SESUATU yang menarik dan tidak putus-putus diperkatakan mengenai tradisi menyambut Syawal adalah kunjung-mengunjungi antara sesama saudara, sahabat handai, kaum dan bangsa.
Demikian juga amalan mengadakan rumah terbuka yang bukan saja membabitkan sesebuah keluarga, malah kini dianjurkan pelbagai organisasi dan institusi.
Tradisi ini pula tidaklah menyalahi hukum dan adat, malah amat digalakkan kerana ia membawa banyak kebaikan kepada masyarakat negara ini, khususnya dalam mengerat hubungan antara anggota masyarakat.
Dalam kemeriahan dan keghairahan memenuhi undangan menghadiri jamuan dan rumah terbuka, pasti ada adab-adabnya yang tidak wajar diabaikan.
Adab meraikan tetamu dan memenuhi undangan dijelaskan terperinci dalam kitab Ihya’ `Ulumuddin, karangan Imam Muhammad al-Ghazali Jilid 2 muka 10 hingga 13.
Adab ini yang dapat memastikan bahawa setiap tingkah laku dan tindakan tuan rumah yang mengadakan jamuan serta tetamu yang memenuhi undangan kekal terpelihara dan tidak melanggar batas sempadan.
Bagi tuan rumah yang mengadakan jamuan, ia sebenarnya memenuhi tuntutan agama agar sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu.
Ini seperti ditegaskan Rasulullah saw yang bermaksud: “Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu.” Amalan mengundang tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama ini juga adalah amalan nabi-nabi.
Misalnya, diriwayatkan Nabi Ibrahim akan berjalan sejauh sebatu atau dua batu untuk mencari orang yang akan bersama-sama dengannya.
Sikap ditunjukkan Nabi Ibrahim ini menunjukkan betapa penting kita menjemput orang lain menjadi tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama.
Apatah lagi, jika mengadakan majlis meriah seperti majlis perkahwinan, jamuan hari raya atau majlis seumpamanya seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Di sini juga letaknya keutamaan atau kepentingan memberi makan khususnya kepada golongan fakir dan miskin.
Dalam perkara ini, Rasulullah pernah ditanya,yang bermaksud: `Apakah iman itu? Jawab Baginda: `Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam.’ Dalam menjemput atau mengundang orang lain sebagai tetamu, kita diingatkan supaya tidak membebankan tetamu dengan sesuatu perkara hingga menyusahkannya.
Umpamanya, menetapkan sesuatu peraturan ketika berada di rumah kita hingga membuatkan tetamu berasa tidak selesa. Ataupun, kita memintanya membawa hadiah atau melakukan sesuatu yang jika tidak dilakukan akan menyebabkan marah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu membebankan tetamu atau kamu memarahinya dan sesungguhnya orang yang memarahi tetamu, dia memarahi Allah dan sesiapa yang memarahi Allah, maka Allah murkainya.”
Perbuatan memarahi tetamu atau menyebabkan dia berasa tidak selesa. Ia bukan saja bertentangan dengan tata cara ditetapkan Islam, malah menunjukkan yang kita tidak menghormati tetamu.
Sedangkan, menghormati tetamu amat dituntut Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghormati tetamu, maka ia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah.”
Seterusnya, dalam mengundang tetamu juga, kita hendaklah mengutamakan golongan yang bertakwa atau lebih tepat lagi, orang berakhlak mulia, di samping golongan fakir dan miskin. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pastikan bahawa makanan kamu dimakan orang yang baik-baik.”
Dalam hadis lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Seburuk- buruk makanan adalah makanan (di majlis) kenduri yang hanya dijemput golongan kaya dan mengetepikan golongan fakir.” Begitu juga dengan usaha mengundang dan menghidang makanan untuk golongan fakir dan miskin.
Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Sa’id, katanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang memberikan pakaian kepada orang Islam lain yang tidak berpakaian, maka Allah akan memberikannya pakaian daripada pakaian hijau di syurga; dan setiap orang Islam yang memberi makan orang Islam lain yang dalam keadaan lapar, maka Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan dari syurga. Setiap orang Islam yang memberi minum kepada orang Islam lain, maka Allah akan memberikannya minum daripada minuman yang termeteri bekasnya.”
Selain golongan fakir dan miskin, kita diingatkan supaya tidak melupakan saudara terdekat kerana tindakan mengabaikan atau mengetepikan mereka hanya akan menyebabkan tersinggung atau melukakan hati mereka.
Lebih buruk lagi, jika ia mengeruhkan hubungan. Sebaik-baiknya, kita dapat menjemput semua tetamu mengikut keutamaan mereka, iaitu bermula dengan terdekat tidak kira sama ada mereka kaum kerabat, sahabat atau kenalan.
Di samping itu, kita diingatkan supaya tidak mengadakan majlis atau menjemput tetamu ke rumah semata-mata untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk.
Sifat yang buruk ini hanya mendatangkan kerugian kerana Allah tidak menerima perbuatan mengundang tetamu itu sebagai ibadat dan tidak akan memperoleh keberkatan.
Sebaliknya, kita hendaklah membahagiakan dan menggembirakan hati saudara seIslam serta menurut sunnah Rasulullah.
Dalam memenuhi undangan juga, kita diingatkan agar tidak menjadikan jarak sebagai halangan kerana ia hanyalah pada adat.
Dalam kitab Taurat atau sesetengah kitab lain menyebut: “Berjalanlah kamu sebatu untuk menziarahi pesakit, berjalanlah kamu dua batu untuk mengiringi jenazah, berjalanlah kamu tiga batu untuk memenuhi undangan dan berjalanlah empat batu untuk menziarahi saudara di sisi Allah.”
Perkara ini menunjukkan kita digalakkan memenuhi undangan dan menziarahi saudara walaupun jaraknya jauh.
Adab terakhir adalah menghadiri sesuatu majlis bukan dengan niat memuaskan nafsu makan semata-mata kerana ia akan mendorong kita cenderung kepada hal-hal keduniaan. Sebaliknya, kehadiran kita biarlah dengan niat yang baik.
Mudah-mudahan, kita akan mendapat ganjaran yang baik di dunia dan akhirat.