Tahun ini Malaysia mencapai 68 tahun kemerdekaan, namun pemikiran dan sikap segelintir rakyatnya masih terbelenggu dengan mentaliti penjajahan. Dalam era kematangan kemerdekaan ini, isu-isu seperti penghinaan terhadap agama dan kaum tidak seharusnya timbul lagi. Namun begitu, kita masih menyaksikan insiden yang mencerminkan kurangnya kefahaman dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Keadaan ini menunjukkan bahawa kita mungkin hanya merdeka pada nama, tetapi tidak pada jiwa dan pemikiran.
Salah satu punca utama yang menyumbang kepada perpecahan dalam masyarakat adalah kedangkalan ilmu. Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia masih malas untuk mendalami pengetahuan tentang agama dan budaya lain. Akibatnya, wujud sikap prejudis, stereotaip dan kebencian yang berpunca daripada kejahilan.
Tambahan pula, terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang masih selesa dengan sikap assabiah atau fanatik perkauman. Amalan diskriminasi antara kaum masih berlaku dalam pelbagai cabang kehidupan, termasuk dalam bidang pekerjaan, pendidikan, dan ekonomi. Perkara ini bertentangan dengan ajaran agama yang menyeru kepada sikap hormat-menghormati dan nilai kemanusiaan sejagat.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Islam mengajarkan prinsip menghormati penganut agama lain seperti yang disebut dalam al-Quran: “Untuk kamu agama kamu, dan untukku agamaku” (Surah al-Kafirun: 6). Ini juga terdapat dalam ajaran agama lain. Sebagai contohnya, dalam agama Kristian, kitab Injil menegaskan, “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri” (Matius 22:39). Agama Buddha pula mengajar konsep Metta (kasih sayang sejagat) manakala dalam ajaran Hindu, Bhagavad Gita menekankan kepentingan ahimsa (tidak menyakiti orang lain). Semua agama utama dunia menekankan nilai-nilai akhlak dan penghormatan, namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang gemar mencaci dan memperlekehkan orang lain. Oleh itu, semua kaum perlu memainkan peranan dalam memastikan keharmonian negara terus terpelihara tanpa meletakkan tanggungjawab itu hanya kepada sesuatu kaum sahaja.
Dalam pada itu, perpaduan antara kaum dan agama malah perpaduan antara pelbagai aliran juga perlu diperkemaskan kerana perbezaan pendapat itu wujud hasil dari kerajinan menelaah dan berfikir serta percambahan ilmu yang sesuai dengan tuntutan zaman. Jika perbezaan ini diurus dengan baik, ia mampu memperkayakan wacana intelektual dan membawa kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu isu. Sebaliknya, jika disalahgunakan ia boleh menjadi punca persengketaan yang tidak berkesudahan.
Sementelahan, keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan, dikhuatiri insiden berdarah seperti 13 Mei 1969 akan berulang kembali. Seperti kata pepatah, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.” Apakah erti kemerdekaan jika rakyat masih berbalah atas isu perkauman dan keagamaan? Adakah kita melupakan usaha dan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang mengimpikan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni?
Bertitik tolak dari perkara ini, kedangkalan ilmu bukan sahaja menjadi punca perpecahan, tetapi juga memberi ruang kepada hawa nafsu untuk menguasai pemikiran manusia. Akibatnya, masyarakat gagal memahami dan menghargai konsep hidup bersama (Fiqh Ta’ayush) dalam negara yang berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia. Tidak cukup sekadar melaungkan slogan perpaduan jika ia tidak diterjemahkan dalam tindakan amali dan kehidupan seharian. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa hubungan antara kaum dipelihara dengan baik dan diperkukuhkan melalui amalan nilai-nilai murni serta sikap saling menghormati.
Disamping itu, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan asas-asas penting dalam memastikan keharmonian antara kaum di Malaysia. Perkara 3(1) menyatakan bahawa Islam ialah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian di dalam negara ini. Perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sebuah negara teokrasi tetapi mengiktiraf hak kebebasan beragama bagi setiap rakyatnya.
Selain itu, Perkara 8 menjelaskan prinsip kesamarataan di mana semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi undang-undang tanpa mengira kaum, agama, atau keturunan. Perkara 11 pula menjamin kebebasan beragama bagi semua rakyat Malaysia, dengan syarat bahawa amalan agama itu tidak mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Sementara itu, Perkara 152 memperuntukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain boleh digunakan dan diajar. Ini membuktikan bahawa Malaysia mengiktiraf kepelbagaian budaya dan bahasa masyarakatnya. Begitu juga dengan Perkara 153 yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah kaum lain di Malaysia. Kesemua peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa keharmonian antara kaum adalah asas yang telah diperkukuhkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati oleh semua pihak.
Sehubungan itu, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan bahawa dalam Islam, adab berbeza pendapat amat ditekankan. Antara perkara utama yang ditekankan oleh beliau ialah menjauhi perbuatan menghina dan merendahkan mereka yang mempunyai pandangan berbeza serta menjauhi percakapan yang kasar dan tidak beradab ketika berbeza pendapat.
Izharlah bahawa jika masyarakat mengamalkan prinsip ini, perbezaan pendapat tidak akan membawa kepada permusuhan, sebaliknya menjadi medan untuk memahami dan menghormati antara satu sama lain. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama harus menerapkan nilai-nilai ini dalam kehidupan bermasyarakat. Perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan tetapi perlu diraikan sebagai satu keunikan yang membentuk identiti negara.
Intihannya, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya. Namun, jika ilmu dangkal, akhlak pudar dan hormat luntur, negara ini akan terus berdepan dengan krisis perpecahan. Setiap rakyat harus memainkan peranan dalam memupuk kefahaman dan toleransi agar Malaysia kekal sebagai negara yang harmoni dan bersatu. Keharmonian tidak boleh diletakkan di bahu satu kaum sahaja tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini seharusnya menjadi medan terbaik untuk kita merenung, memperbaiki diri, mengawal hawa nafsu dan meningkatkan amalan kebaikan. Ia bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga waktu untuk memperkukuhkan nilai-nilai persaudaraan dan perpaduan dalam masyarakat. Sikap hormat-menghormati, bertoleransi dan menjauhi perpecahan mesti diterapkan dalam kehidupan seharian, bukan hanya dalam bulan Ramadan tetapi sampai bila-bila agar Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu sepanjang zaman.