Seorang lelaki pernah bertanya, “Wahai Rasululullah, yang manakah antara manusia itu yang terbaik?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “yang panjang umurnya dan bagus perlakuannya.” Dan dia menyoal, “Maka yang manakah antara manusia itu yang paling jahat?” Rasulullah s.a.w. menyahut, “yang panjang umurnya dan durjana amalannya” (hadith hasan sahih, riwayat al-Tirmidhi, Ahmad, Ibn Zanjawayh, al-Tabrani, Hakim, dan al-Bayhaqi).
Imam al-Ghazali menerusi karya Ihya’ ‘Ulumiddin meriwayatkannya dalam ungkapan berbeza: “Kebahagiaan yang paling utama ialah panjang umur dalam ketaatan kepada Allah” atau dalam naskhah yang lain “panjang umur dalam ibadah kepada Allah.”
Kajian terhadap sirah para Sahabat, salafus soleh, ilmuwan dan sufi mendapati sebahagian besarnya dikurniakan umur yang panjang. Rasulullah s.a.w. pernah berdoa agar Allah memberkati usia pembantu Baginda iaitu Anas bin Malik r.a., yang hidup hingga umurnya 100 tahun.
Usia 100 tahun turut diraih oleh tokoh-tokoh seperti ‘Abdullah bin Buraydah dan Abu Ya‘la al-Mawsuli; sementara usia 90 tahun atau lebih dicapai oleh pesohor seperti al-Nabulsi, Abu Nu‘aym, Hakim Tirmidhi, Harb Kirmani dan Hasan al-Basri.
Para pengkaji bertambah kagum kerana tokoh-tokoh seperti itu sihat walafiat dalam zaman tanpa antibiotik, pembedahan, anestesia, vitamin, pengetahuan tentang kuman mikrob dan patogen penyebab penyakit.
Dalam zaman sekarang, Profesor Dr. Howard Friedman dan Profesor Dr. Leslie Martin menulis buku The Longevity Project yang menghidangkan ringkasan kaji selidik berdasarkan kepada temu-bual dan data kesihatan yang dikumpulkan tentang 1,528 peserta selama 80 tahun (mulai tahun 1921) di Amerika Syarikat. Terdapat banyak penemuan yang mengejutkan tentang kesihatan dan umur panjang; serta bab ke-11 mengaitkan Agama dengan Kesihatan dan diberi tajuk “Long Life Meets the Afterlife”.
Seorang penyelidik lain, Profesor Peter Martin pula menyatakan satu elemen yang kurang dihargai tetapi amat menyumbang kepada usia yang panjang dan sihat ialah “geotranscendence,” iaitu falsafah hidup yang berteraskan kerohanian berbanding dengan ideologi kebendaan atau rasional semata-mata.
Martin mendapati ramai individu yang berusia lanjut cenderung ke arah aspek spiritual apabila semakin tua dan matang. Mereka lebih pasrah kepada kepercayaan agama tentang Yang Maha Kuasa. Ini sangat membantu dalam menghadapi peristiwa kehidupan yang di luar jangkaan dan membingungkan. Dari sini timbul kesabaran dan kecekalan, yang merupakan ramuan usia yang sihat dan cergas.
Dalam pandangan alam Islam, keyakinan kepada Allah dengan doa, zikir, peribadatan dan ketaqwaan akan menyinari hati dengan kesejahteraan yang mendalam. Hati yang bahagia baik untuk kesihatan dan kehidupan, sementara hati yang sakit menyebabkan rasa kurang enak pada badan dan roh.
Dalam berhadapan dengan risiko kematian, jangkitan, kehilangan pekerjaan dan pendapatan, al-Qur’an memperingatkan bahawa “Tidak ada suatu bencana pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada kalbunya (untuk bersabar)…Allah! Tidak ada Tuhan selain Dia: dan kepada Allah wajiblah orang-orang mukmin bertawakkal” (al-Taghabun, 64: 11, 13).
Ayat tersebut menyerlahkan betapa mala petaka harus ditangani dengan keyakinan tawhid. Bala bencana datang sebagai dugaan daripada Yang Esa; maka seseorang hamba perlulah kembali kepada Allah moga-moga Dia menghilangkan penderitaan yang sedang dialaminya.
Dalam ayat yang lain, Allah memerintahkan Nabi agar menyampaikan “berita gembira kepada orang-orang yang sabar—orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka menyatakan: ‘Inna lillahi wa inna ilayhi raji‘un’” (al-Baqarah, 2: 155-156).
Istirja‘ mereka yang ditimpa musibah dan berkeyakinan bahawa segala sesuatu berasal dari Allah bererti: “Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.” Dalam mala petaka, mereka milik Allah (kerana itulah dilarang keluar dari kawasan yang sedang dilanda wabak); keluar dari bencana, mereka kembali kepada Allah Maha Pelindung.
Berita gembira bagi mereka yang sabar lagi beristirja‘ akan “mendapat keberkatan yang sempurna dan Rahmat dari Tuhan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” (al-Baqarah, 2: 157). Dikurniakan dengan keberkatan dan Rahmat tidaklah ternilai harganya, kerana di samping Rahmat Tuhan tiada lagi kesengsaraan.
Bertentangan dengan itu, mereka yang gagal untuk menjiwai hakikat yang sama akan berasa gusar dan panas hati disebabkan oleh musibah yang melanda. Golongan yang kedua ini gagal dalam meraih kebaikan daripada bencana.
Pernah berlaku, lampu Nabi s.a.w. padam, maka Baginda pun mengucapkan istirja‘ (inna lillahi wa inna ilayhi raji‘un), lalu bertanya Aisyah isteri Baginda, “Bukankah ini hanya sebuah lampu?” Jawab Nabi s.a.w., “Setiap yang mengecewakan (hati) orang mukmin itu bererti musibah” (riwayat Abu Dawud).
Dalam sebuah hadith disebutkan, “Barang siapa yang istirja‘ ketika dilanda musibah, maka ia dikurniakan balasan yang baik oleh Allah dan diiringi-Nya dengan kebahagiaan.”
Ayat-ayat Qur’an tersebut juga menyatakan bahawa “mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” (al-Baqarah, 2: 157) yang bermakna Allah menerangi kefahaman mereka tentang hakikat yang sebenar berlaku. Istirja‘ bukan bermaksud pasif tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya ia merujuk kepada tindakan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan. Ahli-ahli sains perubatan Muslim silam, umpamanya, banyak melakukan eksperimen dan menyimpulkan bahawa penyebab kepada wabak ialah miasma iaitu “jangkitan melalui persekitaran”. Ini merintis kepada teori sains moden tentang kuman (germ-theory). Istilah waba’ terbit daripada wabi’a bererti “tercemar dengan jangkitan”. Kajian Profesor Dr. Boaz Shoshan mendapati pada awal kurun Hijri lagi karya-karya perubatan Muslim telah mengandungi penjelasan yang jitu tentang waba