NEGARA kita kini sedang menghadapi suasana pilihan raya yang amat rancak. Sebagai rakyat negara yang telah menghadapi pilihan raya selama sembilan kali, rakyat Malaysia seharusnya telah matang dan berakal dalam membuat pilihan mereka dan dalam menentukan sikap serta pendirian masing-masing.
Bagaimanapun, nampaknya keadaan tidaklah seperti yang diharap-harapkan, kerana dari suasana berkempen, cara meraih simpati dan sokongan, kelihatan beberapa kalangan rakyat yang agak mentah tidak rasional dan lebih dari itu tidak bersopan.
Satu fenomena tidak sihat yang kelihatan dalam masyarakat Islam dalam menjalankan kempen pilihan raya kali ini, ialah melabelkan orang-orang yang mereka tidak senangi, atau musuh politik mereka, dengan label-label yang tidak sopan, tidak beradab, kata-kata kasar dan kesat serta ungkapan-ungkapan yang tidak seharusnya keluar dari mulut dan lidah seorang Islam.
Kata-kata yang tidak bersopan ini pula dibawa dan dicetak di media-media tertentu yang dibaca oleh berbagai-bagai golongan pembaca dari berbagai-bagai peringkat umur secara bebas.
Saya tidak pernah melihat kempen pilihan raya sekeji ini berbanding pilihan raya yang telah berlalu, iaitu kempen yang amat menyeluruh secara terbuka dan rasmi oleh tokoh-tokoh yang mendalami ajaran agama sendiri yang dipenuhi oleh sumpah seranah terhadap sesama Islam, penyebaran berita dan gambar-gambar palsu dalam bentuk fitnah dan berniat jahat.
Semua perkara yang pada masa dulu tidak pernah dilakukan orang, malah tidak pernah terlintas akan dilakukan orang, tetapi kali ini semuanya itu boleh berlaku, malah telah dan sedang pun dilakukan dengan amat berleluasa sekali.
Kalangan yang menggunakan media, poster, Internet dan lidah sendiri bagi menyebar dan lantang bersuara dengan menggunakan senjata mulut dan alat cetak atau elektronik yang amat beracun itu tanpa segan silu lagi menekankan suara mencanang tentang keburukan yang direka-rekakan tentang orang lain, tetapi tidak pula pasti sama ada ia baik atau sebaliknya.
Kita akui bahawa polemik dan kepelbagaian pandangan dan pemikiran di dalam masyarakat adalah sesuatu yang boleh diterima dan dibincangkan dalam rangka pembangunan negara, termasuk dalam merebut kuasa secara demokrasi melalui pilihan raya seperti yang akan kita hadapi nanti. Tetapi yang tidak dapat diterima ialah perbuatan memaksa pandangan sendiri secara sempit, tidak bertamadun dan tidak beradab, atau tidak bersandarkan kepada akal fikiran, apa lagi intelek manusia, maka hal inilah yang tidak sepatutnya wujud di dalam masyarakat kita yang telah matang dan membangun dengan baik di dalam bidang-bidang pembangunan yang lain sekarang ini.
Memaksa kanak-kanak sekolah untuk menganut fahaman politik kepartian tertentu yang digandingkan dengan tokoh wali dan suci seolah-olah kata-kata tokoh itu seperti wahyu dari Tuhan umpamanya, merupakan satu rangka mengawal minda dan pemikiran kanak-kanak supaya menuju ke satu arah pemikiran sahaja.
Hal ini mengongkong dan mengelirukan kanak-kanak yang belum pun tahu menyelesaikan satu persoalan matematik yang mudah, atau membuat ayat dalam karangan yang pendek. Tiba-tiba anak-anak begini sudah diasuh supaya menyembah ideologi satu parti politik, seolah-olah menyamakan parti politik dengan ajaran agama, dan memuja orang yang menerajuinya seperti wali serta membenci pemimpin dan negara sendiri secara mutlak.
Saya merasa inilah fenomena yang berlaku di dalam masyarakat dunia Islam iaitu ketika pemikiran menjadi tertutup dan buntu, sedangkan dalam masa yang sama persaingan untuk merebut kuasa terbuka dengan luas, maka agama telah menjadi satu modal penting untuk mendapat sokongan. Agama boleh menjadi tarikan yang baik, kerana masyarakat rata-ratanya tidak cukup bersedia dengan pengetahuan agama yang luas, atau hanya mempunyai pengetahuan agama secara asas tanpa mempunyai kepekaan terhadap keadaan semasa dan realiti sosial serta keadaan sekeliling.
Dalam konteks inilah, telah saya tegaskan juga di dalam tulisan-tulisan saya melalui ruangan ini pada masa yang lalu, bahawa kemajuan pemikiran dan agenda agama di negara kita yang telah agak terkehadapan dan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan agama dan umat kita, nampaknya sekarang mengalami kemunduran dan kemerosotan ke belakang. Hal ini kelihatan amat ketara dengan berlakunya perkara-perkara yang saya tegaskan di atas, dan salah satunya ialah perebutan kuasa dan kerusi menjelang pilihan raya ini. Di samping menggambarkan kesempitan pemikiran, maka kita juga mengalami kemerosotan nilai akhlak dan moral dengan cara dan taktik kita yang sebenarnya tidak berlunaskan ajaran agama yang sebenarnya.
Kebetulan sekali semasa kempen ini berlaku, saya berada di Jepun kerana menghadiri satu persidangan anjuran sebuah badan bukan kerajaan Amerika Syarikat bersama sebuah badan yang sama dari Jepun. Kedua-dua badan ini menjemput perwakilan dari Amerika dan Iran untuk memulakan dialog bagi mencari jalan menyelesaikan masalah bersama yang dihadapi oleh kedua negara berkenaan setelah sekian lama terputus. Para peserta Amerika dan Iran memerah otak berbincang dan merangka beberapa strategi yang penuh diplomasi dan beradab untuk dikemukakan kepada pemikiran umum kedua-dua buah negara sebagai pembuka jalan bagi mengatasi krisis antara Amerika dan Iran.
Ternyata di sini bahawa kedua negara yang bermusuh dan berlainan wawasan dan ideologi itu pun masih mahu mempertahankan adab dan tatasusila berbahasa dan berbincang sebagai bangsa yang bertamadun dan berperadaban. Malah yang lebih menariknya negara kita dijemput berasaskan kepada pengalaman kita sebagai negara yang mengamalkan Islam dalam konteks masyarakat berbilang budaya dan kaum. Hanya kita yang dijemput untuk mengemukakan pengalaman dalam mencapai objektif persidangan ini, yang membayangkan tingginya pandangan mereka kepada kita.
Tetapi balik ke rumah, ke negara sendiri, jurang pemikiran dan keterbukaan sikap, kelihatan amat jauh berbeza sedangkan kita adalah orang Islam dan berakhlak Islam.
Bagaimana pun saya berharap bahawa kekecohan pemikiran dan kebingungan otak kita tidaklah merupakan sesuatu yang kekal dan berterusan hingga ke anak cucu kita. Biarlah hal ini merupakan satu ombak sementara dalam keghairahan orang merebut kuasa dalam politik, kerana saya percaya orang-orang yang menabur janji dan mengatakan sesuatu yang buruk kepada lawannya itu sebenarnya ia sendiri mungkin tidak mempercayainya dan ia sendiri tahu bahawa janji-janjinya yang besar-besar itu adalah kosong dan palsu sahaja.
Sebagai seorang awam dan sebagai rakyat yang rasional dan berakal, sebagai orang Islam yang mengetahui bahawa Rasul dan Nabi terakhir hanyalah Nabi kita Muhammad s.a.w, dan sebagai pengundi yang selama ini menolak sebarang aliran ekstrem dan aliran perkauman dan keagamaan melulu, marilah kita semua menghadapi pilihan raya ini secara terbuka dan bijaksana.