Kuala Lumpur 3 Disember – Sebanyak 13 institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menyertai Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara IPT anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur dari 29 November lalu hingga 2 Disember dan 14 Disember ini.
Institusi berkenaan ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO), Universiti Multimedia (MMU). Selain itu, Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia (KUSTEM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pengurus Program IKIM, Puan Sarina Othman, berkata program itu bertujuan meningkatkan kefahaman semua pihak berkaitan Islam serta memberi peluang pelajar melahirkan pendapat dan hujah mengenai isu mengenai hal ehwal Islam.
Katanya, melalui pertandingan debat itu juga pihaknya dapat meninjau dan menganalisis sejauh mana kemampuan pelajar IPT dalam memperkata dan menghuraikan sesuatu isu mengikut tajuk diberikan.
“Program ini dapat meningkatkan kesedaran peserta mengenai hal ehwal semasa dunia dan Islam, sekali gus menghayati ilmu dan disiplin hidup yang dianjurkan Islam,” katanya.
Pertandingan debat itu diadakan secara liga dan ini bermakna setiap pasukan yang bertanding akan berpeluang untuk membentangkan hujah masing-masing, bagi membawa pasukan ke peringkat akhir, sekali gus muncul juara.
Tahun lalu juaranya pasukan dari UIAM. Kali ini juara akan membawa pulang piala pusingan IKIM serta wang tunai RM15,000, naib johan akan menerima RM10,000 manakala tempat ketiga RM5,000 dan keempat RM1,000, di samping sijil penyertaan.
Puan Sarina Othman berkata, setiap pasukan universiti diwakili empat pelajar, yang masih mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Menurutnya, pelbagai tajuk didebatkan peserta dan antaranya berkaitan penubuhan jawatan peguam syarie negara, kursus perkahwinan bagi memantapkan institusi kekeluargaan, sistem pemerintahan berasaskan syura serta kemiskinan dan kemunduran dunia Islam hasil manipulasi Barat.
Program ini dijangka lebih meriah pada hari pertandingan akhir 14 Disember ini berikutan ramai penyokong dari pasukan masing-masing yang datang. Pada hari itu juga akan disampaikan hadiah kepada pemenang.