Kita telahpun memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dua minggu pertama telah berlalu dengan pelbagai warna-warninya. Di pihak kerajaan dan barisan hadapan, pelbagai pahit getir dilalui dalam menangani penyakit COVID-19 yang dibawa oleh Coronavirus jenis baru ini. Bagi individu dan keluarga pula, mereka juga melalui pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang PKP ini.
PKP adalah satu bentuk penjarakan sosial yang bertujuan untuk menghentikan virus ini daripada terus merebak. Diharapkan dengan duduk di rumah kita dapat menghentikan rantaian penularan wabak COVID-19 ini.
Pendekatan penjarakan sosial ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Itulah yang dianjurkan oleh Rasululah SAW apabila umatnya berhadapan dengan wabak. Misalnya ketika berhadapan dengan wabak taun, Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar wabak taun (penyakit berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah masuk ke dalamnya. Dan apabila kamu telahpun berada di tempat tersebut, janganlah keluar darinya” (HR Bukhari dan Muslim).
Hal ini bererti Islam melarang umatnya dari menghampiri kawasan wabak, mahupun keluar dari kawasan wabak agar yang sihat tidak dijangkiti manakala yang sakit tidak menjangkiti orang lain. Mematuhi hadis ini bererti kita mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Sebaliknya, mengingkari hadis ini bererti kita mengingkari perintah Allah dan Rasul-Nya.
Walaupun majoriti rakyat Malaysia telahpun mematuhi PKP ini, namun kita tidak terputus terus daripada mengikuti perkembangan terkini mengenai “perjuangan” menentang wabak COVID-19. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), masyarakat yang memiliki capaian internet lebih mudah untuk mengikuti dan memahami keadaan yang berlaku.
Pada minggu pertama PKP, hampir setiap 30 minit, ada sahaja rakan-rakan yang memberi maklumat terkini dari sumber yang sahih, mengenai perkembangan penyakit ini, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Selain itu, pelbagai pesanan dihantar mengenai cara-cara untuk menghapuskan virus ini dari badan dan persekitaran kita serta kaedah untuk tidak menyebarkannya kepada orang lain.
Dengan ICT juga, kita dapat mengetahui betapa beratnya pengalaman yang dilalui oleh mereka yang berada di barisan hadapan seperti para doktor dan jururawat. Melihat mereka memakai baju Personal Protective Equipment (PPE) yang berlapis-lapis itu sahaja boleh meruntun jiwa kita. Belum lagi mendengar betapa mereka perlu bekerja lebih masa pada setiap hari yang pastinya amat melelahkan. Begitu juga kisah mereka yang tidak balik rumah kerana tidak mahu merisikokan keluarga. Ada antara mereka yang balik rumah hanya untuk menunjukkan muka dan melihat anak dari jauh dan kembali semula ke hospital. Ada jururawat yang merupakan ibu tunggal terpaksa menghantar anak balik ke kampung demi tugas yang tidak menentu masa. Bersyukurlah kita pula hanya duduk di rumah, anak-anak dan pasangan ada di depan mata.
Kita juga dapat melihat beban tugas anggota polis, tentera dan RELA di sekatan-sekatan jalan raya. Berada di bawah terik matahari itu biasa. Namun, ramai yang mengalirkan air mata apabila melihat klip video yang tular, menunjukkan mereka bersusah payah melawan angin kencang dalam hujan lebat di satu sekatan jalan raya. Begitulah pengorbanan mereka. Bersyukurlah kita hanya duduk di rumah, ada bumbung tempat berteduh, ada dinding yang membuatkan kita rasa selamat.
Dalam pada itu, kita juga cuba menyelami nasib mereka yang tinggal di rumah pangsa kos rendah dan setinggan. Keadaan rumah yang sempit dan lazimnya dihuni oleh ahli keluarga yang ramai. Pastinya arahan untuk duduk di rumah bagi mereka adalah lebih mencabar. Bersyukurlah bagi kita duduk di rumah yang lebih luas, dengan ahli keluarga tidak ramai, setiap orang bebas melakukan apa-apa sahaja di ruang peribadi sendiri.
Menjadi pemerintah di saat-saat getir ini bukanlah mudah. Berada di barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, polis, tentera dan RELA juga bukanlah mudah. Malah, duduk di rumah bagi ahli masyarakat yang sebelum ini bebas ke mana-mana sahaja juga bukanlah mudah. Namun, demi untuk membendung dan menangani wabak ini, ia adalah “ubat pahit” yang perlu ditelan oleh semua.
Menangani wabak COVID-19 ini adalah tanggugjawab kita bersama. Setiap kita ada peranan yang perlu dimainkan. Di barisan hadapan, para doktor dan jururawat, perlu merawat pesakit walaupun berhadapan dengan risiko dijangkiti yang tinggi. Para anggota polis, tentera dan RELA perlu berkawal dalam hujan dan panas, bagi memastikan pergerakan ahli masyarakat hanyalah untuk keperluan yang mustahak. Kita sebagai ahli masyarakat berperanan hanyalah duduk di rumah, yang nampaknya indah namun tidak juga mudah.
Oleh sebab duduk di rumah bukanlah mudah, maka dalam suasana getir seperti ini ia dijanjikan pahala yang amat besar oleh Allah SWT. Hal ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang tinggal di rumahnya ketika terjadi wabak, maka dia mendapat pahala syahid walaupun tidak meninggal dunia” (HR Ahmad).
Bersyukurlah peranan kita dalam menangani wabak ini hanyalah dengan duduk di rumah. Jika difikirkan kembali, banyak perkara yang boleh disyukuri. Keselesaan baju yang dipakai di rumah berbanding baju PPE yang dipakai oleh para doktor dan jururawat. Tidak perlu berpanas dan berhujan seperti anggota polis, tentera dan RELA. Boleh solat tepat waktu dan bebas melakukan semua ibadah. Mereka yang bekerja makan gaji—gaji jalan tanpa perlu ke pejabat. Manakala yang tiada bergaji, mendapat imbuhan daripada Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin. Jika kita duduk di rumah kerana mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya tanpa keluh kesah, ganjaran daripada Allah melebihi dunia dan seisinya seperti maksud hadis Riwayat Ahmad di atas.In Shaa Allah.