UMAT Islam sesama mereka adalah kelompok masyarakat yang satu tanpa dicampuradukkan dengan kelompok masyarakat yang lain. Mereka yang menerima Islam sebagai pegangan agama, iaitu agama yang mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad secara hakikatnya, membentuk sebuah entiti yang berdiri teguh, di samping entiti lain di bumi ini.
Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (Surah al-Anbia, ayat 92)
Ini adalah prinsip yang selari seperti yang tertera dalam Piagam Madinah. Artikel 2 menerangkan bahawa: “Sayugianya, orang beriman itu ialah satu entiti politik (ummah) yang berbeza daripada orang lain di atas bumi ini.”
Umat Islam perlu bergerak sebagai satu kumpulan apabila berurusan dengan orang bukan Islam. Dengan kata lain, mereka perlu mempunyai polisi hubungan luar yang sekata apabila berurusan dengan negara atau kelompok masyarakat lain.
Peruntukan ini jelas bertepatan dengan Piagam Madinah. Dalam artikel 17 termaktub: “Sesungguhnya sebarang perjanjian damai yang dilakukan oleh orang Islam mestilah satu lagi saksama; (dan) jika berada dalam peperangan di jalan Allah, tiada seorang pun orang Islam yang boleh membuat perjanjian damai (dengan musuh) tanpa mengambil kira orang Islam yang lain, dan jika sebaliknya (yakni perjanjian damai itu) adalah saksama dan melindungi kepentingan orang Islam lain, maka baru ia dibolehkan.”
Bertepatan dengan kewajipan untuk mempertahankan perpaduan antara mereka, umat Islam dilarang sama sekali mencacatkan ikatan kukuh persaudaraan mereka dengan bertelingkah sesama sendiri yang berakhir dengan kekalahan dan kelemahan.
Ayat 46, surah al-Anfal menyentuh dengan jelas persoalan ini dengan firman Allah yang bermaksud : “Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
Sesungguhnya perpaduan tidak sama sekali akan tercapai di kalangan umat Islam, selagi mereka berdolak-dalih untuk menerima dan mengamalkan prinsip serta tuntutan persaudaraan berlunaskan akidah Islam. Lunas itu dengan jelas menetapkan bahawa orang Islam itu bersaudara.
Firman Allah bermaksud : “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Hakikatnya, apa yang mendukacitakan ialah ada orang Islam bukan saja tidak menghayati persaudaraan yang digariskan oleh agama, bahkan ada ketikanya lebih suka berdampingan atau bersekongkol dengan golongan bukan Islam hingga boleh menjejaskan saudara Islam mereka yang lain.
Kerap dilihat mereka bergaul dan bergurau-senda dengan golongan ini hingga tidak memberi salam kepada saudara seagama. Pada pandangan mereka, golongan bukan Islam ini lebih penting dan berbaloi untuk diberikan perhatian. Sesetengah orang Islam berpendapat bahawa sikap seumpama ini adalah kecil lagi remeh, perlu diingat bahawa kesan buruknya tidak terbatas. Apa yang jelas, sikap ini bertentangan dengan prinsip perpaduan umat Islam sebagai satu entiti.
Antara punca lain yang menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam ialah kegagalan untuk bertolak ansur dalam isu percanggahan pendapat sesama mereka. Berbeza dengan umat Islam terdahulu, mereka pada zaman moden tidak arif mengenai seni atau etika dalam menangani isu percanggahan pendirian ini. Percanggahan itu sendiri walaupun sifat yang ada pada manusia, kelemahan di kalangan orang Islam dalam isu ini ialah mereka melampaui adab apabila ada percanggahan pendapat. Percanggahan yang sedia ada akan ditokok tambah.
Selalunya, mereka lebih suka bersusah-payah berdebat dan memikirkan perkara enteng, walhal ada tugas yang lebih berat untuk menangkis musuh sebenar yang menyerang mereka dari setiap penjuru.
Sesungguhnya, umat Islam gagal untuk menghayati sikap bertolak-ansur dan hormat-menghormati dalam isu perbezaan pandangan dan pendapat. Pada sesetengah mereka, pendapat mereka saja yang betul dan pendapat orang lain sudah tentu menyimpang.
Dalam al-Quran menerusi, ayat 125 surah al-Nahl, orang Islam diingatkan bahawa ketika mereka ingin melakukan sebarang perbincangan dengan bukan Islam, maka mereka perlu melakukannya dengan adab terbaik.
Allah menegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Keperluan untuk menghayati adab terbaik ini ketika melakukan perbincangan sesama saudara Islam tentu terserlah dengan sendirinya.
Kegagalan umat Islam melaksanakan pendekatan ini membuktikan mereka lebih gemar bersikap al-ghulu (mengeluarkan kenyataan yang melampau, taksub, pentingkan diri sendiri). Al-ghulu bukan saja melukakan hati saudara sendiri bahkan akan membawa kepada pergaduhan dan peperangan.