Fungsi, Visi, Misi & Nilai-nilai Bersama

Fungsi

Dalam usaha menyebarkan kefahaman tentang Islam secara global, IKIM menyediakan suasana yang terbuka dan bebas supaya setiap orang dapat mengeluarkan pendapat masing-masing bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan. Secara ringkasnya fungsi-fungsi IKIM adalah seperti berikut :-

  1. Menjalankan penyelidikan yang melibatkan kajian menyeluruh dan bersepadu tentang peranan Islam dan umat Islam bagi menghadapi cabaran semasa yang timbul akibat daripada keadaan dunia yang kian berubah.
  2. Menghasilkan bahan penerbitan,termasuk buku, majalah dan jurnal untuk bacaan umum dan golongan sasar.
  3. Menganjurkan persidangan, seminar dan forum, perbincangan dalam mempelbagaikan percambahan fikiran bagi mencari penyelesaian perkara-perkara tertentu.
  4. Bekerjasama dengan pertubuhan tempatan dan luar Negara dalam menjalankan program-program bagi manfaat bersama.

IKIM juga turut menjalankan penyelidikan merangkumi bidang-bidang berikut :-

  1. Isu-isu strategik.
  2. Isu-isu berkaitan globalisasi.
  3. Pelaksanaan sistem ekonomi Islam.
  4. Pelaksanaan sistem perundangan Islam.
  5. Hubungan antara agama.
  6. Pembangunan berdasarkan sains dan teknologi.
  7. Bioetika.
  8. Isu-isu alam sekitar.
  9. Isu-isu hak asasi manusia.
  10. Isu-isu sosioekonomi dan politik.

Visi

Untuk Menjadi Institusi Utama Kefahaman Islam Bertaraf Antarabangsa.

Misi

1. Menjalankan penyelidikan yang bermanfaat besar dalam disiplin ilmu terpilih dengan menggunakan pelbagai kepakaran, sumber serta jaringan kerjasama bagi menghasilkan produk ilmiah melalui gerak kerja sistematik;

2. Memelihara, meningkat dan menyebar kefahaman Islam yang benar kepada masyarakat melalui penganjuran program, penyiaran dan penerbitan pelbagai hasil ilmiah dengan memanfaatkan kepakaran, pengurusan sumber yang berkesan dan rangkaian kerjasama strategik; dan

3. Memberi khidmat nasihat dan perundingan yang bermutu dan berkesan kepada pemegang taruh melalui penggemblengan kepakaran, sistem, rangkaian kerjasama dan sumber secara optimum.

Nilai-nilai Bersama

Bagi mencapai tahap kecemerlangan prestasi, warga IKIM sentiasa menghayati dan mengamalkan nilai bersama seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik IKIM iaitu:

ILMU

  • Ilmu merupakan pemahaman bermakna ataupun sesuatu yang memberikan makna kepada individu apabila bersumberkan maklumat yang benar.

HIKMAH

  • Hikmah bererti kebijaksanaan, kewajaran, ketepatan pandangan, kejelasan dan kebernasan pendapat. Hikmah berintisarikan ilmu perihal kedudukan yang betul bagi sesuatu perkara. Hikmah turut merangkum kemampuan berpandangan jauh di sebalik perkara tersebut.

ADAB

  • Keperibadian yang menghayati sifat-sifat mahmudah dan menghindari sifat-sifat madhmumah, bertertib akal dan budi, dan berperilaku yang betul. Adab ialah perbuatan melaksanakan keadilan berpandukan ilmu yang benar. Adab juga tindakan yang tidak melampaui batas yang ditentukan oleh agama dan akal yang sihat.

AMANAH

  • Intisari amanah adalah bercakap benar dan melaksanakan janji. Amanah sesungguhnya penunaian hak dan tanggungjawab dengan jujur dan justeru merangkum sifat bertanggungjawab, akauntabiliti, dan jujur dalam melaksanakan tugasan yang diterima dan melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya.

ADIL

  • Pengertian adil adalah peri menunaikan hak semua orang menurut kewajibannya. Adil bermula dengan tiada pilih kasih dan berakhir dengan tindakan memihak kepada yang benar berdasarkan ilmu yang betul. Meletakkan sesuatu pertimbangan sesuai dengan keadaan atau keperluan dan memberikan sesuatu kepada yang berhak mengikut lunas-lunas dan syarat-syarat yang benar lagi sah.

TAQWA

  • Taqwa merupakan sifat takut kepada Allah S.W.T dan berhati-hati dalam tindakan kerana meyakini pengawasan Allah dalam setiap tindakan. Taqwa dizahirkan sebagai pelaksanaan segala suruhan Allah dan penghindaran semua yang dilarang oleh-Nya.

BENAR

  • Ia merupakan usaha bersungguh-sungguh seseorang untuk menjaga integriti dan menjauhi kemunafikan serta pembohongan walaupun pada saat genting ketika mana pembohongan mungkin dapat melepaskan mereka daripada sesuatu (bahaya). Peringkat terendah kebenaran adalah keikhlasan dan berkelakuan sama baik di depan umum atau semasa bersendirian. Ini diikuti dengan sentiasa benar dalam pemikiran, perasaan, tindakan, dan niat. Orang yang benar adalah orang yang berani di mana yang perasaan, fikiran, dan tindakannya tidak saling bertentangan di antara satu sama lain. Manakala orang yang paling benar pula adalah mereka yang sentiasa benar dalam semua imaginasi, niat, perasaan, fikiran, tindakan, dan gerak isyarat mereka.