Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators, KPI) dan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) adalah antara “alat” yang digunakan untuk mengukur pencapaian prestasi seseorang dalam satu-satu organisasi. KPI dan SKT bukanlah alat yang sempurna tetapi kedua-duanya boleh membantu penilaian dilakukan terhadap prestasi secara berkala.
Satu cabaran yang berlaku apabila orientasi pekerjaan diletakkan kepada KPI dan SKT ialah pekerja akan memberikan tumpuan semata-mata kepada pencapaian perkara-perkara yang telah ditetapkan sebagai indikator dan sasaran. Apabila indikator dan sasaran itu telah tercapai, maka bagi sesetengah pekerja, kerjanya sudah diselesaikan dan tanggungjawabnya sudah ditunaikan.
Perspektif terhadap pekerjaan seperti ini ada baik dan buruknya. Dalam keadaan biasa, sasaran yang diberikan akan dapat diselesaikan oleh pekerja kerana perkara ini telah ditetapkan lebih awal. Bagaimanapun, apabila berlaku keadaan yang memerlukan pekerja melakukan sesuatu di luar daripada sasaran yang ditetapkan, lazimnya timbul soalan seperti, “Adakah perkara tambahan yang perlu dilakukan ini akan masuk dalam penilaian prestasi, dan jika dikira dalam penilaian prestasi, apakah pemberatan yang diberikan?”
Sememangnya soalan seperti ini ialah soalan yang wajar ditanya. Namun, perkara ini merupakan satu kesan yang timbul daripada tumpuan secara berlebihan kepada KPI dan SKT semata-mata. Jika ini berlaku, iaitu pekerja hanya melakukan apa yang ditetapkan sebagai KPI dan SKT, maka pekerja sebenarnya tidak ubah seperti robot yang diprogramkan untuk menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan. Tidak ada unsur keanjalan dalam melakukan kerja, dan jauh sekali wujud unsur insaniah dalam urusan kerja tersebut.
Keadaan ini mengingatkan penulis kepada kata-kata Hamka yang berbunyi, “Jika hidup hanya sekadar hidup, kera di hutan juga hidup. Kalau kerja hanya sekadar kerja, kerbau di sawah juga bekerja.” Kata-kata Hamka ini menjadi satu peringatan yang bermakna. Dalam melakukan kerja, seharusnya kita perlu ikhlaskan niat dan berikan yang terbaik.
Kerbau di sawah juga mempunyai KPI dan SKT (walaupun tidak bertulis di mana-mana dokumen). Sekiranya kerbau itu mampu menjalankan tugas membajak yang diberi, maka selesailah kerjanya kerana itulah sasaran kerjanya. Namun, kerbau itu tidak akan mampu memberikan lebih daripada itu kerana ia cuma seekor haiwan yang tidak diberi anugerah akal fikiran.
Keadaan ini berbeza dengan manusia yang Allah anugerahkan akal dan kebijaksanaan. Pastinya kita punya sasaran yang ditetapkan tetapi kita juga mampu memberikan lebih daripada sasaran itu andai kita mempunyai kesungguhan dan rasa kebersamaan dengan organisasi. Malah, sekiranya ada perkara di luar daripada sasaran yang ditetapkan dalam kerja tetapi masih di bawah ruang lingkup munasabah kerja yang perlu kita lakukan, maka ia menjadi suatu perkara yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh usaha dan sebaik mungkin.
Begitu juga dalam hal beribadah. Solat misalnya mempunyai rukun yang wajib dilakukan bagi menjadikan solat itu sah. Apabila 13 rukun solat dilaksanakan, maka tercapailah sasaran seseorang Muslim itu dalam melaksanakan ibadah solat. Bagaimanapun, adakah dengan hanya melaksanakan rukun solat memadai untuk menjadikan solat itu lebih cantik?
Pastinya solat yang lebih sempurna turut disertakan dengan pelbagai sunat yang dilakukan. Rukun ialah sasaran minimum untuk membolehkan solat diterima, tetapi melakukan sunat akan menjadikan solat itu lebih sempurna dan memberikan ganjaran pahala yang lebih banyak.
Demikianlah halnya dengan melakukan kerja, jika sekadar untuk memenuhi keperluan minimum memenuhi sasaran, tidaklah perlu diimpikan untuk menjadi pekerja yang cemerlang. Lagi tinggi jawatan, lagi besarlah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Maka akan bertambah lagi berat tuntutan untuk tampil lebih cemerlang supaya menjadi contoh teladan kepada mereka yang berada di bawah.
Diharapkan usaha perkhidmatan awam memperkenalkan Sasaran Kerja Utama (SKU) yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2024 akan mewujudkan cara kerja yang lebih insani dan lebih bertumpu kepada penyampaian perkhidmatan yang berorientasikan hasil kerja. Jika perkara ini dapat dilakukan, ia akan mewujudkan budaya kerja yang tidak lagi bersifat mekanistik dan robotik.
Dalam hal ini iaitu dalam konteks menjalankan kerja, perkara yang paling utama ialah niat yang ikhlas dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Atas sebab itu, pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi amat wajar dijadikan teladan dan peringatan: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.”
Bekerja dengan cemerlang bukan sekadar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, malahan seorang pekerja perlu mampu melakukan lebih daripada itu. Ini kerana bekerja dianggap sebagai sebahagian dari ibadat dalam konteks yang lebih luas mengikut perspektif Islam. Sifat-sifat terpuji yang ada pada seorang pekerja yang cemerlang menjadikan pekerja itu aset berharga bagi organisasi. Balasan yang akan diperolehnya bukan sahaja dari sudut gaji dan kenaikan pangkat, malahan insya-Allah akan ada ganjaran dalam bentuk pahala daripada Allah SWT.