Rezeki Ada Di Mana-Mana
Dalam keadaan kegawatan ekonomi ini, ramai yang dibuang kerja. Perangkaan terkini menunjukkan sehingga 29 Jan 2009, seramai 10,000 orang telah diberhentikan. Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi dari apa yang dijangkakan pada awalnya di mana ada laporan mengatakan lebih kurang 4,000 orang akan dibuang kerja untuk tiga bulan pertama 2009.
Walaupun ada usaha di pihak kerajaan untuk mendapatkan semula pekerjaan bagi mereka yang dibuang kerja ini, namun pastinya tidak semua mereka akan mendapat kerja baru.
Justeru, sebagai warga negara yang memahami kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan, kita tidak sepatutnya mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini. Kita juga boleh berusaha sendiri demi mencari rezeki yang halal untuk menanggung diri dan keluarga.
Agama Islam menuntut umatnya supaya bekerja mencari rezeki. Sekiranya seseorang itu gagal mendapat pekerjaan makan gaji, ia perlulah berusaha sendiri. Ini pernah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Jika kamu keluar (bekerja) pada waktu pagi dengan membawa kayu api untuk dijual (bagi mendapatkan rezeki) di pasar adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada seseorang, sama ada orang itu memberi atau tidak, tidak akan memberi berkat kepada kamu. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat Muslim).
Bila memperkatakan mengenai berusaha sendiri, ramai yang melihat perniagaan sebagai satu sumber pendapatan. Benar, ramai yang berniaga untuk mencari rezeki. Walaupun ramai yang mengimpikan untuk memiliki perniagan yang bernilai jutaan ringgit, namun perniagaan kecil-kecilan juga mampu memberi rezeki kepada kita.
Seorang budak muda yang memiliki gerai ‘burger’ misalnya, pernah memberitahu penulis bahawa secara purata, dia berjaya menjual 100 bungkus ‘burger’ dari jam 7 petang hingga 12 tengah malam. Penulis pun mencongak sendiri. Jika sebungkus ‘burger’ memberinya keuntungan sebanyak 50 sen, itu bermakna RM50 sehari, bersamaan dengan RM1500 sebulan. Itu belum dikira apa yang boleh dibuat oleh budak muda ini untuk menjana pendapatan di siang hari ketika gerai ‘burger’nya belum dibuka.
Penjual satay keropok lekor di luar kawasan sekolah anak penulis pula memaklumkan bahawa dia boleh mendapat RM100 sehari dengan menjual satay itu dari satu sekolah ke sekolah yang lain.
Benarlah bahawa berniaga kecil-kecilan itu mampu menampung hidup mereka yang menceburinya. Berniaga untuk menjadi kaya-raya, itu satu perkara yang berbeza.
Walau bagaimanapun, berusaha sendiri tidak terhad kepada berniaga makanan atau barangan semata-mata. Kita juga boleh men’jual’ khidmat tenaga dan kepakaran kepada para pelanggan. Malah, ini merupakan satu bentuk perniagaan yang lebih baik kerana ia tidak memerlukan modal yang banyak dan tiada risiko kerosakan pada barangan yang hendak dijual. Kemahiran, kepakaran dan tenaga empat kerat adalah modalnya.
Banyak isirumah yang suami-isterinya bekerja, khususnya yang tiada pembantu rumah, mengupah para pencuci pejabat – yang terdiri dari warga asing – untuk membersihkan rumah mereka pada hujung minggu. Biasanya, untuk sebuah rumah upahnya ialah RM50. Dalam sebulan ada 8 hari Sabtu dan Ahad. Ini bermaksud, seorang pencuci pejabat yang rajin boleh mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM400 sebulan.
Seorang bekas pekerja kilang yang baru diberhentikan mungkin tidak teruja dengan jumlah gaji sebanyak ini. Namun, pendapatan sebanyak RM400 dengan bekerja hanya lapan hari sebulan adalah sesuatu yang lumayan. Banyak lagi yang boleh diusahakan pada baki 20 hari dalam masa sebulan itu.
Begitu juga, mereka yang ada rumput di halaman rumah tahu betapa mahalnya upah untuk memotong rumput. Ini bermakna bidang ini ada potensi untuk diceburi tambah pula rumput tidak pernah berhenti tumbuh walau segawat manapun ekonomi dunia. Betul, ia memerlukan sedikit modal asas untuk membeli mesin pemotong rumput. Namun, jika rajin, ia boleh menjadi sumber rezeki yang memuaskan.
Bahan buangan juga boleh memberi rezeki kepada kita. Seorang kenalan penulis mencari pendapatan tambahan dengan mengitar semula botol-botol plastik. Hasil jualannya itu kadangkala mencecah RM200 sebulan. Walaupun gajinya mencukupi untuk menanggung keluarganya, namun secara peribadi, beliau merasakan tiada salahnya untuk menambah pendapatan dengan cara sedemikian.
Jelas bahawa rezeki halal ada di mana-mana dan bukannya di dalam pejabat yang berhawa dingin semata-mata. Soalnya, apakah kita mahu mencarinya dengan apa cara sekalipun atau mahu menunggu rezeki itu datang bergolek?
Ia juga banyak bergantung kepada cara kita melihat peluang-peluang yang terbuka luas itu. Sekiranya kita melihatnya sebagai satu cara mencari rezeki halal yang dituntut agama, kita akan melihatnya sebagai satu peluang. Sebaliknya, sekiranya kita melihat usaha-usaha tadi sebagai pekerjaan yang memenatkan, tidak menjana banyak wang dan menjatuhkan air muka dan maruah, maka ia bukanlah pilihan yang terbuka untuk kita. Tepuk dada, tanya selera.