Hati kakitangan kerajaan berbunga mekar kerana penantian yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu telah kunjung tiba. Mungkin ramai tidak menjangkakan bahawa kenaikan yang begitu memberangsangkan akan diumumkan oleh Perdana Menteri Kelima iaitu YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Pengumuman ini merupakan hari bersejarah bagi kakitangan awam dan akan merencanakan Malaysia bagi tempoh-tempoh akan datang. Di samping meletakkan satu tanda aras baru, kenaikan gaji ini juga akan mencerminkan gambaran negara dalam mengecap Wawasan 2020. Sudah semestinya keputusan besar ini akan merangsang kedudukan, perancangan dan pembangunan sedia ada ke suatu tahap yang tidak terjangkakan.
Kenaikan gaji lazimnya memberi gambaran kepada dua perkara utama iaitu pertama, terdapat pertambahan nilai kepada pekerja; dan kedua, kerana terdapat peningkatan kos sara hidup. Sekiranya kedua-dua perkara di atas tidak tampak, maka unsur-unsur yang berkaitan dengan kenaikan perlu diselaraskan dengan timbal balas. Sekiranya kenaikan ini adalah bagi mengatasi masalah peningkatan sara hidup, maka kenaikan ini tidak menyelesaikan banyak masalah kerana kaedah sedia ada gagal berfungsi menyebabkan berlaku peningkatan sara hidup. Jika gaji dinaikan juga maka lambat laun, pasaran akan mengikut dan mengambil kesempatan ke atas permintaan dan kemampuan pengguna. Keadaan ini tidak memberi kita pilihan kecuali meningkatkan nilai tambah kepada amalan sedia ada samada dengan memajukan proses, meningkatkan kecekapan dan membangunkan teknologi baru.
Kemampuan membayar adalah perkara penentu yang juga ada kena mengena dengan keputusan menaikkan gaji. Dari sudut pandangan mereka terlibat, sudah pasti kenaikan sebanyak ini membuka banyak peluang rencana perbelanjaan dan pembentukan hidup baru. Tidak kurang juga ada sebilangan yang memasang angan-angan untuk menambah kelengkapan dan keperluan. Tanpa kenaikan mengejut ini, kakitangan awam hanya akan menikmati kenaikan tahunan, itupun hanya mendatar atau menegak yang tidak sehebat kenaikan kali ini. Kuasa beli telah meningkat secara tiba-tiba berbanding peningkatan kuasa beli sebelumnya yang dihilangkan oleh kesusutan akibat kenaikan harga barangan dari masa ke semasa. Kalau kita renung jauh ke hadapan, terdapat beberapa perkara yang perlu diwaspadai dengan kenaikan gaji ini.
Perkara yang sudah pasti dan sedang berlaku serta sibuk diperkatakan ialah kenaikan harga barangan. Secara langsung apabila terdapat kenaikan kepada kuasa beli berlaku, peningkatan kemampuan akan mengukuhkan permintaan. Bentuk pasaran akan menyelaraskan peningkatan permintaan dan kekurangan penawaran dengan kenaikan harga. Di Malaysia, masyarakat lebih suka bertindak di atas andaian dan spekulasi. Belum sempat kenaikan gaji berada di tangan, harga barangan melantun-lantun naik dengan seribu satu alasan kerana masyarakat membuat keputusan mengikut jangkaan ekonomi iaitu ‘akan terdapat peningkatan’ kepada permintaan. Apa yang bahaya dalam keadaan ini ialah kenaikan akan beransur-ansur berlaku. Apabila kuasa beli sebenar dimiliki, harga telah menyusur naik perlahan-lahan ke tahap yang lebih tinggi dari tahap sewajarnya ia bermula.
Kesan kenaikan gaji kakitangan kerajaan juga memberi kesan langsung kepada aturan imbuhan kakitangan swasta. Kemudahan kakitangan kerajaan sentiasa dijadikan sebagai tanda aras kepada syarikat persendirian. Tabiat persaingan pasaran buruh, kecenderungan perbandingan gaji dan ukuran kemudahan semasa dijadikan sebagai cerminan di dalam menentukan tahap imbuhan dalam sektor swasta. Kesetiaan kakitangan sedia ada dalam sektor swasta dikawal oleh penyelarasan gaji dengan melakukan rombakan yang setara atau hampir setara kerajaan. Kesudahannya, kadar gaji yang dibayar oleh majikan syarikat persendirian juga akan meningkat manakala majikan terpaksa menanggung tambahan kos kepada pengeluaran atau kegiatan mereka. Kenaikan kos ini memberi kesan kepada penetapan harga jualan barangan dan perkhidmatan. Sekiranya kenaikan berlaku, maka hampir semua barangan akan turut meningkat untuk dipindahkan kos yang ditanggung oleh syarikat kepada pengguna.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kini makin yakin dengan usul cadangan gaji minima kepada RM900 yang diperjuangkan sejak bertahun lamanya akan tercapai. Persetujuan dicapai antara Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) dengan menandatangani perjanjian bersama yang ke-10 di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya baru-baru ini juga adalah tempiasan kenaikan yang diumumkan oleh kerajaan. Tanda-tanda ini jelas memberi kesan kepada pasaran. Kira-kira 30,000 pekerja ladang seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila mereka turut menikmati gaji minimum RM500 hingga RM600 sebulan, berbanding RM450 sebelum ini selepas pelarasan gaji sembilan peratus diluluskan. Selain menerima tunggakan gaji 17 bulan kepada setiap pekerja berikutan penyelarasan tangga gaji baru itu, mereka juga diberi faedah lain seperti ‘insentif kehadiran’ RM95 sebulan dan elaun perumahan RM95 sebulan.
Dengan mengambil dua ciri utama, iaitu kenaikan harga barangan dan kenaikan kos buruh untuk aliran pengeluaran, kos keseluruhan pengeluaran sesebuah syarikat ke atas sesuatu barangan akan meningkat. Kadar harga lama tidak mampu lagi dikekalkan. Tambahan pula sekiranya tidak ada satu kemajuan teknologi yang mampu mengurangkan kosnya, maka harga barangan terpaksa dinaikan untuk menampung beban pengeluaran. Keadaan ini akan menganjak semula kemampuan kuasa beli rakyat kepada tahap lama walaupun secara dasarnya ada peningkatan dalam jumlah pendapatan.
Kawalan harga yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN-HEP) memadai untuk mengawal kenaikan tetapi tidak boleh sama sekali menghentikannya. Ini adalah kerana berlaku gelombang pergerakan besar-besaran di dalam pasaran yang sukar dikawal melepasi bentuk kawalan harga tradisi. Pergerakan ini akan merempuh banyak kemunasabahan sehingga mampu mengubah setiap inci binaan pasaran. Inilah ‘kenaikan berangkai’ barangan dan perkhidmatan yang sukar untuk ditemui di mana puncanya untuk disekat. Mahu tidak mahu, pertimbangan baru perlu digariskan, iaitu dengan merelakan kenaikan harga. Keseluruhan pergerakan ini boleh menyusutkan nilai wang yang dimiliki dan bakal menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi.
Kadar inflasi negara terkini masih kekal rendah iaitu berada pada paras terendahnya dalam tempoh dua setengah tahun. Bulan April lalu, iaitu 1.5 peratus, tidak berubah berbanding Mac 2007. Berikutan itu, kadar inflasi negara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya berada pada paras 2.4 peratus. Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan untuk mengukur inflasi, meningkat 3.2 peratus pada bulan Januari dan 3.1 peratus pada bulan Februari kemudian menurun dengan ketara kepada 1.5 peratus pada bulan Mac 2007. Keadaan ini menandakan, pembangunan dan kenaikan yang kita kecapi sekarang diiringi dengan pembangunan pengeluaran dan daya rekacipta yang setanding. Penumpuan dalam bidang R & D bukan sahaja perlu dikekalkan malah digiatkan bagi menampung ketidaktentuan pasaran di masa akan datang.
Penumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan bukan semata-mata dari segi peruntukan tetapi aturan dan pendekatan. Kerajaan melalui RMK-9 telah memperuntukan satu jumlah yang besar bagi R & D dalam pelbagai sektor dan golongan termasuk peruntukan pembangunan latihan dan teknologi. Kita perlu menanam kesedaran yang tinggi bahawa selama ini teknologi yang dibangunkan lebih cenderung menghabiskan sumber mentah yang dimiliki negara. Penerokaan sumber petroleum menjangkakan bahawa negara akan kehabisan sumber itu menjelang 15-20 tahun akan datang. Sumber bumi lain juga mempunyai batasannya tertentu, tambahan pula tekonolgi baru yang diperkenalkan boleh memberi kesan penyusutan kekayaan tanah bagi perkara yang melibatkan pertanian dan sumber dari laut. Penggunaan bahan kimia ke atas tanaman boleh secara langsung merencatkan kesuburan tanah. Negara perlu menjuruskan penyelidikan kepada pengkayaan dan kepelbagaian sumber baru seperti tenaga suria dan sebagainya.
Penghujung kepada pembangunan negara samada ekonomi, sosial dan persekitaran ialah tahap ketinggian mutu yang ingin dikecapi oleh rakyat. Kemuncak R & D adalah penemuan baru yang memberi manfaat lebih besar dari keburukan. Oleh yang demikian, perancangan R & D perlu diselaraskan. Pendokong yang paling berkelayakan mengendalikan usaha ini ialah Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC). Tanpa mengetahui pemimpin rencana R & D, negara tidak ubah seperti layang-layang terputus talinya. Amanah ini tidak wajar hanya dibebankan kepada jentera kerajaan semata-mata.
Semua jentera kerajaan perlu bangun dan menyiapkan perancangan dan rangsangan baru ekonomi, masyarakat dan pembangunan negara bukan hanya melihat KPDN-HEP dicabar sendirian. Di samping peruntukan perbelanjaan negara meningkat iaitu melibatkan perbelanjaan RM3.4 bilion bagi tahun ini atau perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8 bilion setahun, kerajaan perlu mencergaskan pergerakan dalaman kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi menjamin keberkesanan. Pendapatan negara juga perlu diseimbangkan untuk menampung perbelanjaan ini dengan lebih giat melaksanakan peranan masing-masing.
Kemakmuran negara juga telah menarik ramai pendatang asing ke negara kita berdagang atau memperdagangkan tubuh dan maruah. Kemasukan barangan import tidak bermutu dari negara China umpamanya sedikit sebanyak menjejaskan mutu hidup masyarakat. Mungkin kemasukan ini baik bagi persaingan pasaran tetapi ia wajar dikawal agar hak-hak pengguna tidak dianaktirikan. Konsep ‘halalan tayyiban’ perlu dijadikan asas kepenggunaan rakyat. Berita terbaru yang menggemparkan ialah peningkatan penyakit berbahaya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Berdasarkan perangkaan, lebih 40,000 pekerja asing dihantar balik tahun lepas setelah gagal dalam pemeriksaan kesihatan. Walau bagaimanapun, hanya 3.4 peratus daripada 1.3 juta pekerja asing sahaja yang menjalani pemeriksaan wajib. Penyakit berjangkit seperi batuk kering, kusta dan malaria yang dianggap pupus kini muncul semula. Pada tahun 2006, kementerian mengesan 10,376 kes batuk kering, 15,000 kes Hepatitis B, 3,600 kes siplis dan 740 kes HIV. Tidak kurang juga perkembangan masalah kemasyarakatan, jenayah dan pelacuran melanda negara. Peristiwa ini memberi kefahaman kepada kita tentang perkara kemasukan tidak terkawal pendatang asing ke negara kita makin meruncing. Jentera kawalan dan penguatkuasaan perlu sedar akan beban tambahan selari dengan kemajuan yang makin rancak di Malaysia.
Rakyat perlu bijak melihat dan membezakan di antara peristiwa, perkara dan dorongan. Kesedaran yang tinggi perlu ditanam supaya rakyat tidak mengasingkan kebijaksanaan dalam membuat pilihan dan keputusan. Hebahan barangan makin mengelirukan dengan berbagai cara dan helah. Hampir setiap masa ada saja hebahan dan potongan harga istimewa. Apa yang perlu ditekankan ialah rakyat mesti memberi keutamaan perbelanjaan kepada barangan keperluan berbanding keinginan.
Perkara yang paling penting dalam hal kenaikan ini ialah pengeluaran, daya rekacipta dan dorongan. Di samping tujuan utama kenaikan dianggap sebagai membayar harga kepada perkhidmatan yang telah meningkat akibat dari nilainya bertambah, ia juga lebih penting lagi dialirkan kepada halatuju dan rangsangan peningkatan pembangunan baru dalam pengurusan, aliran, amalan, kegiatan dan teknologi. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) perlu memikirkan bagaimana untuk memasukkan unsur-unsur ini ke dalam sistem saraan dan imbuhan. Usaha ini sejajar dengan penekanan ke atas syarikat swasta supaya menerapkan Aturan Imbuhan Berasaskan Pengeluaran (Produktivity Linked Wage System-PLWS). Sekiranya kenaikan ini tidak ditebus dengan kesemua aspek ini, kenaikan akan dicerap menjadi kenaikan dalam sara hidup dan menyusutkan semula kuasa beli. Bidang penyelidikan dan pembangunan tidak boleh dipinggirkan dalam meningkatkan kecekapan semua peringkat bagi mengelak berlakunya ketempangan pembangunan negara.