KL 98: KIKIS SIKAP SKEPTIKAL
Dalam kitab suci al-Quran, telah ditegaskan oleh Allah SWT tentang sikap degil atau sekurang-kurangnya perasaan ragu-ragu kaum-kaum yang tertentu untuk menerima dan melakukan perubahan dalam masyarakat masing-masing. Hal ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan sikap tertutup mereka dan sikap takut terhadap sesuatu perubahan baru yang akan berlaku dalam pemikiran dan keadaan serta realiti kehidupan mereka umumnya.
Contoh terbaik dalam hal ini ialah kedegilan manusia untuk menerima perubahan akidah dan penyusunan semula cara hidup jasmani dan rohani mereka mengikut visi dan wawasan lslam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan amat jelas dan terang. Alasan mereka yang utama untuk tidak menerima ajaran Rasulullah SAW ialah kerana mereka tidak mahu mengubah cara hidup dan amalan yang mereka telah warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. (Al¬Quran: AI-Baqarah, ayat 170; Luqman, ayat 21)
Tegasnya soal tradisi lama, adat lama, budaya lama dan cara hidup warisan itulah yang mereka lebih utamakan daripada membangun dengan perubahan-perubahan baru yang dapat meningkatkan kehidupan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Sikap manusia yang berbentuk skeptikal ini menjadi lebih meluas dalam dunia baru, ketika dunia baru mengalami perubahan mendadak secepat kilat mengubah segala-galanya di dunia ini sehingga dunia yang dihuni sekarang ini kelihatan seperti dunia lain, semuanya bertukar rupa dan warna, terutamanya yang dicorakkan oleh prasarana teknologi moden yang serba canggih.
Ratu lnggeris yang mengadakan kunjungan ke beberapa daerah di sekitar Kuala Lumpur sempena KL 98 melahirkan rasa kagumnya dengan perubahan mendadak bandaraya Kuala Lumpur berbanding dengan apa yang disaksikannya dalam lawatannya ke Malaysia sembilan tahun yang lalu.
Para pengurus kontinjen dan ahli-ahli sukan serta para wartawan luar negara ke KL 98 rata-ratanya melahirkan rasa senang hati dan kagum dengan perjalanan, pengurusan dan kemudahan keseluruhan sukan tersebut yang mereka alami selama masa mereka berada di negara kita. Pengakuan itu tentulah sedikit sebanyak diluahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, bukan sebagai permainan bibir yang tidak mengandungi sebarang erti.
Contoh keagongan dan kejayaan KL 98 seperti yang telah saya sentuhkan juga dalam ruangan ini minggu lalu, sekaligus menanamkan kepercayaan dan keyakinan diri kepada rakyat Malaysia bahawa dengan pimpinan yang berwibawa dan keazaman yang kental dari rakyat untuk bekerja keras dalam merealisasikan cita-cita dan agenda negara, maka dengan pertolongan Allah SWT usaha itu akan berjaya dengan baiknya dan akan berhasil dengan sempurna.
Melihat dan merasai sendiri suasana perasmian dan penutupan KL 98, saya merasa Stadium Nasional Bukit Jalil telah menjelma menjadi sebuah arena yang mengajar ribuan pengunjungnya erti kesepaduan, keharmonian, persahabatan dan idealisme bangsa dan negara yang sedang dibangunkan dengan pesatnya, dan mengajar erti kekentalan dan kekuatan semangat azam, jati diri yang menjadi ciri-ciri utama para atlit semasa berjuang di gelanggang sukan.
Hal ini dapat diperhatikan ketika para hadirin dalam acara perasmian dan penutupan KL 98 memperlihatkan isi hati mereka yang pada keseluruhannya melahirkan rasa penghargaan dan kekaguman masing-masing yang terbayang dalam pekik sorak mereka, termasuk “standing ovation” seluruh stadium, terhadap pucuk pimpinan dan atlit-atlit negara tanpa mengira unsur-unsur etnik dan agama.
Sebab itulah telah saya tegaskan di atas bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi gelanggang utama KL 98 tiba-tiba lahir sebagai simbol sokongan dan kesetiaan padu rakyat kepada negara dan pemimpinnya yang telah berjuang bersungguh-sungguh untuk menganjur Sukan Komanwel yang keenam belas walaupun sebelum ini terdapat sesetengah kalangan yang meragui dan bersikap skeptikal terhadap penganjuran sukan ini yang pada pandangan mereka tidak berfaedah dan sia-sia sahaja.
Saya rasa generasi muda dan kanak-kanak sekolah, sama ada yang hadir sebagai penonton atau yang mengambil bahagian dalam pertunjukan dan kerja-kerja sukarela KL 98, merupakan golongan sasar kita yang kita harapkan mendapat banyak suntikan semangat dan fikiran positif tentang diri mereka, negara mereka dan bangsa mereka.
Mereka dapat melihat dan merasa sendiri pencapaian gemilang yang dapat dihasilkan dengan wawasan kepimpinan dan sokongan rakyat, sehinggakan perkara yang diragui selama ini menjelma menjadi kenyataan di luar dugaan. Mereka dapat menghayati sendiri idealisme rakan-rakan mereka yang bertarung dengan penuh semangat dan tumpuan di gelanggang masing-masing semasa bertanding dalam medan sukan masing-masing.
Kejayaan para ahli sukan negara sering disambut dengan semangat patriotik, senyum tawa, keringat dan air mata. Maka hal ini semualah yang sebenarnya hendak kita bangunkan pada generasi muda kita dan hendak kita suntikkan dalam pendidikan anak-anak didik kita di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.
Mereka dengan sendirinya akan menghargai pemimpin negara yang bekerja keras, menghormati lambang perpaduan dan maruah bangsa dalam kibaran panji-panji negara secara berterusan, dan melaungkan lirik lagu kebangsaan dengan nyaringnya setiap kali muziknya dibunyikan, dan semuanya ini dilakukan dengan amat spontan oleh semua lapisan rakyat yang semestinya lahir dari hati sanubari sendiri.
Saya percaya semangat KL 98 dan pengajaran yang diperolehi darinya amatlah besar sekali dari segi kesan dan maknanya, terutamanya, seperti yang saya tegaskan di atas, terhadap para pelajar, para belia dan generasi muda umumnya. Walaupun KL 98 hanya mengambil masa yang singkat, tetapi kesan pelajaran yang diberikannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun sekiranya semangat dan pemikiran ini disampaikan melalui ceramah-ceramah yang berbentuk retorika semata-mata.
Menghadapi perubahan baru dengan teknologi baru bererti mengubah cara berfikir dan tindakan kita secara serius dan terkini. Perubahan-perubahan yang perlu dilakukan oleh generasi sekarang dan akan datang haruslah sesuai dengan pemikiran dan mentaliti mutakhir.
Sikap skeptikal dan ragu-ragu tanpa lebih dahulu merancang dan berusaha dengan penuh yakin akan meletakkan kita pada tahap yang mundur dan statik. Sikap skeptikal haruslah dicabut hingga ke akar umbinya kerana kita telah berjaya membuktikan kemampuan kita dari kejayaan yang kita capai, dari produk teknologi tinggi seperti kenderaan dan pesawat terbang, pelabuhan dan lapangan terbang, menara dan mercu tanda, sehingga ke pembangunan fizikal lainnya yang membuktikan proses pembangunan minda dan ilmu pengetahuan seperti pembangunan institut pengajian tinggi yang merangkumi berbagai-bagai disiplin ilmu pengetahuan.
Hanya yang perlu dipersoalkan sekarang ialah apakah pembangunan fizikal yang telah berjaya ditegakkan itu akan dapat mengikis sikap negatif dan skeptikal sesetengah orang yang ketinggalan zaman? Saya rasa hal ini boleh dilakukan dengan mengambil pendekatan dan kaedah yang terkini dan praktikal, seperti yang dapat dilihat dengan jelasnya dalam kejayaan KL 98.