Shah Alam 7 Disember – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mencadangkan supaya negeri maju dalam negara Islam seperti Malaysia diukur menggunakan Indeks Pembangunan Ummah (IPU) yang merangkumi pelbagai aspek.
Pengerusi IKIM Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata IPU itu pula diukur berdasarkan tiga indeks yang digabungkan iaitu indeks pembangunan Islam, indeks pembangunan ekonomi dan indeks pembangunan sosial.
“Saya cadangkan perkara ini Selasa supaya kerajaan Selangor khasnya yang menuju negeri maju tahun depan boleh membuat persiapan mengenainya. Saya percaya Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan mampu berbuat demikian.
“Ia boleh diperincikan dengan mengisi petunjuk tertentu dalam indeks-indeks terbabit. Cadangan saya ini adalah secara umum,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Selangor 2005 : Model Islam Sebuah Ekonomi Maju di sini oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata cadangan IPU itu bertujuan mewujudkan takrif yang lengkap daripada sudut pembangunan kerana kemajuan yang berteraskan kebendaan semata-mata tidak memadai.
“Kekosongan jiwa di kalangan penduduk negara maju di Barat banyak mengundang musibah dan malapetaka dalam masyarakat mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata antara petunjuk yang perlu diberi perhatian ialah nilai kutipan zakat, bilangan amil, nilai aset perbankan Islam, nilai aset takaful, bilangan pelabur saham amanah, nilai aset bersih pelabur saham amanah, bilangan masjid dan surau.
Selain itu aspek lain ialah bilangan pendeposit, bilangan profesional bumiputra Islam, bilangan sekolah, murid dan guru agama, katanya.
Seminar dua hari itu yang dihadiri kira-kira 200 orang wakil jabatan agama dan jabatan mufti negeri turut membentangkan sembilan kertas kerja dengan syarahan utama disampaikan oleh Presiden Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE) Mesir Dr Mabid Ali Al-Jarhi.
Terdahulu dalam titah ucapan perasmiannya, Sultan Sharafuddin berkata masyarakat perlu kembali kepada institusi keluarga bagi meletakkan asas kepada sesuatu pembangunan.
“Sesuatu pembangunan itu tidak akan bermakna dan lengkap sekiranya ia tidak menyumbang kepada pembentukan masyarakat sejahtera…Begitu juga untuk mencapai keamanan dan kesejahteraan di negara kita umat Islam perlu bersatu walaupun mempunyai fahaman berbeza,” titah baginda.
Turut hadir pada majlis anjuran IKIM, pejabat SUK dan Jabatan Mufti Selangor itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Ketua Pengarah IKIM Datuk Dr Abdul Monir Yaacob.