Abu Bakr Muhammad ibn Zakariyya al-Razi (m. 925), atau lebih dikenali Muhammad al-Razi, merupakan seorang ahli perubatan Muslim abad ke-9 yang tersohor di zaman digelar sebagai zaman kegemilangan Islam.
Beliau dianggap sebagai sosok terpenting dalam sejarah perubatan dan menguasai beberapa bidang ilmu termasuklah alkimia, mantiq, astronomi, nahu, dan falsafah selain mempelopori kaedah ujikaji saintifik dalam perubatan.
Al-Razi adalah yang pertama membezakan antara cacar dan campak dan memerikan ciri-ciri kedua-dua penyakit dalam karyanya al-Judari wa al-Hasbah (Penyakit Cacar dan Campak) kemudian diterjemahkan dalam bahasa Latin dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.
Pada awal abad ke-10, Khalifah al-Muktafi (m. 908) melantik al-Razi sebagai ketua pakar perubatan kota Baghdad dan menugaskannya untuk memilih tapak mustashfa (hospital) yang baru. Beliau menjalankan sebuah uji kaji dengan menggantungkan daging segar di beberapa daerah Baghdad. Tempat di mana dagingnya lambat membusuk diisytiharkan sebagai mempunyai udara paling bersih dan menyihatkan justeru sesuai dibina hospital.
Amalan saintifik al-Razi menuruti suatu epistemologi yang menerima pencerapan sebagai saluran ilmu dan asas mentahkik perhitungan disamping laporan benar (khabar sadiq) dan dipersetujui ramai (muttafaqun ‘alayhi).
Selain kritikannya terhadap ilmu perubatan Yunani menganjakkan paradigma baru dalam dunia perubatan,al-Razi juga banyak mengkritik pengamal perubatan tanpa tauliah mahupun latihan sempurna dalam kitabnya yang diterjemahkan judulnya Mengapa Orang Awam lebih gemar Tukang Karut dan Penipu berbanding Doktor Berkemahiran.
Pada pandangan beliau, oleh kerana ilmu perubatan sentiasa berkembang, demi memastikan keberkesanan rawatan seorang pengamal perubatan atau doktor hendaklah mempertingkatkan ilmu perubatan dengan sentiasa mengkaji teks dan mendapatkan maklumat baru.
Disamping memperkenalkan kaedah pengkelasan perubatan dalam karya berbilang jilid al-Hawi, yang menjadi rujukan berwibawa di Eropah selama beberapa ratus tahun, beliau juga memberikan ramuan alkimia untuk menghasilkan gliserin dari minyak zaitun dan membuat sabun mandi yang wangi.
Pada abad ke-13, orang Islam giat membuat, memperkenal, dan mengeksport sabun dari Syria, Andalusia, dan Afrika Utara ke Eropah. Selain itu, diketahui juga bahawa orang Eropah mengimport banyak sekali dari tradisi keilmuan dan perubatan orang Islam semasa Perang Salib.
Semasa hayat al-Razi, belum ada kefahaman berkenaan agen jangkitan yang menyebabkan penyakit seperti mikrob dan virus, namun kini diketahui bahawa cucian sabun memberikan perlindungan terbaik terhadap patogen. Struktur hibrid sabun mengandungi molekul berkepala pin dengan ekor hidrofobik yang memusnahkan patogen apabila ia mengasak masuk di celah-celah membran lemak (lipid) patogen dan menguraikannya.
Sekitar 1347–1351, wabak hawar bubonik yang dinamakan “Maut Hitam (Black Death)” tersebar di Eropah dan membunuh antara 75 hingga 200 juta orang, lebih kurang 45–50 peratus dari penduduk Eropah.
Ketika itu, inokulasi dan antibiotik masih belum tercipta, justeru tampak bahawa orang Eropah semata-mata hanya mampu mengharungi wabak sehinggalah ia hilang. Wabak hawar turut menimpa orang Islam di Palestin, negeri-negeri Timur Tengah, dan Makkah.
Namun begitu, oleh kerana tuntutan menjaga kebersihan dalam agama dan sikap terbuka terhadap ilmu orang Islam berupaya menyesuaikan langkah-langkah pencegahan dan rawatan yang dibangunkan oleh ahli-ahli perubatan Eropah bagi mengatasi wabak.
Jared Diamond menulis dalam bukunya Guns, Germs, and Steel (1997) bahawa apabila penjajah Sepanyol menjajah benua Amerika di awal abad ke-16 mereka membawa bersama-sama virus penyebab penyakit cacar, campak, demam selsema, tifus, dan wabak hawar.
Orang Sepanyol gagal dalam serangan pertama mereka untuk menakluk kaum Aztek, namun kemudian penyakit cacar mula merebak dalam kalangan orang asli Amerika Selatan dan melemahkan mereka. Dalam beberapa ketika, penyakit-penyakit bawaan orang Eropah menyebabkan kematian lebih kurang 95 peratus penduduk asal Amerika.
Setelah cacar menyebabkan kematian maharaja Inca dan ahli-ahli istananya pada 1526, suatu epidemik penyakit tersebut menyebabkan tercetusnya perang saudara antara waris-waris takhta empayar.
Orang Sepanyol mengambil kesempatan atas persengketaan dalaman itu dan membunuh ribuan orang asal tanpa hilang seorangpun dari tentera Sepanyol berjumlah 168 orang di Pertempuran Cajamarca pada 1532.
Dari satu sisi, orang Sepanyol memiliki kelebihan ke atas orang asal dari segi celik huruf, persenjataan dan logistik ketenteraan yang lebih baik, dan strategi mempergunakan perpecahan politik bangsa Inca dan keterdedahan mereka yang disebabkan oleh penyakit.
Dari satu sisi lain, orang Inca tidak diketahui sebagai masyarakat celik huruf, kecuali segelintir elit yang kecil, dan tidak pula mereka mempunyai pemikiran saintifik atau ilmu perubatan untuk merawat penyakit, baik politik mahupun fisiologi, yang mendedahkan mereka kepada penaklukan dan penghapusan.
Bagaimana sejarah berkait dengan keadaan pandemik masani? Daripada apa yang dinyatakan sebelum ini, dapatlah disimpulkan bahawa peradaban Islam dan Barat terselamat dari bencana dan malapetaka oleh kerana budaya ilmu dan pemikiran saintifik yang wujud dalam masyarakat. Sebaliknya, kegagalan membangun dan memupuk kedua-duanya ialah jalan yang pasti menuju kejatuhan.
Meskipun dengan kemajuan sains dan teknologi hari ini, masih ada ruang kegagalan sekiranya kejahilan dibiarkan berleluasa dalam tindakan mementingkan diri sendiri di kala krisis yang menghalang sebarang usaha mengatasi malapetaka. Dan sejarah menjadi saksi.