Khalifah kedua, Umar ibn al-Khattab r.a. yang terkenal dengan keteguhan peribadi dan kecemerlangan pemerintahannya memberikan dorongan yang besar kepada rakyatnya untuk sentiasa berpuasa, sama ada puasa Ramadan atau selainnya. Dalam melaksanakan ibadah tersebut, beliau mengingatkan mereka, “Berpuasa bukan semata-mata (menahan diri) daripada makan dan minum tetapi sebaliknya juga (menahan diri) daripada pendustaan, kebatilan, dendam (dalam riwayat yang lain, perbuatan sia-sia), dan sumpah (secara tidak terkawal atau tanpa batasan).” Kata-kata khalifah yang terkenal dengan gelaran al-Faruq ini mengukuhkan penegasan Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada bulan kesabaran, iaitu Ramadan dan berpuasa sebanyak tiga hari setiap bulan dapat melenyapkan perasaan hasad, marah, dan was-was dalam hati.” (Al-Bazzar dan al-Tabarani).
Peringatan yang diberikan Khalifah `Umar r.a. ini jelas selari dengan matlamat pensyari`atan ibadah puasa itu sendiri, iaitu menjadikan individu yang melaksanakannya sebagai insan yang bertaqwa. Dalam hubungan ini, Ibn al-Qayyim mengatakan, “Puasa memberikan kesan yang menakjubkan dalam menjaga anggota zahir dan kekuatan batin serta menjaganya daripada bercampur dengan benda-benda yang rosak lagi membinasakan (tubuh) dengan membuangnya bagi menjamin kesihatan tubuh. Ibadah ini mengembalikan kekuatan untuk menentang hawa nafsu dan membantu seseorang mencapai darjah taqwa.”
Peringatan penting oleh khalifah yang terkenal dengan pelbagai dasar yang memakmurkan kehidupan rakyat itu juga menunjukkan dorongan yang diberikan kepada rakyatnya agar mencapai peringkat tertinggi puasa, sebagaimana dijelaskan al-Imam al-Ghazali dalam kitab masyhurnya, Ihya’ `Ulumuddin. Al-Imam al-Ghazali r.h. membahagikan puasa yang dinamai sebagai ibadah tubuh itu kepada tiga peringkat. Pertama puasa orang awam yang hanya terhad pada perbuatan meninggalkan makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan ibadah tersebut. Puasa pada peringkat ini memperlihat banyak perkara sunat yang diabaikan. Kedua, puasa golongan khas, iaitu ibadah puasa dilaksanakan dengan menahan diri daripada perkara yang dilarang serta banyak melakukan perkara-perkara sunat untuk meningkatkan kualitinya. Ketiga, puasa golongan yang paling khusus. Golongan ini bukan hanya melaksanakan apa yang diperintahkan untuk dijauhi, iaitu perkara-perkara yang membatalkan ibadah puasa tetapi turut meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa. Justeru, perkara-perkara sunat amat dititikberatkan, anggota tubuh dihalang daripada melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala seperti berdusta, mengumpat, mengeji serta mencaci, dan hati mereka sentiasa mengingati Allah.
Keempat-empat perkara yang disebut oleh Khalifah `Umar r.a., iaitu pendustaan, kebatilan, dendam, dan sumpah secara tidak terkawal jelas melibatkan hubungan dan komunikasi antara sesama anggota masyarakat. Keempat-empat perkara itulah juga yang sering menjadi faktor pencetus perbalahan, perpecahan, kemunduran, dan keruntuhan sesebuah masyarakat, bangsa, dan tamadun. Masyarakat yang cenderung dan mempertahankan kebenaran tidak sekali-kali membiarkan perkara-perkara batil, dusta dan fitnah, hasad dan dendam menyelubungi kehidupan mereka. Justeru mereka berusaha memerangi sifat-sifat yang akhirnya menimbulkan kecelakaan besar itu kerana menyedari tanggungjawab menegakkan kebenaran, keadilan, dan kesejahteraan dipikulkan Allah s.w.t. di bahu mereka. Golongan yang beristiqamah menegakkan kebenaran disebut oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith Baginda yang bermaksud, “Akan sentiasa ada suatu golongan dalam kalangan umatku yang tampil membela kebenaran, orang yang menghina (tidak menolong) mereka tidak sama sekali memudaratkan mereka sehinggalah datangnya ketetapan Allah, sedangkan mereka tetap dalam keadaan sedemikian.” (Muslim)
Sebagaimana sebelumnya, Ramadan tiba kali ini masih lagi dalam situasi sebahagian umat Islam diselubungi peperangan sesama sendiri, pemberontakan, penindasan, dan kezaliman. Sungguh menyedihkan apabila melihat misalnya Syria yang pada zaman silamnya gah sebagai pusat pemerintahan kerajaan Islam, iaitu Bani Umayyah dan mengukir pelbagai bentuk kejayaan seperti keampuhan dan kekuatan ketenteraan, keutuhan ekonomi yang dijana melalui kegiatan perdagangan dan pertanian, dan kerancakan kegiatan keilmuan kini diselubungi puing-puing keruntuhan. Tanah bersemadinya jasad Salahuddin al-Ayyubi, penakluk Baitul Maqdis dan tempat kelahiran `ulama’ tersohor seperti al-Imam al-Nawawi itu jelas kini meniti kehancuran demi kehancuran. Pembunuhan `ulama’ pembela Ahl al-Sunnah wa al-jama`ah negara itu pada Mac lalu, Syeikh Ramadan al-Buty merupakan salah satu peristiwa kemuncaknya yang menambah luka rakyat. Mereka yang kehilangan tempat tinggal, anggota keluarga, dan sahabat handai itu kini bertebaran menjadi pelarian ke serata pelosok negara, khususnya Iraq, Jordan, Turki, dan Lubnan. Pelarian malang yang berjumlah kira-kira 1.7 juta itu mendepani risiko besar apabila hanya Lubnan yang masih membuka laluan kepada mereka dan setakat ini telah menerima lebih sejuta pelarian. Sementara Iraq, Jordan, serta Turki mengambil langkah menyekat kemasukan mereka dan sebagaimana diungkap penyelidik kanan berhubung pelarian Human Rights Watch, Iraq, Jordan, dan Turki mengambil risiko menjadikan Syria sebagai penjara terbuka bagi sejumlah rakyatnya yang tidak dapat melarikan diri daripada konflik yang berlaku di negara mereka.
Dalam hubungan ini, bantuan dan sokongan umat Islam di seluruh dunia kelihatan begitu mendesak bukan sahaja kepada rakyat Syria tetapi juga kepada negara-negara jirannya yang menerima pelarian dari negara tersebut. Tidak wajar sama sekali keempat-empat buah negara berkenaan dibiarkan bersendirian menangani permasalahan pelarian tanpa dihulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang dipikul. Keadaan yang menyelubungi rakyat Syria turut menimpa jiran jauhnya, Mesir yang kini juga di ambang perang saudara. Tindakan tentera merampas kuasa dan menyingkirkan Presiden negara itu yang dipilih secara demokrasi kembali mewujudkan suasana bergolak yang tercetus akibat Revolusi Mesir pada Januari 2011. Antara yang paling dibimbangi ialah pembunuhan dan kehilangan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan tempat tinggal, kerencatan aktiviti pengajian dan pembelajaran, dan sebagainya. Konflik dan ketidaktenteraman yang melanda kedua-dua buah negara Islam itu turut menunjukkan campur tangan negara-negara asing khususnya bukan Islam yang memiliki kepentingan terhadap kedua-dua negara tersebut. Kita yang saban waktu mengikuti perkembangan yang berlaku sewajarnya mengambil iktibar yang bukan sedikit. Bahawa perjuangan menegakkan kebenaran dan menewaskan kebatilan menuntut pengorbanan yang amat besar. Justeru, kita harus menyedari bahawa usaha menegakkan kebenaran pasti mendepani halangan demi halangan yang menguji kekuatan dan kesatuan ummah.
Barangkali cabaran yang dihadapi umat Islam di negara tidak segetir yang dihadapi saudara kita di kedua-dua buah negara berkenaan, namun jika perbezaan pandangan dan matlamat perjuangan tidak diurus dengan baik, tidak mustahil kita juga akan terhumban dalam kemelut yang sama. Kita harus menyedari bahawa golongan yang sentiasa meraih manfaat daripada perbalahan dan pertelagahan antara sesama Islam wujud dan bertapak kukuh di mana-mana jua. Dalam hubungan ini, Malaysia tidak terkecuali. Golongan berkenaan bijak memanfaatkan segenap ruang yang ada, termasuk mempergunakan ketidaksatuan pandangan dan tindakan umat Islam bagi mencapai cita-cita mereka. Sehubungan itu, mereka tidak segan-silu atau takut-takut melontarkan hasrat besar mereka. Misalnya dalam menuntut pindaan Perkara 12(4) Perlembagaan berhubung dengan status agama kanak-kanak di bawah 18 tahun yang jelas mencabar kedaulatan agama Islam serta kewibawaan umatnya.
Justeru, dalam kegembiraan menyambut Ramadan, bulan al-Qur’an, bulan perjuangan, dan bulan yang dilimpahi keberkatan serta kesejahteraan, amat wajar bagi kita menyahut seruan Khalifah `Umar agar ibadah puasa dilaksanakan dengan sesempurna mungkin. Kebatilan dibanteras, sementara dendam, perbuatan sia-sia fitnah, sumpah secara tidak terkawal, dihindari sama sekali. Perjuangan bagi melenyapkan semua perkara yang kelihatan berakar umbi dalam masyarakat Islam itu bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Berbekalkan kaedah fiqh, “Apa yang tidak dapat dilaksanakan semuanya, maka tidak wajar ditinggalkan semuanya,” maka seharusnya kita bergerak daripada tenaga dan usaha yang sedikit untuk akhirnya mengumpulkan kudrat yang berganda serta pengemblengan usaha secara besar-besaran. Mudah-mudahan kelak kita dapat melihat kesyumulan pelaksanaan ajaran Islam dan ketinggian iltizam menegakkan kebenaran. Sekali gus pula kedudukan agama serta umat Islam sebagai khalifah di bumi diteguhkan dan ketakutan yang dialami mereka digantikan Allah s.w.t. dengan keamanan (Surah al-Nur 24 : 55).