Politik dan kuasa tidak dapat dipisahkan. Apabila berbicara mengenai politik, ia merujuk kepada bagaimana kuasa digunakan oleh mereka yang memilikinya untuk menentukan hala tuju pemerintahan, pentadbiran dan juga pengurusan negara. Corak yang hampir sama juga wujud di dalam mana-mana organisasi apabila kuasa digunakan untuk menguruskan pentadbiran organisasi tersebut. Bagi sebuah negara yang mengamalkan prinsip demmokrasi, persaingan mendapatkan kuasa melalui sistem pilihanraya yang teratur dan sistematik merupakan salah satu indikator kepada kesuburan demokrasi di dalam negara tersebut. Dari sudut pandang Islam, kuasa politik mestilah memenuhi objektif syariah atau pun maqasid syariah. Tujuan atau matlamat sesuatu undang-undang Islam adalah untuk memelihara kehidupan manusia di muka bumi ini dengan aman dan teratur, memastikan manusia berlaku adil dengan ketinggian moral dan integriti serta melakukan perubahan yang perlu dengan perancangan yang terbaik. Sehubungan itu, politik juga haruslah memenuhi tuntutan maqasid ini agar kebaikan dari undang-undang dan peraturan yang bernaung di bawah prinsip Islam dapat dinikmati oleh umat Islam dan masyarakat secara keseluruhan. Di sinilah prinsip keadilan akan terserlah. Di dalam Surah al-Sad, Ayat 26 Allah SWT berfirman:
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan.”
Justeru, seseorang pemimpin seharusnya menyedari bahawa kuasa politik yang diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi, perlu digunakan sebaiknya bagi mencapai matlamat tertentu. Antara matlamat ini adalah memastikan kebajikan rakyat terbela. Mutakhir ini, dapat dilihat bahawa rakyat berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memastikan kelangsungan hidup. Pandemik COVID-19, ditambah pula dengan ujian banjir besar, keadaan cuaca yang tidak menentu, kenaikan harga barang, kehilangan pekerjaan dan bermacam lagi dugaan yang menimpa masyarakat, kehidupan menjadi amat gelisah bagi mereka. Kegelisahan rakyat ini seharusnya diredakan melalui langkah-langkah kukuh oleh kerajaan yang bersifat proaktif, jelas dan cekap. Ini akan dapat dicapai melalui wadah kepimpinan yang stabil, bervisi dan kukuh.
Kebajikan untuk rakyat meliputi pelbagai aspek seperti kesihatan yang baik, keselesaan dan kesejahteraan hidup. Bagi memastikan semua aspek kebajikan ini terpelihara, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan rakyat diperkasakan dengan bantuan-bantuan yang bersesuaian. Kesejahteraan hidup yang meliputi pelbagai dimensi seperti merasa aman, selamat dan dilinduingi serta wujudnya peluang untuk meningkat kualiti hidup individu dan keluarga ke tahap yang lebih baik juga adalah antara fokus penting bagi program dan dasar berkaitan kebajikan yang perlu diberi perhatian. Pemimpin, melalui kuasa yang diperolehi perlu melaksanakan amanah kepemimpinan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sentiasa cakna tentang kebajikan rakyat. Pemimpin juga perlu mempunyai kebijaksanaan dan berani melakukan perubahan-perubahan yang penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat dipenuhi.
Apabila kebajikan rakyat diletakkan sebagai satu keutamaan, pihak yang bersaing untuk kuasa, tidak kira sama ada kalah atau menang, akan terus membela nasib rakyat. Usaha sebegini tidak harus terhenti disebabkan kegagalan mendapatkan kuasa memimpin ataupun kedudukan di dalam sesebuah kerajaan. Keikhlasan sebenar seorang pemimpin terhadap misi kepimpinannya adalah apabila diuji dengan kekalahan dalam persaingan mendapatkan kuasa, kerja-kerja untuk masyarakat akan sentiasa berterusan.
Namun begitu, perebutan kuasa yang berpanjangan dan melampau mampu menjadikan rakyat letih dan merencatkan usaha-usaha pembangunan negara. Rakyat juga tidak boleh menjadi mangsa kepada sebarang bentuk perebutan kuasa politik. Pemimpin perlu sentiasa sedar bahawa sebarang persaingan kuasa harus meletakkan kebajikan rakyat sebagai antara agenda utama. Kuasa yang diperolehi adalah merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digunakan untuk kebaikan. Seharusnya pihak yang mendapat manfaat daripada kedudukan dan kuasa yang diperolehi oleh pemimpin adalah masyarakat secara keseluruhan. Sejujurnya, pemimpin mempunyai peluang terbaik untuk memberi manfaat kepada ramai orang. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: “ Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain”.
Para pemimpin yang baik, adil dan bersungguh-sungguh di dalam menunaikan amanah akan mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah SWT. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aṣ bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang berbuat adil akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya di sisi Allah: (iaitu) orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, dan keluarga serta apa yang mereka pimpin.”
Pemimpin yang dipilih untuk melaksanakan amanah kepimpinan dalam apa jua kapasiti, sama ada sebagai pemimpin negara, organisasi, masyarakat dan komuniti perlu sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kelompok yang dipimpin. Kesedaran berkenaan perkara ini adalah penting kerana kuasa kepimpinan itu datangnya daripada mereka yang dipimpin dan jika amanah ini tidak dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, maka masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap keupayaan mereka untuk memimpin. Sehubungan itu, sebagai pemimpin yang ikhlas dan jujur dalam memenuhi tanggungjawab kepimpinan, adalah penting untuk membalas kepercayaan yang diberi kepada mereka dengan berbakti dan memelihara kebajikan rakyat secara keseluruhan. Menang atau kalah dalam persaingan kuasa politik, rakyat sentiasa perlu diberi keutamaan.