Di awal surah at-Takathur, Allah SWT ada menceritakan tentang perihal manusia yang lalai dalam mengerjakan amal kebaikan lantaran mereka saling berlumba-lumba untuk mengumpul harta kekayaan dan mengejar pangkat di dunia. Dalam menjelaskan erti “al-takathur”, Imam Muhammad Abduh menyatakan bahawa antara faktor yang mendorong manusia bersikap sedemikian ialah dorongan kepuasan dan rasa bangga sekiranya harta kekayaan serta pengaruh yang dimilikinya melebihi apa yang ada pada orang lain.
Di dalam sistem ekonomi kapitalis, fenomena al-takathur atau berlumba untuk memuaskan dan memenuhi kepentingan diri menerusi pengumpulan harta kebendaan, pangkat serta pengaruh adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan nilai moral. Malah ia dianggap sebagai satu sifat semulajadi yang mampu untuk merangsang pelaku-pelaku ekonomi untuk bersaing sesama mereka. Justeru dalam usaha untuk mencapai matlamat kepuasan diri, dan memaksimakan keuntungan, para pelaku ekonomi akan menggunakan pelbagai pendekatan walaupun dalam banyak keadaan pendekatan yang diambil tadi bertentangan dengan nilai-nilai mulia yang dianjurkan oleh Islam.
Sebagai contoh, di dalam proses memaksimakan keuntungan syarikat, ramai pemilik entiti perniagaan mengabaikan aspek kebajikan pekerja terutamanya dari segi pemberian upah yang adil dan penyediaan persekitaran tempat kerja yang kondusif. Ini dapat dibuktikan menerusi jurang kekayaan yang besar di antara si kaya (biasanya pemilik syarikat) dan si miskin (golongan pekerja) di merata tempat di dunia dan ini termasuklah di negara-negara Islam.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Januari 2014 yang lepas oleh Oxfam International iaitu sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang memperjuangkan isu-isu kemiskinan dan ketidakadilan, hampir separuh daripada kekayaan dunia sebenarnya dimiliki oleh satu peratus golongan terkaya dunia. Manakala kekayaan keseluruhan separuh terbawah penduduk dunia hanyalah bersamaan dengan kekayaan yang dimiliki oleh 85 orang yang terkaya di dunia. Selain itu, laporan itu turut menyebut bahawa 7 daripada 10 penduduk dunia tinggal di negara-negara di mana ketaksamaan ekonomi semakin meningkat sejak 30 tahun yang lepas.
Itu adalah beberapa fakta di peringkat dunia. Kalau di peringkat Malaysia, suasana yang hampir sama juga dapat diperhatikan. Saban tahun banyak syarikat, baik syarikat yang berkaitan kerajaan mahu yang dimiliki sepenuhnya oleh pihak swasta mencatat keuntungan perniagaan hingga berbillion-billion ringgit. Namun ini tidak bermakna agihan kekayaan dan pendapatan anggota masyarakat bertambah baik.
Perangkaan yang disiarkan oleh Laporan Penyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012 yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir 80 peratus isi rumah Malaysia memperolehi pendapatan di bawah RM4600 sebulan. Jika perangkaan ini diperincikan lagi, pendapatan purata bagi isi rumah terendah 40% di negara ini adalah sekitar RM1847 sahaja sedangkan kumpulan isi rumah tertinggi 20% Malaysia mempunyai pendapatan purata sekitar RM12,159 sebulan.
Ketaksaksamaan agihan kekayaan dan penumpuan kekayaan di tangan segelintir ahli masyarakat bukanlah sesuatu yang elok kepada suasana persekitaran kehidupan. Ia boleh mencetus kepada masalah ketegangan dan kebencian di kalangan anggota masyarakat. Selain itu dengan kuasa kekayaan yang ada, golongan minoriti yang kaya ini mampu untuk mencorak percaturan politik di sesebuah negara dan mempengaruhi pembuat dasar untuk membuat perundangan atau dasar yang lebih memihak kepada mereka.
Apa yang jelas “al-takathur” tidak memberi kesan yang positif ke atas kualiti kehidupan manusia sejagat. Sebaliknya ia menghasilkan satu rantaian kesan negatif dalam banyak aspek kehidupan baik dari segi tadbir urus negara mahupun dari sudut kehidupan seharian.
Oleh yang demikian Allah SWT memberi peringatan kepada manusia supaya tidak sekali-sekali mengamalkan sikap “al-takathur” ini. Tegahan ini diulang sebanyak dua kali di dalam surah tersebut iaitu pada ayat ketiga dan keempat sebagai satu amaran akan kesan buruk yang bakal terhasil dan bagi menguatkan lagi ancaman Yang Esa ke atas mereka yang tidak mahu berganjak daripada berterusan dalam keadaan mencintai dunia ini.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi SAW ada menyatakan bahawa sebanyak mana pun harta yang dikumpul oleh anak Adam hanya yang menjadi miliknya ialah apa dia habiskan untuk makanan, pakaian dan derma. Selebihnya ia akan habis dan ditinggalkan untuk orang lain.
Dalam agama Islam, mencari kekayaan menerusi cara yang halal dan bermoral amat digalakkan sekali. Pada masa yang sama, kita tidak seharusnya menjadikan usaha tadi sebagai satu tirai yang menghalang kita melakukan kebaikan dan beramal dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Hanya keseimbangan di antara urusan dunia dengan amal kebaikan sahaja yang mampu menghasilkan satu kehidupan yang bermakna kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat nanti.