Sebelum menerima pengaruh Inggeris dalam sistem perundangannya, negeri-negeri di Tanah Melayu sudah pun mempunyai Hukum Kanun masing-masing. Iaitu, kombinasi Undang-undang Islam dengan undang-undang adat. Pada ketika itu, “hudud”, “qisas”, “diat” dan “takzir” memang sudah menjadi mekanisme yang mengurus permasalahan masyarakat. Subjeknya tanpa mengira sama ada anak tempatan, Islam mahupun bukan Islam, ataupun orang luar, Islam dan bukan Islam. Maka hudud, bukanlah asing bagi penduduk tempatan pada ketika itu, juga kalangan orang asing yang datang dengan pelbagai urusan.
Pada hari ini hudud amat sukar diterima dengan sebab perubahan yang berlaku selama beratus-ratus tahun terhadap sistem undang-undang. Juga disebabkan perubahan kependudukan dalam negara. Perubahan yang berlaku ini perlu disedari dan difahami oleh masyarakat Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, masyarakat bukan Islam pula perlu menyedari dan memahami bahawa Undang-undang Islam pernah dilaksanakan dengan sempurna di bumi ini.
Polemik hudud berlaku sekali lagi selepas lebih dua dekad Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) diluluskan pada 24 November 1993 oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan secara sebulat suara. Polemik yang sedang berlaku ini menunjukkan bahawa kita semua, sebagai umat Islam, tidak mengisi tempoh yang ada dengan persediaan yang sepatutnya. Hudud bukan milik individu, tanggungjawab parti tertentu atau agensi tertentu. Tetapi, ia soal yang melibatkan kenegaraan. Yang setiap pertimbangan dan keputusan semasa yang dibuat, ada penilaiannya di akhirat kelak.
Jika rang undang-undang ini tidak dihasratkan untuk dibentangkan, maka sampai bila-bila pun rakyat negara ini tidak akan membincangkannya secara terbuka. Kebimbangan dari pelbagai aspek secara munasabah, perlu diambil kira. Walau bagaimanapun, kebimbangan itu tidak seharusnya bertujuan untuk menafikan hudud sebagai sesuatu yang perlu menjadi cita-cita dalam undang-undang negara. Sebagai rakyat yang beragama Islam, ia mesti menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, menurut kepada kapasiti masing-masing.
Banyak kekurangan dari pelbagai aspek seperti kekangan perundangan, ketiadaan undang-undang sokongan, modal insan, pertembungan undang-undang yang sedia ada, bidang kuasa hakim bicara dan prasarana fizikal. Perkara-perkara inilah yang dijadikan sebahagian alasan seterusnya menyimpulkan bahawa Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan hudud.
Polemik ini juga dikeruhkan lagi oleh persepsi negatif dan kecaman oleh kumpulan-kumpulan bukan Islam. Namun di celah-celah tentangan itu, kita harus menerima hakikat bahawa sebahagian daripada golongan bukan Islam negara ini bersikap neutral dan tidak menolak penggubalan undang-undang hudud. Dalam erti kata, mereka memahami bahawa setiap undang-undang yang digubal dalam sesebuah negara itu bertujuan untuk kesejahteraan rakyat. Tidak perlu ada kebimbangan jika hak setiap individu dihormati sekali gus undang-undang negara dipatuhi.
Kononnya, jika undang-undang hudud dilaksanakan, maka kejadian rogol akan menjadi tambah berleluasa kerana kesukaran untuk membawa empat orang saksi. Maka, suspek akan dilepaskan begitu sahaja. Lantas, undang-undang ini disifatkan sebagai lemah. Sebenarnya, persepsi ini menunjukkan kekeliruan dalam memahami hudud, yang sepatutnya difahami secara lebih jelas dan adil. Yang nyata, “zina” dan “rogol” bukan jenayah yang sama. Ia juga menunjukkan mereka yang membuat kenyataan seperti ini tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang asas Undang-undang Islam.
Sebagai sebahagian daripada isu negara, maka persoalan tentang hudud bukan hanya terletak pada orang Islam sahaja. Sementelah Islam merupakan agama negara, maka golongan bukan Islam di negara ini seharusnya mempunyai keprihatinan dan berinisiatif untuk mengenali dengan lebih dekat tentang hudud. Setiap kebimbangan, ketidakpuasan hati atau seumpamanya harus diutarakan sebagai individu atau pihak yang celik undang-undang. Bukannya menolak dan mengandaikan yang bukan-bukan secara semberono.
Tindakan yang perlu dibuat sekarang ini adalah bersatu dan menerima undang-undang hudud sebagai aspirasi bersama dalam perundangan negara. Tanpa memandang ia sebagai entiti tertentu kepada parti tertentu. Melihat ia sebagai sebuah undang-undang yang amat tidak sempurna, memang suatu perkara yang boleh dijangkakan. Tetapi tugas kita adalah untuk menjadikannya lebih sempurna, boleh dikuatkuasakan dan pulangan akhirnya dapat memberi kesejahteraan dan ketenteraman hidup kepada masyarakat. Untuk memberi kritikan terhadap sesuatu objek, ia harus diwujudkan terlebih dahulu. Begitulah undang-undang hudud ini. Maka, kita harus berterima kasih kerana ada pihak yang berusaha untuk mewujudkannya.
Seharusnya, kita tidak memanjangkan lagi masa dua dekad yang telah kita persia-siakan. Sebarang tindakan sebagai menyokong usaha penggubalannya perlu diberi ruang seluas-luasnya. Saya menyarankan supaya “blue print” untuk hudud diwujudkan. Dalam pelan tindakan atau pembangunan hudud itu perlu mengandungi objektif yang bukan abstrak sifatnya. Peluang dan ruang bagi membangunkan hudud perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan negara. Prasarana fizikal juga perlu ada sebagai sebahagian dalam kandungan pelan berkenaan.
Selanjutnya, dalam proses melaksanakannya tentu terdapat cabaran-cabaran dan kekangan-kekangan tertentu. Persepsi negatif sebahagian masyarakat perlu ditangani. Pendekatan bagi menghadapi cabaran ini harus bersifat realistik dan praktikal kerana matlamatnya ialah kesejahteraan awam.
Hudud tidak akan terlaksana dengan efisien jika modal insan yang ada belum mampu untuk berkhidmat dengan cekap. Kalangan yang terlibat dengan penguatkuasaan, pendakwaan dan terutamanya hakim bicara harus berada di standard yang paling tinggi, tersendiri dan Islamik. Suatu standard yang akan menjadikan masyarakat mengiktiraf undang-undang hudud sebagai undang-undang terbaik dalam menguruskan kehidupan bermasyarakat. Dalam merangka pelan tindakan ini, wakil-wakil bukan Islam ada baiknya untuk dijemput sebagai pemerhati. Sikap terbuka perlu ada bagi mengalu-alukan sebarang saranan yang boleh memberi nilai tambah.
Perlu juga difahami bahawa hudud adalah perintis kepada Undang-undang Islam. Selepasnya, “qisas”, “diat” dan “takzir” pula akan menyusul. Jika ia berjaya memberi makna kepada kehidupan masyarakat di negara ini, sudah tentu rangkaian Undang-undang Islam lain akan jauh lebih mudah untuk diterima. Sekalipun, kemungkinan untuk ia dilaksanakan bukan pada ketika hayat kita.