“Biarlah suami saya menjadi mangsa akhir pemandu mabuk.” Besar harapan diluahkan isteri mangsa yang terkorban akibat rempuhan kenderaan pemandu mabuk pada hari kedua Syawal lalu. Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat bertugas meninggalkan isteri yang diselubungi trauma dan dua orang anak yang masih remaja. Harapan disuarakan itu menggambarkan beratnya bebanan yang ditanggung akibat kehilangan anggota atau ketua keluarga. Tragedi yang sama turut menimpa sebuah keluarga pada Februari lalu. Dalam kejadian di Butterworth Pulau Pinang, seorang bapa terkorban dalam kemalangan akibat motosikal yang ditunggang bersama isterinya dilanggar pemandu kereta yang juga dalam keadaan mabuk. Isteri mangsa yang koma selama dua bulan akhirnya meninggal dunia pada 5 April 2020. Kedua-dua mangsa meninggalkan lima orang anak berusia antara 2 hingga 16 tahun sekali gus menjadikan mereka yatim piatu. Patah sudah dahan berpaut, hilang sudah tempat berlindung.
Kedua-dua tragedi ini menyayat hati ini mewakili sedemikian banyak kes membabitkan pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain, orang awam bahkan anggota keselamatan yang sedang bertugas. Keseriusan kes pemandu mabuk di negara ini dapat dilihat pada jumlah kes yang direkodkan. Misalnya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sepanjang tempoh lima tahun, iaitu antara 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI).
Pengambilan arak dan minuman memabukkan jelas dilarang oleh agama besar di dunia. Khusus bagi agama Islam, larangan ini terkandung dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Melalui ayat 90, Surah al-Ma’idah, Allah SWT mengingatkan insan beriman bahawa arak dan judi serta perbuatan memuja berhala serta mengundi nasib adalah kotor lagi keji selain merupakan amalan syaitan. Hadis Nabi SAW pula menegaskan arak sebagai punca segala kejahatan dan kerosakan (Al-Hakim).
Laporan Status Global tentang Arak oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2004) menyebut bahawa pengambilan arak memudaratkan peminum sendiri, persekitaran peminum dan masyarakat keseluruhannya. Kemalangan jalan raya memberikan kesan kepada orang lain selain peminum arak, iaitu penumpang dan pengguna jalan raya lain. Begitu juga peminum arak yang gagal melaksanakan tanggungjawab kekeluargaan atau berrtindak ganas terhadap ahli keluarga, tindakannya pasti memberikan kesan buruk kepada keluarga berkenaan.. Laporan Institute of Alcohol Studies UK berhubung impak arak terhadap ekonomi (2017) menekankan empat masalah utama berkaitan tenaga kerja akibat tabiat meminum arak, iaitu kekurangan produktiviti, ponteng kerja, pengangguran dan kematian pramatang atau kematian pada usia yang lebih muda. Masalah ini menimbulkan kos yang besar terhadap pembayar cukai di United Kingdom, iaitu sekitar 8-12 bilion pound (RM43-RM65 bilion).
Kecuaian pemandu untuk menitikberatkan aspek keselamatan dan berhati-hati jelas melanggar etika atau adab penggunaan jalan raya (adab al-tariq) sebagaimana digariskan Islam. Sehubungan itu, liabiliti dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang menyalahgunakan hak secara bersama lalu menyebabkan berlakunya kecederaan atau kehilangan nyawa. Berasaskan prinsip fiqh, hukuman utama bagi kecederaan atau kehilangan nyawa secara tidak disengajakan (khata’), termasuk dalam kemalangan jalan raya ialah diyat. Diyat dibayar oleh aqilah pelaku kepada mangsa atau keluarga disebabkan jenayah yang dilakukan terhadap nyawa atau tubuh badan. Aqilah bermaksud sekumpulan orang, sama ada keluarga, kabilah atau masyarakat yang bekerjasama membayar diyat atau pampasan. Jumlah diyat yang ditetapkan, dijelaskan dalam Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Abu Daud, iaitu 100 ekor unta (diyat penuh) bagi nyawa dan anggota tubuh. Diyat terbahagi kepada mughallazah (berat) dan mukhaffah (ringan). Diyat mughallazah dikenakan bagi pembunuhan sengaja dalam situasi keluarga memaafkan pelaku. Diyat mukhaffah pula dikenakan terhadap pesalah yang cuai sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan atau kematian. Kadar diyat mukhaffah ialah satu diyat penuh dan kadarnya sebagaimana dinyatakan Dr Siti Zubaidah Ismail, salah seorang pakar perundangan Islam adalah sebanyak RM632,000. Kadar ini berasaskan nilai emas atau nilai yang bersesuaian dengan situasi kewangan semasa negara ini dibayar secara beransur-ansur selama tiga tahun. Penyesuaian dengan situasi kewangan dan sosio ekonomi masyarakat sesebuah sudah tentu memerlukan ijtihad. Kaedah pembayaran diyat termasuk bagi mangsa kemalangan jalan raya yang kini dilaksanakan di negara seperti Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu dan sebagainya boleh dijadikan rujukan.
Syarak menentukan aqilah bertanggungjawab membayar pampasan apabila seseorang mencederakan orang lain secara cuai atau tidak sengaja. Pada zaman Nabi SAW aqilah terdiri daripada anggota kabilah dan pada zaman Khalifah Umar r.a., aqilah terdiri daripada anggota diwan, iaitu tentera Islam yang menerima gaji daripada baitulmal. Terdapat saranan agar institusi aqilah dikembangkan pada zaman kini dengan melibatkan badan professional, baitulmal dan syarikat takaful. Syarikat takaful hakikatnya memainkan sebahagian peranan aqilah, iaitu menjelaskan pampasan kepada pihak ketiga akibat kecuaian pesertanya. Pernan ini dilaksanakan berasaskan konsep bantu-membantu dalam kalangan peserta yang membuat caruman. Meskipun syarikat takaful bukan qiyas bagi institusi aqilah, namun penambahbaikan operasi syarikat berkenaan dalam pembayaran pampasan kepada pihak ketiga akibat kecuaian peserta dalam pemanduan di jalan raya wajar dilakukan.
Berbalik kepada komitmen kerajaan, kesungguhan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk melegakan banyak pihak. Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi peningkatan hukuman yang dibawa ke Sidang Parlimen selain siasatan kes berasaskan Kanun Keseksaan benar-benar diharap menjadi kenyataan. Selain pengukuhan hukuman, aspek penguatkuasaan juga penting. Undang-undang yang baik tidak bermakna tanpa penguatkuasaan cemerlang. Lebih penting daripada itu, diharapkan titah DYMM Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan kaedah diyat dalam sistem pengampunan bagi kes pembunuhan akan terlaksana jua bahkan turut meliputi bentuk kesalahan yang lain. Sebagaimana dinyatakan pengkaji, kadar pampasan yang ditetapkan mahkamah atau pihak insurans jauh lebih rendah berbanding kadar diperlukan hayat manusia. Dengan demikian, pembayaran diyat dapat memenuhi keperluan ini.
Nyawa dan kesihatan diberikan perhatian berat oleh Islam. Oleh itu, hukuman setimpal ditetapkan bagi kesalahan mencederakan anggota dan mengorbankan nyawa. Hukuman yang ditetapkan bertujuan melaksanakan keadilan dan memelihara maslahah semua pihak yang terlibat, khususnya mangsa serta keluarga. Setiap nyawa yang hilang, sama ada penghantar makanan, anggota keselamatan, pekerja syarikat atau sesiapa sahaja besar kesannya. Seperti dinyatakan YAB Perdana Menteri berhubung korban COVID-19, kehilangan satu nyawa bukan bererti kehilangan bagi keluarga terdekat sahaja, bahkan sesungguhnya kehilangan buat negara.