Berbeza dengan beraneka ciptaan Allah yang lain, insan ialah makhluk yang berkeupayaan untuk memupuk budaya dan membangunkan peradaban.
Yang demikian itu kerana insan dapat mengusahakan perubahan dan pembaharuan melalui daya cipta atau kreativiti, suatu daya kekuatan yang tiada didapati pada makhluk melata yang lain.
Justeru, apabila kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri ke-sepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menjadikan daya cipta sebagai satu daripada enam rukun utama agenda MADANI negara, hasrat tersebut bukan suatu yang bersalahan dengan pembawaan tabii insan.
Dari sudut pandang Islam, pembaharuan atau inovasi yang tercetus daripada daya cipta insan sesungguhnya satu usaha untuk melakukan bid‘ah.
Bidʿah dapat berstatus baik (hasanah) atau buruk (sayyi’ah).
Bid‘ah hasanah boleh dihukum sebagai wajib, sunat, atau harus, manakala bid‘ah sayyi’ah pula boleh dihukum sebagai makruh atau haram.
Status atau hukum tersebut bergantung pada beberapa perkara pokok, seperti: niat dan tujuan pembuatnya; bidang dan perkara yang hendak diperbaharui; pendekatan dan kaedah pelaksanaan pembaharuan itu; kesan akhir daripada pelaksanaannya; dan yang lain-lain seumpamanya.
Sebarang usaha bid‘ah atau pembaharuan tidak sepatutnya mendatangkan hasil yang tidak baik atau, lebih dahsyat lagi, hasil yang lebih buruk daripada apa yang ada sebelumnya.
Dengan kata-kata lain, salah satu syarat yang melayakkan sesuatu bid‘ah (atau inovasi atau pembaharuan) itu berstatus baik adalah bahawa hasilnya perlu baik atau lebih baik daripada apa yang berlangsung sebelumnya.
Sebagaimana yang telah ditegaskan pada awal makalah ini, penting untuk kita fahami bahawa sifat dan usaha melaksanakan bid‘ah ini suatu yang hanya ada pada insan sebagai ciptaan Allah yang istimewa dan berbeza dengan makhluk-makhluk-Nya yang lain.
Keistimewaan insan ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Baginda Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencipta Adam menurut surah-Nya,” surah di sini dengan maksud “acuan-aturan Sifat dan Nama-Nya.”
Salah satu nama dan sifat Allah ialah al-Badi‘, iaitu “yang menciptakan,” “yang mengadakan daripada tiada,” atau “yang berbuat yang baharu.”
Namun, sebagai ciptaan atau makhluk Allah, insan sama sekali tiada kemampuan untuk menciptakan yang serba baharu dari segenap segi.
Dengan kata-kata lain, apa sahaja yang baharu yang diusahakan oleh insan tetap berasal daripada ciptaan Allah dan akan selama-lamanya bergantung pada ciptaan Allah!
Justeru, insan perlu melakukan pembaharuan berpandukan aturan-aturan yang ditetapkan oleh Penciptanya, Allah Rabb al-‘Alamin, dalam bentuk ajaran agama yang diwahyukan kepada Rasul-Nya.
Jika tidak, pembaharuan atau inovasi yang diusahakan oleh seseorang insan itu akan menjadi tercela dan melayakkan insan perseorangan tersebut menerima balasan buruk pada Hari Akhirat kelak.
Dalam memerihalkan daya cipta, sangat penting untuk disedari bahawa daya itu terbit daripada keistimewaan diri rohaniah insan yang merangkum imaginasinya, atau apa yang dirujuk oleh ilmuwan Islam sebagai daya khayal (al-quwwah al-khayaliyyah).
Dalam huraian para alim ulama Islam, daya khayal dicirikan oleh empat macam kebolehan dan peranan: kebolehan untuk mencantum dan merungkai; kebolehan untuk menyerupakan sesuatu dengan yang lain; kebolehan untuk membantu ingatan semula; dan kebolehan untuk membantu kegiatan berfikir akal.
Kebolehannya yang pertama itu terdiri daripada kegiatannya bukan sahaja menghubung kait dan menghimpun pelbagai rupa-bentuk dan makna juz’i tetapi juga memisahkan rupa-bentuk dan makna juz’i itu.
Contohnya, tindakan memisahkan rupa-bentuk “kepala seorang manusia” daripada badannya dan mencantumkannya dengan rupa-bentuk “badan seekor kuda” untuk kemudiannya membentuk suatu rupa-bentuk juz’i baharu yang dalam kisah dongeng dikenali sebagai sentora.
Kebolehannya yang kedua itu pula melibatkan kegiatannya merupakan sesuatu itu serta membandingkan yang satu dengan yang lainnya.
Misalnya, sekiranya sesuatu itu diatur menurut tingkat, maka dirupakan aturan itu seakan-akan tangga.
Dalam hubungan erat dan mesranya dengan akal, daya khayal dapat melahirkan misalan-misalan, atau rupa-bentuk yang sepadan, bagi faham-faham yang rumit dan abstrak demi memudahkan khalayak ramai memahaminya.
Ini misalnya jelas dimanfaatkan dalam kisah-kisah teladan dan sindiran, seperti cerita beberapa orang buta yang berselisih faham tentang hakikat seekor gajah.
Berkenaan kebolehannya yang ketiga di atas itu, daya khayal insan sentiasa cergas bergerak dari satu rupa-bentuk kepada rupa-bentuk yang lain, dan dalam pergerakannya yang giat itu, turut terserempak dengan makna-makna tertentu yang telah dilupakan yang berkait dengan sesuatu rupa-bentuk.
Malah, kerana kecergasannya ini, daya khayal sangat membantu melalui kedua-dua kebolehan pertama dan kedua yang dinyatakan di atas dalam mengembalikan ingatan seseorang tentang sesuatu perkara atau makna yang telah dilupakan, sebagaimana yang ketara dimanfaatkan pada zaman ini melalui kaedah mnemonic dan teknik mind-mapping.
Seterusnya, daya khayal ini, melalui ketiga-tiga kebolehan utamanya di atas, turut giat membantu akal insan dalam kegiatan berfikir.
Malah, kerana bantuannya ini, ada ketikanya daya khayal turut digelar oleh para sarjana Islam sebagai daya berfikir (mufakkirah atau cogitative) dengan maksud “sebagai alat bagi akal-fikiran.”
Dalam kegiatan berfikir insan, daya khayal memainkan peranan utama dalam penyusunan dan pengaturan pelbagai muqaddamat atau premis (iaitu: butiran-butiran ilmu yang sedia ada atau telah diperoleh) bagi memungkinkan akal maju menyeberang untuk mencapai ilmu baharu (iaitu buah fikiran, atau natijah), suatu gerakan akliah yang dikenali sebagai i‘tibar.
Juga penting untuk disedari bahawa tertib susunan akliah yang tersebut di atas itulah yang dikaji dan diteliti dalam jurusan ilmu yang dikenali sebagai formal logic demi membezakan antara aturan fikiran yang betul dengan aturan fikiran yang salah. Kesimpulannya, butiran-butiran penting yang telah dibincangkan dengan mendalam dalam Tradisi Ilmu Islam dan digariskan secara ringkas di atas itu sangat mustahak difahami dengan baik oleh mereka yang serius ingin memartabatkan daya cipta pada kedudukan yang sepatutnya demi mengelak daripada terjerumus dalam kegiatan riuh-rendah berslogan yang kehampaan isi!