebagaimana yang diwajibkan dan bukannya berkerja? Selain itu, bagaimana pula dengan kanak-kanak yang berusia antara 13 hingga 17 tahun, iaitu yang pada umumnya berada di peringkat menengah? Apakah kedudukan mereka sekiranya mereka melibatkan diri dengan pekerjaan disebabkan alasan-alasan tertentu seperti kemiskinan, keciciran dan kekurangan minat terhadap pelajaran?
Situasi yang berlaku dalam negara boleh dikatakan mewakili sebahagian kecil daripada apa yang berlaku di seluruh dunia. Majoriti kanak-kanak di dunia dinafikan hak asasi mereka dan keadaan ini begitu kritikal di dunia ketiga. Majoriti besar kanak-kanak hidup dan bekerja dalam keadaan yang sangat sukar. Di negara-negara terbabit, kanak-kanak bukan sahaja menderita kebuluran dan memperoleh makanan tidak seimbang tetapi juga turut terdedah pada eksploitasi serta penderaan dan pada dasarnya, mereka menjalani kehidupan yang diliputi penderitaan. UNICEF melaporkan bahawa di seluruh dunia terdapat kira-kira 246 juta kanak-kanak yang terlibat sebagai buruh kanak-kanak (laporan yang sama turut dikemukakan oleh ILO (International Labour Organization). Sekitar 180 juta kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun (atau 73 peratus daripada keseluruhan pekerja kanak-kanak) dipercayai terbabit dalam bentuk pekerjaan paling buruk termasuk bekerja dalam keadaan yang mendatangkan bahaya serta kemudaratan seperti di lombong dan mengendalikan mesin yang berbahaya. Daripada jumlah ini, 5.7 juta orang dipaksa untuk terlibat dengan belenggu hutang dan bentuk-bentuk perhambaan yang lain, 1.8 juta dipaksa terbabit dalam kancah pelacuran atau pornografi dan 600,000 orang pula terbabit dengan aktiviti yang diharamkan.
Kenyataan ini membuat kita termangu mengingatkan jaminan yang diberikan oleh Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk memperoleh kehidupan, pembangunan dan perlindungan. Ini sekali gus menjamin hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi dan kemudaratan. Di samping itu, kanak-kanak juga ditegaskan sebagai sumber harapan dan inspirasi masa hadapan. Jika inilah harapan besar yang disandarkan pada mereka, maka kita berkewajipan menyediakan segala ruang dan peluang bagi memastikan mereka membesar dalam suasana penuh harmoni yang akan membantu pembentukan jiwa, keperibadian dan akhlak mereka. Penyediaan peluang mendapatkan pendidikan dan pembasmian kemiskinan merupakan dua langkah penting yang sewajarnya diberikan tumpuan utama dalam usaha membanteras kegiatan mengerah tenaga dan keringat kanak-kanak. Mengungkap kata-kata Iqbal Masih, pejuang kecil kelahiran Pakistan, yang berani dan lantang bersuara menentang kerahan tenaga serta perhambaan kanak-kanak, “… I appeal to you that you stop people from using children as bonded laborers because the children need to use a pen rather than the instruments of child labor.” Iqbal yang sejak berusia empat tahun dipaksa bekerja sepanjang dua belas jam sehari sebagai penenun permaidani dan kadangkala dirantai pada alat tenun telah berjaya membebaskan rakan-rakan yang senasib dengannya. Kematian penuh misterinya akibat ditembak pada usia 13 tahun tidak pernah memadamkan semangat bagi membebaskan buruh kanak-kanak di seluruh dunia.
Bagi umat Islam, seharusnya semangat bagi membebaskan ummah daripada belenggu kemiskinan dan meninggikan taraf kehidupan melalui penguasaan ilmu pengetahuan merupakan perjuangan yang tiada noktahnya. Ini khususnya bagi memastikan generasi muda Islam hari ini tidak lagi mewarisi kemiskinan dan kelemahan ummah hari ini lalu terus menjadi mangsa penindasan serta penjajahan bangsa asing pada masa hadapan. Jika sesungguhnya kita menyedari tanggungjawab berat ini, maka kita tidak lagi akan membazirkan masa bagi merencana segala perancangan yang diperlukan dan menggerakkannya dengan seribu daya untuk melihat ia benar-benar berhasil lalu menjadi sebuah kenyataan.