Institusi kehakiman perlu dipelihara kerana ia merupakan satu-satunya badan yang bertanggungjawab dalam menegakkan keadilan di dalam sesebuah masyarakat dan juga Negara.
Institusi ini tidak harus dicemari dengan pelbagai gejala buruk seperti rasuah dan lain-lain, dan tidak harus ada campur tangan daripada mana-mana pihak dalam urusannya. Ia merupakan satu badan yang semestinya bebas daripada sebarang gangguan dalam apa jua keputusan yang diambil. Hakim, sebagai penggeraknya, hendaklah terdiri daripada mereka yang terpilih dan tunduk kepada adab-adab yang diterima pakai di dalam bidang ini (rujuk maksud ayat 135, surah al-Nisa’ dan ayat 152, surah al-An`am).
Dalam Islam, institusi kehakiman hanya dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga dari segi ketinggian akhlak, peribadi dan kemampuan diri. Syarat-syarat utama dalam pemilihan seseorang hakim, antaranya ialah:
bersifat adil, berilmu serta kefahaman yang mendalam (supaya dengan itu keputusan yang dibuatnya akan membawa manfaat, bukannya membawa kepada kemelut dan kezaliman),
mampu melaksanakan tugasnya dengan sempurna (boleh melihat, mendengar, bertutur, sempurna akal dan baligh),
bersifat amanah, jujur, berupaya menegakkan keadilan tanpa gentar dan curang,
bersifat sabar, tegas, bersopan dan bertimbang rasa (al-Nawawi, 11:92,94-97, Jurnal al-Ahkam, Jld 5:54,61).
Seseorang yang tidak berkelayakan untuk menjadi hakim dilarang sama sekali menerima perlantikannya (jika ditawarkan), di samping dia dilarang memohonnya. Malah perlantikannya ke jawatan itu dihukum tidak sah (al-Nawawi, 11:92,123).
Perlantikan seseorang hakim adalah menjadi tanggungjawab pemerintah; mencari dan mengenal pasti siapa di antara rakyatnya yang layak untuk diugaskan sebagai hakim. Perlantikan seseorang yang tidak berwibawa dan tidak sempurna syarat kelayakannya sebagai hakim menyebabkan perlantikan itu sendiri tidak sah dan terbatal, hinggakan dalam perlantikan seorang yang layak, tetapi dengan kehadiran calon lain yang lebih utama, maka perlantikan itu dikira tidak sah. Seorang ilmuan yang berkelayakan menjadi hakim wajib memperkenalkan dirinya kepada pemerintah jika tiada calon lain yang berkelayakan. Apabila dilantik, dia tidak harus menolak atas apa jua alasan sekalipun (al-Nawawi, 11:92-93).
Jika hakim yang sedang bertugas itu zalim atau jahil, maka digalakkan bagi calon yang berkelayakan memohon jawatan itu kerana kewujudan hakim tersebut dianggap sebagai tiada (al-Nawawi, 11:93).
Seorang hakim adalah terikat dengan beberapa peraturan di luar mahkamah semasa dia bertugas sebagai hakim, antaranya;
tidak digalakkan menceburkan diri di dalam perniagaan dan apa sahaja urusan mu`amalat harta benda.
dilarang menerima jemputan walimah daripada orang-orang yang terlibat di dalam kes yang diadilinya.
dilarang berusaha memenuhi keperluan dirinya yang boleh menimbulkan tohmah terhadap dirinya.
dilarang menerima rasuah dan hadiah,
dikehendaki menaiki kenderaan khas ke mahkamah dan juga berpakaian khas.
Mengulas isu penerimaan rasuah di kalangan pengamal undang-undang yang mencabar Institusi Kehakiman negara, kesemua ulama’ mengatakan bahawa apabila seorang hakim menerima rasuah, maka apa sahaja keputusan perbicaraannya tidak harus dilaksanakan. Justeru, pemerintah wajib memecatnya pada saat itu juga kerana dia sudah kehilangan sifat adil (malah bertukar menjadi seorang fasiq akibat perbuatannya itu) yang menjejaskan syarat utama dalam perlantikannya sebagai hakim.
Begitu juga dengan hadiah, dia juga dilarang menerimanya sekalipun terdapat hubungan kekeluargaan di antaranya dengan pemberi hadiah berkenaan kerana dengan penerimaan itu boleh menyebabkan dirinya ditohmah (diragui kejujurannya dalam melaksanakan tanggungjawab) atau dia sendiri akan bersimpati kepada pemberinya apabila dia membicarakan kesnya. Keadaan ini akan memusnahkan hak pendakwa serta menjejaskan keadilan yang menjadi tanggungjawabnya (al-Nawawi, 11:142-143; Dr. Wahbah al-Zuhaili, 6:501).
Justeru, pihak berkuasa perlulah peka dan mengambil tindakan segera terhadap setiap individu yang ada kaitan mereka dengan penguatkuasaan undang-undang, khususnya hakim, yang abai terhadap tanggungjawab masing-masing akibat penerimaan rasuah, hadian, salah laku dan lain-lain. Renunglah peringatan Allah di dalam surah al-Nisa’ (ayat 58) yang mewajibkan seseorang hakim itu dilantik daripada kalangan yang ahli (memiliki kelayakan) dan apabila dia menghukum maka hendaklah dia menghukum dengan adil. Allah sentiasa mendengar lagi melihat (memantau) apa yang dilakukannnya.