Tidak berapa hari lagi, umat lslam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Hari raya ini disambut dengan begitu meriah sekali bagi meraikan kemenangan umat lslam setelah selesai menunaikan ibadat puasa selama sebulan. Puasa yang bertujuan untuk membentuk peribadi Muslim yang sebenar diharapkan dapat mencapai matlamatnya. Adalah diharapkan keperibadian Muslim yang cuba dibentuk itu dapat dikekalkan dan tidak runtuh bersama datangnya fajar Syawal.
Bagaimanakah persiapan kita untuk menyambut hari raya pada tahun ini? Apakah kita terlalu disibukkan dengan persiapan-persiapan yang material sifatnya seperti pakaian baru, kasut baru, langsir baru, permaidani baru, kuih-muih yang berbagai dan seumpamanya? Ataukah kita sudah bersedia untuk menyambut Syawal ini dengan semangat yang cuba dipupuk oleh ibadat puasa itu sendiri yakni untuk mengawal diri dan nafsu?
Walaupun maksud yang tersirat di sebalik sambutan hari raya Aidil Fitri itu bertujuan untuk meraikan kemenangan, tetapi janganlah keseronokan itu melekakan kita sehingga segala sifat peribadi yang telah dipupuk pada bulan Ramadan itu terlerai satu persatu. Umat lslam hendaklah menyambut Aidil Fitri ini dengan sederhana. Elakkan daripada berlebihan dalam berbelanja dan persiapan. Jauhkan sifat menunjuk-nunjuk dan riak dengan persiapan yang dibuat daripada bertapak dalam hati. Sebaliknya, selalu ingatkan matlamat puasa yang sebenarnya agar kita sentiasa dapat mengawal diri dan nafsu kita.
Apa yang lebih baik kita lakukan dalam menyambut Aidil Fitri ini ialah untuk mempereratkan hubungan sesama kita. Gunakanlah kesempatan ini untuk mempererat dan menjalin hubungan dengan ahli keluarga yang lain, dengan jiran, rakan-rakan, saudara seagama yang lain, mahupun dengan semua ahli masyarakat. Amalan-amalan semasa menyambut hari raya, yang telahpun menjadi budaya kita, sememangnya memberi ruang untuk tujuan ini. Amalan-amalan tersebut, baik yang dianjurkan oleh lslam, mahupun yang berasal dari budaya setempat, haruslah dipertingkat bagi memperkukuh hubungan sesama kita. Dalam Surah ar-Ra’d, ayat 20-23, Allah S. W. T. telah menjanjikan balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kepada mereka yang menghubungkan silaturahim. Demikian juga, Rasulullah s.a. w. telah bersabda yang maksudnya,
‘Sesiapa yang mahu dimurahkan rezekinya dan diberkati usianya yang panjang, maka jalinkanlah hubungan’ (Bukhari dan Muslim).
Sembahyang raya misalnya, memberi ruang untuk umat lslam bertemu dan saling mengenal. Yang di bandar, mungkin inilah peluang untuk kita bersua muka dengan jiran kita sendiri. Manakala yang di kampung, inilah peluang untuk bertemu rakan lama atau orang kampung lain yang sudah lama tidak bertemu. Pada kesempatan ini, bolehlah kita bertanya khabar, saling mengucapkan salam hari raya, saling bermaafan dan memanjangkan jemputan untuk ke rumah agar dapat berbual dan berkenal dengan lebih lanjut lagi.
Amalan menerima tetamu pada musim perayaan juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya bagi menghubungkan ahli masyarakat. Pada kebiasaannya, kita bersedia menerima kunjungan dari sesiapa sahaja pada hari raya pertama dan kedua. Malah, 30 hari dalam bulan Syawal itu digunakan oleh semua umat lslam untuk saling berkunjung. Satu amalan yang telah menjadi budaya masyarakat lslam di Malaysia, khususnya yang tinggal di bandar ialah membuat rumah terbuka. Kesempatan-kesempatan yang seperti ini harus digunakan, bukan sahaja untuk mempereratkan hubungan sesama kita tetapi juga untuk mempraktikkan ajaran lslam itu sendiri.
Misalnya, semasa menerima kunjungan pada hari raya ini, niatkan dengan tujuan ikhlas untuk memberi makan kepada yang hadir, untuk mempererat dan menjalin hubungan, untuk saling bermaafan dan sebagainya. Wajar juga kita memberikan layanan yang sama kepada para hadirin tanpa membezakan status mereka. Tidak sepatutnya ada ruang atau hidangan atau pinggan-mangkuk yang berlainan untuk tetamu biasa dan VIP, misalnya. Sebaliknya, layanlah tetamu seadil dan seikhlasnya.
Satu lagi amalan yang telah dibudayakan dalam masyarakat kita ialah pemberian duit raya. Amalan memberi ini amat digalakkan oleh lslam. Jadi, tiada salahnya jika ia diteruskan pada tahun ini, asal sahaja ianya mengikut kemampuan kita. Mungkin juga amalan memberi ini boleh kita pupuk dalam diri anak-anak kita. Sudah pasti kanak-kanak amat seronok apabila mendapat duit raya ini. Apa yang perlu kita buat ialah untuk tanamkan dalam diri mereka keseronokan memberi.
Jadi, jika selama ini kita yang menghulurkan paket duit raya itu kepada kanak-kanak yang datang ke rumah, mungkin pada kali ini kita minta anak-anak kita yang mengagihkan paket-paket duit raya itu kepada rakan-rakan seangkatan mereka. Semoga dengan ini akan tertanam dalam diri mereka keseronokan memberi dan menjadi sebahagian dari amalan mereka seterusnya.
Selain menerima tetamu, kita juga digalakkan menziarah kaum kerabat dan handai taulan. Islam memang menggalakkan kita untuk saling menziarah dan memperpanjangkan silaturahim. Gunakanlah kesempatan ini untuk tujuan tersebut. Semoga hubungan yang sudah terputus sekian lama, dapat disambung semula dan kemesraan yang terhenti dapat dijalin kembali.
Dalam kita bergembira menyambut hari lebaran ini bersama keluarga yang tercinta dan handai taulan, janganlah kita lupa kepada golongan yang tidak bernasib baik. Anak yatim, orang miskin dan wargatua di rumah-rumah orang tua perlu juga kita ingatkan. Bagaimanakah sambutan mereka? Jikapun tidak meriah, gembirakah mereka? Atau hari lebaran ini disambut dengan perasaan sedih dan pilu? Bukankah ada eloknya jika kita cuba menggembirakan mereka?
Saranan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail agar kita melawat golongan yang tidak bernasib baik pada musim perayaan seperti ini mungkin boleh dijadikan satu agenda tambahan dalam sambutan hari raya kita pada tahun ini. Berayalah dengan mereka. Bawalah keluarga kita bersama.
Semoga kunjungan kita itu dapat menggembirakan mereka pada hari raya ini.
Pada tahun-tahun yang mendatang mungkin boleh difikirkan kemungkinan untuk mengambil anak yatim atau wargatua ini untuk beraya bersama kita di rumah atau di kampung. Pihak yang bertanggungjawab dengan institusi yang terlibat haruslah memikirkan cara-cara atau prosedur-prosedur tertentu bagi memudah dan melancarkan proses ini. Golongan yang tidak bernasib baik ini juga berhak merasakan suasana berhari raya seperti kita. Apa kata kita bantu mereka?
Hari raya Aidil Fitri adalah hari kemenangan untuk umat lslam. Raikanlah ia dengan semangat lslam yang sebenarnya. Gunakan kesempatan ini untuk mempraktikkan amalan-amalan yang dianjurkan oleh lslam. Mempererat silaturahim, saling kunjung mengunjung, bermaafan, memberi makan, menderma, menggembirakan orang lain dan seumpamanya merupakan antara amalan yang amat digalakkan oleh lslam. Amalkanlah ia pada hari lebaran ini. Semoga amalan ini tetap menjadi sebahagian daripada hidup kita seterusnya.