SEBENARNYA Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tiba di Madinah—setelah 12 hari perjalanan dari Mekah—pada Isnin 12 Rabi’ul Awwal (bersamaan dengan 31 Mei 622 Masihi), bukannya pada 1 Muharram.
Penetapan kalendar Hijrah yang berperanan besar dalam penyusunan urusan negara dan rekod-rekod rasmi berlaku semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.
Suatu hari, Khalifah Umar membaca satu dokumen pentadbiran yang bertarikh bulan Sya‘ban, tetapi tidak jelas bila—sama ada tahun yang lalu atau tahun semasa? Khalifah ‘Umar lantas membincangkan tentang penetapan hari, bulan dan tahun dengan para Sahabat tersohor. Saidina ‘Ali mengemukakan syor agar kalendar dimulakan dengan momentum tahun Nabi SAW berhijrah ke Madinah, dan dewan permesyuaratan para Sahabat memperkenankan cadangan tersebut.
Peristiwa Hijrah yang sebenar berlaku dalam bulan Rabi‘ul Awwal, yang dari segi turutannya ialah 2 bulan selepas 1 Muharram. Namun, menurut sejarahwan ternama iaitu al-Maqrizi, oleh kerana Muharram adalah bulan pertama bangsa Arab, maka tahun Hijrah dimulakan pada bulan Muharram.
Penting dinsafi betapa strategiknya pemilihan Madinah sebagai destinasi hijrah Nabi SAW dan para Sahabat. Meskipun terdapat dua tawaran lain, pertamanya kota kabilah Daws yang dipimpin oleh Tufayl ibn Umar, dan keduanya kota kabilah Bani Hamdan, Madinah tiada taranya atas sebab-sebab yang amat penting.
Pertama, kerana penduduknya yang berkeperibadian lunak; mereka dari keturunan Yaman Qahtan purba, yang berpindah ke Madinah sewaktu kejadian banjir besar yang menghancurkan negeri asalnya. Nabi SAW pernah bersabda, “Telah datang kepada kamu penduduk Yaman, mempunyai hati yang amat halus dan kalbu yang amat lunak.”
Suku ‘Aws dan Khazraj yang menghuni Madinah memiliki jiwa merdeka lagi pemberani yang pantang tunduk kepada kaum asing, tidak pernah membayar ufti dan tidak pernah dijajah.
Al-Hashr, 59:9 merakamkan: ”orang-orang yang telah menempati Madinah dan beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mengasihi golongan Muhajirin. Dan golongan Ansar tiada menaruh keinginan dalam hati terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin; dan mereka mengutamakan Muhajirin atas diri sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang merdeka dari nafsu kedekutnya, itulah orang orang yang beruntung.”
Di samping faktor penduduknya, Madinah juga strategik sebagai laluan perdagangan Quraysh Mekah ke Utara dan dari segi ketenteraannya sukar diserang. Sejarahwan Ibn Ishaq dan al-Fayruzabadi menyatakan bukaan Madinah hanyalah dari jurusan utaranya sahaja, sementara di sebelah timur dan barat terdapat benteng alamiah pergunungan batu hitam curam yang tidak dapat ditempuh, sama ada dengan berjalan kaki (infantry) mahupun menunggang haiwan (cavalry). Madinah turut dikelilingi hutan-rimba dan perkebunan tamar yang menjamin kedaulatan makanan.
Nabi SAW sangat berhemat berikhtiyar merancang Hijrah. Sejak empat bulan sebelumnya sudah ramai orang Islam Mekah, dalam kumpulan-kumpulan kecil beransur-ansur berhijrah, termasuklah Saidina Hamzah, ‘Uthman dan kemudiannya ‘Umar.
Nabi SAW memerintahkan, “Sesungguhnya Allah telah menyediakan buat kamu saudara-saudara dan negeri yang aman (untuk berhijrah).”
Justeru sejak empat bulan sebelumnya, Saidina Abu Bakar sudah mempersiapkan dua ekor unta; dan tiga hari sebelum berhijrah, Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar buat kesekian kalinya mencermati perancangan. Mereka justeru memulakan langkah hijrah pada hari permulaan Rabi‘ul Awwal yang gelap tanpa sinaran purnama.
Mereka terlebih dahulu bersembunyi dalam gua Thur di pinggiran Mekah selama tiga malam bersabar menunggu keadaan reda. Gua Thur amat strategik kerana lokasinya dalam arah ke selatan dari Mekah, sedangkan Madinah arah ke utara. Tentunya pasukan penjejak kafir Quraysh mengutamakan pencarian ke semua arah utara, dan strategi Nabi SAW akan mengelirukan mereka.
Para Sahabat juga memainkan peranan yang cukup bijaksana dengan penggemblingan kesemua sumber-daya, persis satu pasukan jitu dalam menghadapi musuh.
Pertamanya, Abdullah bin Abu Bakar mengiringi mereka dan kemudian pergi ke Mekah untuk merisik perancangan Quraysh dan melaporkannya kepada Nabi SAW pada waktu malam.
Kedua, hamba kepada Saidina Abu Bakar yang telah dibebaskan, ‘Amir bin Fuhairah menggembala kambingnya untuk meragut rumput seraya mengikut di belakang mereka untuk menutup sebarang jejak. ‘Amir pergi berdekatan Gua Thur setelah matahari terbenam, supaya mereka boleh meminum susu kambingnya, di samping untuk menutup jejak perisik Abdullah bin Abu Bakar antara Gua Thur dan Mekah.
Ketiga, Saidina Ali (anak angkat Baginda) tidur di katil Nabi SAW dan berperanan memulangkan harta-benda yang diamanahkan oleh ramai daripada kaum Quraysh kepada Nabi SAW, yang terkenal sebagai al-Amin (Yang Amat Amanah). Sejarah merekodkan bahawa Saidina Ali memerlukan hingga tiga hari untuk mengembalikan kesemua harta amanah tersebut.
Keempat, Saidina Abu Bakar menemani dan mempersiapkan logistik. Waktu awal-awal memeluk Islam, beliau memiliki harta sebanyak 40,000 dirham; tetapi menjelang Hijrah yang berbaki hanyalah 5,000 dirham atau seperlapan sahaja. Sebenarnya beliau pernah bertanyakan Nabi SAW andainya boleh beliau berhijrah, tetapi dinasihati Nabi supaya menunggu kawan sebagai isyarat Hijrah bersama.
Sahabat kelima dan keenam ialah Saidatina A’ishah dan kakak tirinya Asma’ yang menyediakan kelengkapan perjalanan mereka seperti bekalan makanan untuk tiga hari. Sejarah merekodkan Abu Jahal yang berang lantas menampar Asma’ hingga tercabut subangnya dalam peristiwa tersebut.
Ketujuh, Abdullah bin Uraiqit, seorang Badwi belum memeluk Islam, tetapi boleh dipercayai, memainkan peranan sebagai pemandu jalan. Dengan kemahirannya, beliau mengelakkan jalan utama; sebaliknya menggunakan laluan jalan pantai Laut Merah hinggalah tiba ke Madinah al-Nabiy, bandaraya bagi hati dan jiwa yang merdeka.