Jiran Jadi Asas Masyarakat Penyayang
Kemajuan yang upaya dicipta hasil daripada kebijaksanaan manusia yang menguasai ilmu tidak semestinya menjanjikan segalanya kebaikan, bebas daripada kesan yang boleh menjejaskan kehidupan manusia dan kebahagiaan hidup dalam masyarakat. Kemajuan ada kala boleh mendatangkan kesan negatif jika tidak diurus dengan baik dan diasaskan kepada nilai-nilai kemanusiaan yang murni.
Untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan prihatin terhadap kehidupan adalah bermula daripada keluarga dan meluas ke dalam masyarakat. Islam telah memberikan pelbagai asas panduan. Antaranya membentuk satu cara hidup keluarga yang mempunyai sifat kasih sayang dan belas kasihan iaitu mawaddah dan rahmah.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai peneraju keluarga mendidik anak-anak mereka dengan menyemai sifat belas kasihan dan kasih sayang. Sebaik-baik teladan dalam rumah tangga adalah ibu bapa dan di sekolah adalah guru yang mendidik setiap hari. Merekalah sebenarnya membentuk acuan selain daripada rakan sejawat dan suasana sekeliling.
Adakala berlaku juga keadaan anak-anak yang dahaga kasih sayang daripada ibu bapa. Terdapat sikap di kalangan penjaga yang memberikan kemewahan material bagi menggantikan kasih sayang. Anak mereka diberikan kemudahan dengan menunaikan semua kehendak mereka seperti yang digambarkan dalam filem Anakku Sazali. Natijahnya boleh merosakkan masa depan mereka sendiri dan penyesalan.
Kealpaan ketua keluarga, kerana kesibukan urusan bisnes serta mengejar kejayaan dunia semata-mata boleh menyebabkan tanggungjawab terhadap keluarga diabaikan. Sememangnya manusia itu diberikan perasaan dan nafsu cinta kepada harta kekayaan. Harta itu janganlah menjadi penguasa ke atas kehidupan, sebaliknya kita perlu menguasainya dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Dalam pada itu ada juga segolongan ketua keluarga mengutamakan kepentingan ukhrawi semata-mata yang akibatnya tidak memikirkan realiti masa depan yang penuh cabaran untuk anak-anak mereka. Mereka perlu dibekalkan dengan dua pengisian iaitu ukhrawi dan duniawi secara seimbang dan sepadu.
Kita juga tidak mahu melahirkan generasi yang luntur rohani dan keimanan sehingga mengabaikan tuntutan agama, dengan beranggapan tuntutan Islam hanya setakat keimanan, sehinggakan amalan yang menjadi tiang kepada agama seperti sembahyang diabaikan.
Ini telah kita saksikan berlaku di kalangan sesetengah remaja dan belia. Mereka ini sebenarnya telah mempelajari agama di sekolah tetapi mungkin suasana rumah tangga tidak membantu mereka melakukannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Bukanlah dari golongan yang terbaik, orang yang meninggalkan dunia untuk akhirat, atau meninggalkan akhirat untuk dunia, akan tetapi yang terbaik adalah orang yang mengambil ini (dunia) dan ini (akhirat).
Sebenarnya orang Islam diberikan dorongan supaya berusaha untuk kejayaan kehidupan di dunia dan di akhirat. Ada nilai-nilai yang perlu dipatuhi dalam mencari kejayaan kehidupan di dunia. Iaitu dengan menjaga hubungan sesama manusia. Kita juga berkewajipan menjaga hubungan dengan Allah dalam melaksanakan tuntutan dan menjauhi larangannya.
Bagaimanapun hari ini hubungan kemasyarakatan tidak lagi menurut lunas-lunas akhlak yang murni, akan tetapi lebih dibelenggu oleh nafsu dan emosi. Kita boleh melihat luaran dan keterampilan seseorang itu yang mengagumkan dan terpesona. Bagaimanapun, dalam pada itu terselit juga jiwa yang amarah, di luar kawalan nilai yang murni. Orang Islam diberi peringatan supaya menjaga tangan dan lidah. Larangan ini telah diabaikan. Orang Islam ada yang lebih suka mengeluarkan fitnah dan memilih untuk bermusuhan sesama Islam. Sedangkan kedua-duanya dilarang oleh Islam.
Kecenderungan yang berlaku dalam masyarakat adalah menyuruh orang melakukan kebaikan akan tetapi tidak mampu mengingatkan diri daripada melakukan kemungkaran. Apabila ada sesuatu yang difikirkan patut diberi teguran, cara dan bahasa yang digunakan sama sekali tidak mencerminkan akhlak Muslim dengan memilih pendekatan negatif untuk menyentuh perasaan dan peribadi seseorang.
Keadaan yang sebegini perlu diperbaiki terutama sesama Islam. Islam telah memberikan asas dan panduan dalam membentuk masyarakat yang bernilai budaya tinggi. Jiran adalah orang yang hampir dengan kehidupan kita. Mereka kebiasaannya mengenali diri dan keluarga kita.
Amat malang sekali jika kita sebagai jiran tidak mengenali antara satu dengan lain. Mengikut undang-undang, jiran tidak terbatas kepada orang yang dekat bahkan lebih luas lagi. Pengguna kepada sesuatu produk sejauh mana sekalipun, pengguna itu adalah dianggap sebagai jiran kamu. Jika produk itu mendatangkan bahaya atau mengakibatkan sesuatu gangguan kepada pihak pengguna, pihak pengeluaran adalah bertanggungjawab di atas kecuaian itu dan boleh dihukum.
Islam mahukan jiran yang mesra dan faham-memahami serta saling hormat-menghormati antara satu dengan lain. Dalam hubungan ini kita renungkan sabda hadis Rasulullah s.a.w. yang menghuraikan tentang hak jiran.
Antaranya menyatakan apabila dia (jiran) sakit kamu mengunjunginya, apabila ia meninggal kamu pergi menziarahinya, apabila dia miskin kamu bantu kewangannya, apabila dia gembira kamu ucapkan tahniah, apabila dia ditimpa bencana kamu tunjukkan rasa simpati.
Alangkah indahnya saranan dari hadis tersebut. Jika kita dapat melakukannya nescaya matlamat untuk menjadi masyarakat penyayang akan mudah tercapai. Kerana dalamnya mengandungi nilai-nilai murni yang mendidik kita supaya membantu jiran dan melahirkan rasa kasih sayang dan belas kasihan kepada orang lain.