PADA Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Standard Halal Malaysia MS1500:2004.
Piawaian itu mengandungi garis panduan praktikal bagi industri makanan terutama berkaitan penyediaan dan pengendalian makanan halal.
Pengenalan MS1500:2004 dilihat sebagai pelengkap kepada sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana ia mengambil kira unsur pematuhan terhadap Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practices – GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (Good Hygiene Practices – GHP)
Pengenalan persijilan halal ini juga langkah awal negara dalam usaha menguasai pasaran makanan halal dunia yang kini dikuasai empat negara bukan Islam iaitu China, Thailand, Australia dan Brazil.
Beberapa badan dan agensi pensijilan halal negara luar turut aktif mempromosikan perkhidmatan mereka pada peringkat global seperti Australian Federation of Islamic Council Inc (AFIC); Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ); Shandong Province Islamic Association, China; Central Islamic Committee of Thailand dan Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA).
Usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal dunia adalah langkah bijak. Perkara ini membolehkan usahawan negara menggunakan segala kelebihan yang ada pada Malaysia untuk mendominasi pasaran makanan halal dunia. Makanan halal sebenarnya satu industri menguntungkan.
Dengan saiz penduduk Islam dunia berjumlah 1.7 bilion orang, industri ini menawarkan pulangan lumayan kepada pengusahanya. Angkanya boleh mencecah trilion ringgit jika kita mengandaikan setiap individu Islam membelanjakan RM2 sehari untuk membeli makanan halal mereka.
Melalui pengenalan MS1500:2004, pengusaha makanan halal negara perlu berusaha lebih giat untuk meneroka pasaran antarabangsa, terutama pasaran negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Diperkukuhkan dengan reputasi pensijilan dan logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim, Malaysia sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pengeluar makanan halal dunia yang utama.
Bagaimanapun, ada beberapa isu yang perlu ditangani terlebih dulu sebelum kejayaan yang dicita dapat diraih. Pertama, sijil dan logo halal Jakim dan MS1500:2004 bukan sesuatu yang diwajibkan ke atas pengusaha.
Ia bergantung kepada pengusaha. Hal itu akan menimbulkan sedikit kegusaran di kalangan pengguna Islam yang prihatin terhadap halal atau haram produk makanan yang mereka beli. Keadaan ini disebabkan tidak semua pengusaha makanan akan berusaha untuk mendapatkan pengesahan daripada kedua-dua agensi ini.
Ada baiknya jika peraturan itu diwajibkan, terutama terhadap pengusaha berskala besar dan sederhana. Ia bukan saja untuk kebaikan pengguna, malah pengusaha. Pengusaha yang bijak akan cuba mendapatkan salah satu pengesahan itu atau kedua-duanya. Melalui pengesahan halal Jakim atau pensijilan MS1500:2004, pengusaha mempunyai kelebihan untuk bersaing baik di pasaran tempatan mahupun global. Lebih elok, jika mereka memperoleh kedua-duanya.
Isu kedua pula berkait dengan Jakim dan Sirim Berhad yang dilantik oleh Jabatan Standard Malaysia sebagai agensi untuk membangunkan Standard Malaysia (MS). Sepatutnya kedua-dua fungsi agensi itu (yang berkaitan dengan proses pengesahan halal) diseragamkan supaya tidak menimbulkan kerumitan, terutama di kalangan pengusaha makanan halal. Pada masa ini, mereka perlu berurusan dengan dua agensi berlainan untuk mendapatkan dua pengesahan halal.
Ada baiknya jika kedua-dua pensijilan ini digabungkan. Ia bukan saja memudahkan pengusaha, malah proses pemantauan oleh agensi terbabit. Melalui penyeragaman itu, Jakim, Sirim mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh bertindak secara kolektif untuk mengawal selia dan mengambil tindakan (jika perlu) terhadap mana-mana pengusaha yang cuba berkompromi terhadap tahap halal produk mereka.
Pada masa sama, agensi ini perlu memastikan mereka mempunyai kemudahan dan kepakaran yang cukup bagi membolehkan operasi pensijilan halal ini dilakukan dengan lebih berkesan. Dalam hal ini, kemudahan makmal serta tenaga pakar yang terlatih, terutama dalam bidang berkaitan teknologi makanan amat diperlukan.
Mereka juga perlu diberi kuasa untuk menguatkuasa dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang gagal mematuhi keperluan pensijilan halal yang dikeluarkan. Isu ketiga yang perlu diambil kira di sini adalah dari segi kemampuan Malaysia untuk menghasilkan makanan halal.
Contohnya, import barangan makanan negara untuk 2003 berjumlah RM13.9 bilion. Import daging dari Januari hingga September 2003 saja berjumlah RM338 juta. Dengan kata lain sektor pertanian negara tidak mampu untuk menampung keperluan tempatan.
Jadi, bagaimana untuk kita menguasai pasaran global jika keperluan sendiri perlu bergantung kepada negara luar? Cuma kita berharap melalui wawasan kerajaan untuk memajukan sektor pertanian seperti yang digariskan dalam Bajet 2005, dapat membantu negara mengurangkan pergantungan kepada negara luar untuk sumber bekalan bahan makanan.
Pada masa sama, ia dapat membantu industri makanan halal negara untuk berkembang lebih pesat kerana input yang diperlukan bagi industri terbabit boleh didapati dengan mudah dalam negara. Jika ketiga-tiga isu ini dapat dicari jalan penyelesaiannya, pasti matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Makanan Halal dunia dapat dicapai.
Kesimpulannya, isu halal haram bukan lagi persoalan yang membabitkan ulama saja. Ia perlu dibincangkan secara mendalam dan menggunakan pendekatan semasa serta kaedah penyelidikan saintifik. Perkara ini kerana isu berkaitannya semakin rumit untuk dihuraikan secara biasa.
Persoalan halal haram, dengan kata lain tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak kerana ia boleh memberi kesan kepada pembentukan sahsiah seseorang. Jika masyarakat Yahudi begitu sensitif terhadap Kosher (halal) mereka, kita sebagai umat Islam perlu lebih prihatin dan lebih peka terhadap isu ini.
Halal saja tidak mencukupi, malah makanan terbabit perlu baik dan bermutu tinggi. Keadaan ini seiring dengan firman Allah bermaksud : “Maka makan yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, dan syukurilah nikmat Allah, jika kepada-Nya saja kamu menyembah.” (Surah an-Nahl, ayat 114)
Kita juga perlu sedar yang halal haram ini bukan terhad kepada soal makan minum saja. Ia merangkumi segala aspek kehidupan baik dari segi ekonomi (terutama berkaitan jual beli, perdagangan dan kewangan), sosial (contohnya cara pergaulan dan perhubungan sesama manusia), sains dan teknologi (seperti berkaitan dengan isu pengklonan, ubah suai genetik) dan sebagainya.
Jelasnya, konsep halal haram perlu diberi skop yang lebih luas agar ia lebih difahami oleh masyarakat, terutama masyarakat Islam sendiri. Kemudian barulah ia boleh disebar luaskan kepada masyarakat lain.