Sambutan Hari Tindakan Iklim Antarabangsa pada 24 Oktober saban tahun adalah bertujuan bagi menarik perhatian dunia tentang kesan buruk perubahan iklim dan pemanasan global terhadap kehidupan sejagat. Jika menelusuri sejarah pemanasan global, ia bukanlah isu baharu. Sebaliknya, ia telah mula berlaku sejak era Revolusi Perindustrian pada abad ke-18 hingga ke-19 lagi, dan peningkatan suhu bumi terus berlaku sehingga ke hari ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh World Meteorological Organisation (WMO) mendapati bahawa perubahan suhu global terkini telah melebihi 1.2o C berbanding zaman pra-industri pada tahun 1850-an, dan tahun 2020 telah direkodkan sebagai salah satu tahun terpanas.
Didapati peningkatan suhu bumi dan pemanasan global berlaku ialah akibat daripada aktiviti manusia yang tidak terkawal yang telah menyumbang kepada pelepasan dan peningkatan gas rumah hijau di atmosfera secara berterusan seperti karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana dan nitrogen oksida.
Sekiranya aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau terus berlaku tanpa batasan, tidak mustahil ia akan menyebabkan pemanasan global mencapai peningkatan suhu melebihi 1.5o C, yakni melebihi suhu semasa zaman pra-industri. Ramalan ini turut disokong oleh WMO yang menyatakan bahawa suhu dunia berkemungkinan meningkat lebih daripada 1.5o C dalam tempoh masa empat tahun akan datang.
Menurut United Nations, antara gas rumah hijau yang paling ketara dibebaskan ialah gas karbon dioksida yang dihasilkan melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas, yang mana ia menyumbang lebih 75 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global. Antara aktiviti yang dikenal pasti menyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan global ialah sektor pengangkutan yang sebahagian besarnya masih menggunakan bahan api fosil, penjanaan tenaga elektrik, perindustrian, penebangan hutan dan penebusgunaan tanah, aktiviti pertanian dan penternakan, pembekalan tenaga jana kuasa untuk pengoperasian bangunan, dan penggunaan tenaga secara berlebihan.
Isu perubahan iklim dan pemanasan global tidak boleh dipandang enteng oleh rata-rata kita kerana ia telah banyak mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada kehidupan manusia, tetapi juga kepada makhluk hidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan. Justeru, isu ini sewajarnya menjadi antara agenda penting yang perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat seantero dunia.
Semua pihak perlu menyedari bahawa perubahan iklim dan pemanasan global berlaku ialah rentetan daripada tindak tanduk rakus manusia yang melampaui batas mengeksploitasi alam sekitar sehingga mengganggu gugat keseimbangan alam yang akhirnya mengundang bencana kepada kehidupan manusia sejagat.
Sedangkan Islam telah memberi amaran agar kita tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi sebagaimana Firman-Nya dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud:“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Ayat ini memberi gambaran jelas bahawa segala kerosakan dan bencana yang berlaku adalah sebagai peringatan agar kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan melakukan kerosakan ke atas alam sekitar.
Memang tidak dinafikan bahawa kita tidak mampu untuk menghalang krisis perubahan iklim dan pemanasan global daripada terus berlaku, namun kita masih mempunyai akal dan kebijaksanaan untuk mencari penyelesaian terbaik dalam usaha menangani permasalahan ini daripada menjadi semakin parah dalam jangka masa yang singkat.
Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah menerusi pembentukan sumber manusia yang bertakwa, yakni yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dalam aspek penjagaan dan pengurusan alam sekitar agar kelestariannya terus dapat dipertahankan. Hal ini selari dengan tujuan penciptaan manusia, yakni bagi melaksanakan tugas selaku khalifah sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan amanah di atas muka bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (al-Anbiya’, 107).
Rahmatan lil ‘alamin dalam konteks ayat ini bukan hanya bermaksud rahmat untuk umat Islam sahaja, sebaliknya juga untuk seluruh makhluk Allah SWT yang lain. Melalui konsep rahmatan lil ‘alamin, pendekatan agama dan kerohanian dilihat mampu meningkatkan tahap kesedaran manusia tentang aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Mesej-mesej yang terkandung dalam al-Quran adalah sangat jelas, yakni alam diciptakan sebagai satu sistem lengkap yang sempurna dan seimbang. Dalam konteks ini, alam sekitar merupakan sistem yang terdiri daripada komponen yang berfungsi secara tetap sebagai satu unit. Ia terdiri daripada unsur biotik (manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan) dan abiotik (udara, air, tanah, iklim dan lain-lain).
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr, ayat 19-20 yang bermaksud: “Dan Kami telah menghamparkan bumi dan Kami pancangkan padanya gunung-gunung serta Kami tumbuhkan di sana segala sesuatu menurut ukuran. Dan Kami telah menjadikan padanya sumber-sumber kehidupan untuk keperluanmu, dan (Kami ciptakan pula) makhluk-makhluk yang bukan kamu pemberi rezekinya.”
Al-Quran juga memberi mesej yang jelas tentang tanggungjawab manusia selaku khalifah, yakni untuk menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya. Dalam konteks ini, alam sekitar merupakan sumber yang boleh dimanfaatkan dalam memenuhi tuntutan dan keperluan manusia untuk kelangsungan hidup. Namun demikian, penggunaan sumber alam perlulah di bawah had kapasiti penjanaan semula agar kelestariannya terus dapat dikekalkan.