Tulisan kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dan seterusnya ingin mengupas satu isu berkaitan dengan hak makhluk Allah untuk terus hidup. Pada 21/1/2022 yang lalu datang 3 orang petugas ke rumah saya. Dari luar pagar mereka mengeluarkan senapang dan seterusnya menembak gugur 3 ekor monyet satu demi satu dari sebatang pokok yang besar dan rimbun. Pokok tersebut telah berpuluh-puluh tahun ada di hadapan rumah saya seakan-akan menjadi rumah perlindungan bagi monyet-monyet di kawasan ini. Ini adalah kerana habitat mereka telah dimusnahkan oleh manusia maka pokok ini menjadi tempat mereka berlindung dan tidak terdapat pokok buah-buahan di sini, yang ada hanyalah kawasan perumahan yang dipenuhi dengan hutan konkrit atau hutan batu.
Saya termenung sejenak memikirkan apakah makhluk Allah telah dinafikan hak mereka untuk hidup? Setelah habitat mereka dimusnahkan oleh manusia kini manusia mula membunuh mereka pula ? Namun, bagi mereka yang berfikiran secara logik semata-mata menamatkan riwayat monyet ialah jalan terbaik.
Saya ingin memetik dua ayat Al-Quran yang ada hubung kait dengan isu ini. Pertama di dalam Surah al-Jumaah ayat yang pertama mafhumnya “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam) Yang Maha Suci, Yang Maha Bijaksana” (al-Jumaah:1).
Dalam ayat ini, perkataan bertasbih/memuji yang menggunakan Fi’il Mudhori’ iaitu kata kerja bahasa Arab yang digunakan untuk merujuk kepada peristiwa sekarang dan masa depan atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai present continuous tense.
Jadi apa kaitan dengan ayat ini? Allah SWT menjelaskan bahawa kesemua makhluk yang ada di langit dan apa yang ada di bumi sentiasa memuji kepada Allah pada setiap masa iaitu pada masa sekarang sehinggalah hari kiamat. Makhluk ini termasuklah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Apabila kita telah membunuh seekor monyet misalnya maka mereka tidak lagi dapat memuji kepada Allah maka siapakah yang akan menjawab di hadapan Allah SWT nanti.
Allah memberitahu kita bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga memuji Allah walaupun pujian ini bukanlah dalam bentuk yang difahami oleh manusia. Ini jelas menunjukkan bahawa tujuan penciptaan haiwan ini bukanlah sia-sia tetapi adalah untuk menyembah Allah SWT sebagaimana juga manusia. Firman Allah SWT mafhumnya “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha pengampun“. (Al-Israa’:44).
Kedua, saya juga ingin memetik ayat bahawa haiwan juga akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka sebagaimana Firman Allah SWT mafhumnya “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya melainkan mereka umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)” (Surah al-An’aam:38).
Islam ialah agama yang mengajar penganutnya supaya menyantuni haiwan dengan belas kasihan dan kebaikan. Malah, haiwan mempunyai status yang tinggi apabila terdapat begitu banyak nama surah di dalam al-Quran yang menggunakan nama-nama haiwan: Al-Baqarah (Lembu betina ); An-Nahl (Lebah); Al-Fil (Gajah); Al-An’am (Ternakan); Al-Ankabut (Labah-labah); dan An-Naml (Semut).
Dalam Islam, manusia mempunyai tanggungjawab moral untuk berlaku adil terhadap haiwan. Apabila kita dapati haiwan-haiwan ini telah keluar mencari makanan di kawasan kediaman manusia ini secara jelas memberitahu kita bahawa habitat mereka telah dimusnahkan oleh manusia maka mereka perlu mencari makanan di kawasan kediaman manusia pula demi kelangsungan hidup mereka. Jika manusia tidak memusnahkan habitat mereka sudah pasti mereka akan kekal secara aman dalam habitat mereka.
Nabi Muhammad SAW memberitahu kita berulang kali bahawa orang yang melayani haiwan dengan hormat akan diberi ganjaran kebaikan, manakala orang yang melayani haiwan dengan kejam akan dihukum. Di sini saya ingin memetik dua buah hadis sahih yang dapat dikaitkan dengan pesanan tersebut. Pertama, “Seorang wanita dihukum kerana menyimpan seekor kucing yang terikat sehingga ia mati, dan (sebagai hukuman untuk kesalahan ini) dia dicampak ke neraka. Dia tidak memberinya makanan, atau minuman, dan tidak membebaskannya supaya dia boleh memakan serangga di bumi.” (Muslim)
Hadis yang kedua pula, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang yang terseksa kehausan ketika perjalanannya, apabila dia terjumpa sebuah telaga. Dia turun ke dalamnya dan meminum air dan kemudiannya keluar, melihat seekor anjing yang menjelirkan lidahnya kerana dahaga dan memamah tanah yang lembap. Orang itu berkata: ‘Anjing ini telah menderita kehausan sama seperti aku.’ Dia turun semula ke dalam telaga, memenuhi kasutnya dengan air, dan memanjat naik dan memberikan anjing itu minum. Maka Allah menghargai perbuatannya ini dan memaafkannya dan dimasukkan ke syurga…” (Hadis Riwayat Bukhari)
Oleh itu, apa yang dapat kita pelajari ialah penegasan oleh Rasulullah SAW supaya kita melayani haiwan dengan empati dan kebaikannya telah terbukti. Rasulullah SAW ialah perintis dari segi hak asasi haiwan semasa hayatnya. Ada beberapa Hadis menunjukkan bagaimana kita patut melayani haiwan dalam konteks yang berbeza. Haiwan yang berkhidmat kepada manusia seharusnya diperlakukan dengan adil. Mereka tidak sepatutnya dizalimi dalam keadaan apa sekalipun. Semasa perjalanan dengan haiwan, Nabi Muhammad SAW bersabda : “Apabila kamu melalui tanah yang subur, kamu patut berjalan dengan perlahan dan memberi unta peluang untuk meragut rumput di kawasan tersebut. Apabila kamu melalui tanah gersang yang kekurangan tumbuhan, percepatkanlah langkah mereka bagi mengelakkan unta kamu daripada lemah dan kurus kering kerana kekurangan makanan.” (Muslim)
Pada zaman Nabi Sulaiman AS pula apabila Nabi bersama bala tenteranya Nabi terdengar ucapan seekor semut meminta agar semut-semut yang lain bersembunyi di dalam sarang. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran Surah An-Naml ayat ke-18 mafhumnya, “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Lembah semut, berkatalah seekor semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedangkan mereka tidak menyedari. (Surah An-Naml:18). Ucapan dari seekor semut yang kecil telah membuat Nabi Sulaiman AS tersenyum dan merenungkan makna kehidupan sebenar.
Akhir sekali, segala bukti yang diberikan dalam artikel ini, sepatutnya sudah jelas bahawa Islam mengajar kita supaya memberi layanan yang baik terhadap haiwan. Tetapi, amat menyedihkan apabila haiwan sering tertakluk kepada persekitaran yang kejam, termasuklah dikurung, kucing dibuang ke merata tempat supaya mati kebuluran, monyet, harimau, gajah, anjing liar ditembak mati.
Sekiranya haiwan ini dianggap mengganggu santuni mereka sebaik mungkin kerana haiwan tidak mempunyai akal. Pindahlah mereka ke habitat yang selayaknya untuk mereka hidup bukan menembak mati.
Ingatlah jika kita berlaku zalim terhadap haiwan bersedialah menerima pembalasannya sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 47 mafhumnya “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari Kiamat, maka tidak ada sesiapa akan teraniaya sedikit pun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun) nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung”