Penyalahgunaan dadah merupakan satu ancaman yang amat besar kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Justeru, pelbagai kaedah dan pendekatan telah digunakan dalam usaha untuk menangani kemelut ini. Jika sebelum ini, pendekatan bagi menyelesaikan masalah penyalahgunaan dan ketagihan dadah dilihat dari sudut keselamatan, namun bermula 2006, pendekatan yang baharu telah mula diperkenal dan dilaksanakan. Sejak itu, isu dan kemelut ini telah mula dilihat dari sudut yang lebih berperikemanusiaan, dengan menggunakan pendekatan yang lebih ke arah menyantuni golongan penagih dadah sebagai kelompok masyarakat terpinggir dan terabai, yang lebih memerlukan pertolongan dan sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat, serta pendekatan yang berlandaskan kepada perubatan dan kesihatan.
Pendekatan ini adalah hasil daripada pengamatan mendalam dan kajian terperinci serta tanpa wujud sebarang prejudis terhadap hak dan keperluan individu yang terlibat dalam kancah penyalahgunaan dan ketagihan dadah. Pendekatan ini lebih dikenali sebagai pendekatan pengurangan risiko (harm reduction), iaitu sebarang tindakan yang boleh dan mampu mencegah atau mengurangi sebarang risiko atau kesan keberbahayaan yang akan timbul dan terhasil daripada amalan yang buruk atau tidak sihat. Perkara ini tidak bercanggah pun dengan ajaran Islam. Hal ini kerana Islam turut mempuyai kaedah fiqhiah tersendiri yang berkaitan, iaitu jika terdapat dua atau lebih kemudaratan, maka jalan terbaik adalah memilih pendekatan yang paling kurang darjah dan risiko kemudaratannya. Di samping itu, adalah turut dimaklumi bahawa kajian menunjukkan ketagihan dan penyalahgunaan dadah ini turut mengundang risiko seperti jangkitan dan penyakit khususnya HIV dan AIDS, hepatitis, sifilis dan lain-lain.
Seterusnya, dadah yang disalahgunakan itu juga turut mendatangkan kesan penyakit lain kepada penagih seperti penyakit otak, kemurungan dan kerisauan, gila dan sebagainya. Atas faktor-faktor ini, terdapat dua pendekatan yang telah diperkenalkan dan digunakan untuk mengurangi kesan risiko keberbahayaan dari gejala tersebut, iaitu Terapi Gantian Methadone dan pemberian jarum suntikan secara percuma kepada para penagih. Methadone digunakan dalam rawatan kerana ia dilihat sebagai bahan rawatan gantian yang lebih harmoni, manakala pemberian jarum suntikan percuma adalah sebagai langkah mengurangi perbuatan berkongsi jarum dengan penagih lain dan seterusnya dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang perebakan jangkitan yang boleh berpunca daripada perkongsian jarum suntikan.
Gambaran situasi di sini ialah, risiko itu tetap ada, namun ia menjadi berkurang. Perkara ini boleh dianggap lebih baik atau mungkin juga yang terbaik, asalkan tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada. Lantaran itu, kesan buruk yang muncul daripada situasi ini dapat dikurangkan, malah lebih baik jika ia dapat dicegah atau dielakkan terus. Untuk rekod, pendekatan tersebut pernah menimbulkan fenomena tentangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat ketika pada peringkat awal ia mula diperkenalkan iaitu sekitar tahun 2006. Namun, setelah lebih 10 tahun ia dilaksanakan, masyarakat semakin boleh menerima perubahan ini sebagai satu pendekatan ke arah pemulihan yang lebih harmoni. Ia dilihat lebih baik memandangkan hasil kajian-kajian yang dijalankan turut menunjukkan pengurangan kadar jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan penagih yang mengaplikasikan kaedah ini.
Kajian yang berkenaan juga telah menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu bentuk ketagihan. Ketagihan pula boleh difahamkan sebagai sejenis penyakit. Berdasarkan kepada beberapa dapatan kajian yang telah dilaksanakan dalam konteks seperti itu, ketagihan atau penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang lain sebenarnya memerlukan pendekatan rawatan dan pemulihan secara perubatan dan kesihatan dalam usaha untuk menanganinya. Besar kemungkinannya bahawa keadaan yang harmoni seperti ini, yang terhasil daripada dua kaedah pendekatan saintifik ini, tidak akan terhasil selagi masyarakat menolaknya. Namun ramai juga yang bersifat positif.
Seterusnya, satu perkara yang tidak dapat disangkal lagi ialah sebenarnya penerimaan ini turut bertitik tolak daripada dasar atau pendekatan ‘nyah jenayah’ terhadap golongan penagih. Pendekatan nyah jenayah ialah satu pendekatan yang tidak menganggap, melabel atau menghukum para penagih sebagai golongan penjenayah. Memang kemelut dadah adalah isu undang-undang dan keselamatan kerana ada unsur jenayah di situ. Tetapi, banyak juga kajian yang mendapati permasalahan dadah bukanlah isu keselamatan dan undang-undang semata-mata. Malah terdapat ramai juga golongan penagih yang masih lagi di bawah umur, dan boleh dipersoalkan sama ada mereka adalah penjenayah kerana undang-undang tidak memperuntukkan hukuman jenayah bagi mereka yang masih di bawah umur. Hakikatnya, terdapat pelbagai faktor dan punca seseorang individu itu terlibat dalam kancah penyalahgunaan dan ketagihan dadah, dan hukuman jenayah juga bukan satu-satu jalan penyelesaian dalam kemelut ini.
Oleh yang demikian, pendekatan pengurangan risiko dalam menangani kemelut dadah mungkin tidak akan berhasil selagi golongan itu dilabel sebagai penjenayah. Mereka mungkin akan dinafikan hak mereka untuk mendapatkan rawatan dan sokongan jika mereka itu dianggap sebagai penjenayah. Malah, secara logiknya, sanggupkah masyarakat setempat menerima mereka sebagai anggota keluarga dan masyarakat jika golongan ini terus dilabel sebagai penjenayah? Akhirnya, situasi ini akan menggagalkan matlamat untuk mengintegrasikan semula golongan ini dalam masyarakat dan menerima mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat. Usaha membanteras stigma penagih sebagai penjenayah yang ditakuti dan digeruni, dan tidak boleh disantuni, akan terus gagal. Perkara inilah yang perlu dielakkan. Usaha membantu akan berhasil apabila masyarakat tidak lagi memandang serong atau menghukum golongan ini dan terus bersedia untuk menerima dan membantu mereka untuk kembali pulih dan terus menyumbang kepada kesejahteraan negara dan masyarakat. Seterusnya mereka tidak akan lagi terus bergelumang di dalam kancah dan perangkap ketagihan dadah. Marilah kita sedari bahawa mereka lebih memerlukan bimbingan dan bantuan, sokongan serta rawatan daripada masyarakat, bukannya hukuman.