Islam dalam apa keadaan pun tidak pernah menghalang kemajuan. Jika wujud sedemikian, pasti puncanya adalah salah tafsir dan kekeliruan ilmu. Era pasca moden ini, teknologi bersifat megatrend dunia mengalami kemarau ilmuwan Islam. Akibat daripada kelekaan umat, agama dituduh sebagai penyebab kemunduran. Sudah sampai masanya kita bangkit membetulkan keadaan.
Kita tidak pernah jemu meratib sejarah yang telah lama ditinggalkan oleh ilmuan Islam “Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Ibn Al-Haytham, Al-Razi, Ibn Sina” dan banyak lagi sedang hakikatnya, kegersangan umat dan negara Islam menerajui anugerah dan indeks inovasi di peringkat dunia sangat dirasai. Walaupun pengiktirafan dan penghargaan ini tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar, namun kemajuan teknologi dalam kalangan umat Islam amat menyedihkan. Negara Islam sama ada tidak menunjukkan pencapaian yang baik atau berada dalam kalangan negara tercorot. Gambaran ini membolehkan kita membenarkan bahawa anugerah dan indeks ini benar dan terbukti.
Anugerah Nobel merupakan pengiktirafan tahunan yang diberikan kepada individu yang menyumbang dalam bidang sains, teknologi, perubatan, ekonomi atau keamanan. Sejak Anugerah Nobel diperkenalkan pada 1901, hanya tiga orang Islam (0.5 peratus) yang pernah mendapat Anugerah Nobel bagi kategori sains iaitu; Abdus Salam (1979 dalam bidang fizik), Ahmed Ziwail (1999 dalam bidang kimia) dan Aziz Sancar (2015 dalam bidang kimia). Selainnya, dimenangi oleh Kristian (418 pemenang-66.2%), Yahudi (147 pemenang-23.3%), Hindu (4 pemenang-0.5%) dan 59 orang pemenang (9.4%) agama lainnya.
Malaysia yang menduduki tangga ke-36 Indeks Inovasi Global (GII) 2022, diharapkan akan menebus kembali kegemilangan ilmuwan Islam lampau yang kini telah lama kabur dan pudar. Kedudukan ini tidak banyak berubah sejak beberapa tahun walaupun banyak intervensi kerajaan saban tahun diusahakan. Tanggungjawab mengubah persepsi terhadap agama tergalas di bahu masyarakat Islam di Malaysia kerana Malaysia antara negara Islam teratas dalam indeks ini selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Firman Allah SWT mafhumnya; “Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak” (Al-Baqarah: 269). Teknologi ibarat kuda perang, yang menguatkan umat Islam dan bakal menggerunkan musuh (mafhum Surah Al-Anfal; 23), bukan leka bermain dengan kuda sehingga ditertawakan musuh. Umat Islam tidak boleh mengejar akhirat sehingga lupa nasib yang bakal menimpa mereka di dunia (Al-Qasas; 77).
Inilah saranan al-Quran yang tidak dijayakan oleh orang Islam. Baru-baru ini, Israel di persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa mereka mencapai satu tahap tertinggi dalam inovasi teknologi perubatan dan ketenteraan serta memenangi sejumlah anugerah antarabangsa. Tesla, sebuah syarikat berorientasi teknologi melancarkan sebuah robot humanoid yang mampu berinteraksi dan bekerja seperti manusia. Begitu juga kemusnahan pusat penyelidikan uranium Iran yang dimusnahkan oleh kerjasama drone dan hacker Israel.
Menguasai ilmu dan teknologi bermakna kita membangunkan teknologi sedia ada atau merekayasa teknologi masa hadapan untuk manfaat urusan seharian kita, dan bukan terganggu urusan seharian disebabkan teknologi. Umat Islam tidak membangunkan atau menjuarai industri teknologi tetapi menjadi komuniti pengguna yang terjangkit wabak lagha (sia-sia) dan pasaran terbesar teknologi untuk diratah oleh syarikat-syarikat pengeluar. Biarlah jadi hacker yang mencegah kebatilan daripada menjadi scammer yang menyebar kepalsuan. Bagi mengekang kecanduan media sosial dan permainan dalam talian, menurut pakar psikologi pendekatan penjara peranti selama empat puluh hari boleh mengeluarkan tabiat buruk dan kecanduan.
Sokongan polisi dan peruntukan kerajaan terhadap kemajuan Islam dan teknologi seperti yang diumumkan dalam bajet 2023 sejumlah RM700 juta bagi inisiatif program Jalinan Digital Negara (JENDELA), insentif pengupayaan guna tenaga dan geran padanan industri pendigitalan syarikat pemula, umat Islam disarankan untuk menyambutnya dengan penuh bijaksana. Selain itu, lebihan peruntukan kutipan Zakat dan Baitulmal juga boleh dikembangkan bagi pembangunan teknologi bertujuan untuk kelangsungan hidup asnaf fi sabilillah. Biarlah kita tidak memiliki peranti pintar, tetapi kita pintar mengambil peluang membangunkannya. Tapi teknologi yang bagaimana?
Seperti di sebuah lebuh raya, ada kenderaan yang terbengkalai, perlahan dan ada yang sangat bertenaga memecut di lorong sebelah kanan sekali. Begitulah juga dengan teknologi, ada yang telah lapuk dan tidak sesuai. Di sinilah penulis mengajak umat Islam menguasai teknologi megatrend iaitu teknologi yang bakal mencorakkan masa hadapan yang belum dibangunkan secara optimum iaitu pengupayaan sumber tenaga suria, digitalisasi berasaskan blockchain dan metaverse, biosains perubatan, kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan automasi, eksplorasi pengurusan data maya dan teknologi robotik.
Sumber tenaga diperbaharui berpotensi ditingkatkan kepada 18,000 megawatt, lebih awal daripada tahun sasaran 2035, jika perkembangan teknologinya mampu mengeksploitasi sumber, menyimpan dan mengagihkannya. Begitu juga dengan penemuan teknologi blockchain dan kriptografi yang memungkinkan pembangunan aset digital skim pendanaan saham wakaf tanpa sempadan tempat dan masa. Bukan itu sahaja, sistem kodifikasi blockchain boleh menyimpan data secara mutawatir yang mustahil diubah bagi bancian, pengurusan dan pendaftaran warganegara atau pilihan raya dalam talian serta geran hak milik hartanah atau hak cipta. Kemampuan virtual reality seperti permainan dalam talian dengan sokongan platform metaverse boleh dikembangkan kepada pembangunan kedai maya yang boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja, dari seluruh pelosok dunia. Tugas ini tidaklah mudah tetapi tidak mustahil. Fokus umat perlu dialihkan daripada menjadi pengguna tegar kepada pembangun yang mekar di persada dunia. Penampakan peranti ciptaan ilmuwan Islam selain mampu membuka mata masyarakat bukan Islam, mampu juga membuka hati mereka tentang keunggulan Islam. Semuanya terletak di bahu umatnya, dan Malaysia sebenarnya perlu terus mengejutkan umat Islam di dalam dan luar negara dalam agenda peneguhan bahawa Islam ialah agama yang mendukung kemajuan duniawi demi keabadian ukhrawi.