Literasi Kesihatan Mental Islam
Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta merupakan tema sambutan hari kebangsaan yang ke 57 pada tahun ini.Cinta merupakan sejenis parasaan yang akan menerbitkan rasa sayang dan kasih. Pertalian antara keduanya adalah amat rapat sehingga mustahil untuk mewujudkan perasaan kasih dan sayang jika tidak ada perasaan cinta itu. Seringkali juga kita terdengar ungkapan tak kenal maka tak cinta.
Keadaan ini menggambarkan bahawa cinta juga seringkali dikaitkan dengan sikap kenal mengenali dan hanya dengan perkenalan yang kukuh akan memulakan terbitnya perasaan cintaitu. Ia akan menjadi sesuatu yang mustahil untuk mencintai seseoarang atau sesuatu apa pun sekiranya kita tidak mengenalinya. Hanya dengan perkenalan yang kukuhdan jitu, seseorang akan lebih mudah lagi untuk memiliki lebih banyak maklumat dan seterusnya bersedia untuk mencurahkan segala perasaan cinta, kasih dan sayang dengan penuh kerelaan dan tanpa paksaan.
Kita juga seringkali terdengar ungkapan hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengenal idirinya, akan lebih mengenali Tuhannya. Untuk kenal kepada Pencipta, sewajarnya kenali dan ketahui ciptaan-Nya. Mengenali diri ini sebagai ciptaan-Nya, kekurangan dan ketidaksempurnaan yang dimiliki, serta kompleksiti yang terkandung, akan memberi lebih banyak ruang dalam menghayati betapa Allah sebagai Pencipta yang Maha Hebat. Walaupun wujud pelbagai perbahasan terhadap kesahihan dan kesabitan ha disini di kalangan para ulamak hadis, namun bagi ulamak sufi, tidak menjadi kesalahan dalam pegangan yang mempercayai bahawa mengenali diri adalah sebahagian dari langkah awal untuk mengenali Pencipta dan keagungan serta kekuatan yang dimiliki-Nya. Mengenali diri ini juga bertujuan untuk mengakui hakikat kelemahan diri yang menjadikan manusia itu sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan juga untuk memupuk sikap kebergantungan hanya kepada-Nya pada setiap masa. Hakikat mengenali diri ini pada akhirnya akan membawa kepada rasa kecintaan yang kukuhkepada Allah s.w.t.
Proses mengenali diri ini sebenarnya amat berkaitrapat dengan aspek kejiwaan dan kerohanian. Faktor kerohanian ini, sebagaimana menurut Imam al Ghazali, adalah satu kejadian diri yang paling asas dalam membentuk kestabilan atau kesihatan jiwa dan rohani manusia. Manakala tahap kestabilan atau kesihatan jiwa dan rohani yang sebenarnya ialah apabila seseorang individu itu telah mencapai kepada tahap kesempurnaan iman serta matlamat mencari keredhaan Allah sahaja serta dapat mengawal kerakusan nafsunya.
Menurut Uthman an Najati pula, pertembungan yang tidak terkawal, yang wujud di antara keinginan nafsu dan keimanan akan menimbulkan konflik, yang akhirnya mencetuskan ketidaktenteraman atau pertelingkahan kepada jiwa atau emosi, dan sekiranya tidak diuruskan sebaiknya, akhirnya akan mengakibat kan berlaku gejala gangguan emosi dan mental. Atas dasar ini, perlunya setiap individu itu untuk mengenali hakikat kejadian diri, seterusnya bertindak atas faktor kasih dan sayang untuk memelihara serta memperbaiki diri sendiri dan bagi mengelakkan diri dari terjerumus kedalam pertelingkahan berterusan dan tidak berkesudahan di antara nafsu dan iman.
Sebagaimana yang telah dinyatakan bahawa dalam proses untuk mengenali diri ini, ia amat berkait rapat dengan aspek kerohanian dan kejiwaan. Manakala perbicaraan yang menyentuh aspek kerohanian dan kejiwaan pula tidak dapat dielakkan dari aspek penjagaan kesihatan mental dan kestabilan emosi. Dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan mental dan emosi, serta akhlak dan tingkahlaku yang baik ini, setiap individu itu perlu kepada literasi kesihatan mental.Apakah sebenarnya literasi kesihatan mental?
Literasi kesihatan mental dirujuk sebagai tahap pengetahuan dan kepercayaan yang dimiliki oleh kelompok masyarakat terhadap gangguan mental, meliputi aspek pengenalpastian, pengurusan dan penjagaan serta pencegahannya. Ia melibatkan pengetahuan seseorang anggota masyarakat terhadap langkah pencegahan gangguan mental, kemahiran mengenal pasti kewujudan tanda gejalanya, langkah pemulihan dan rawatan, siapa dan di mana agensi berkaitan pemulihan, serta bantuan kecemasan yang perlu diambil oleh mereka ketika dilanda musibah berkaitan atau apa yang perlu dilakukan pada peringkat awal lagi sebelum mendapatkan rawatan.
Literasi ini perlu dimiliki oleh segenap anggota masyarakat, baik individu, mahupun pegawai dan kakitangan kerajaan serta ahli politik, dengan objektif bagi mengelakkan ketidakupayaan atau kejahilan yang biasa terjadi akibat illiterasi terhadap kesihatan mental, seperti bersegera dan tidak bertangguh dalam mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan, dapatkan rawatan dari mereka yang benar-benar pakar dan bertauliah, memahami secara jelas bentuk rawatan yang diiktiraf sebagai sahih dan terbukti berkesan, serta bersikap terbuka terhadap bentuk rawatan dan perkhidmatan kesihatan mental yang disediakan.
Pengetahuan literasi ini penting dan perlu bagi mempastikan gangguan mental dan emosi dapat dirawat di peringkat awal lagi. Selain itu, ia juga dapat dirawat secara betul oleh mereka yang layak dan bertauliah sahaja dalam memberikan rawatan, dan bagi mempastikan jenis dan proses rawatan itu adalah sah dan tidak bertentangan dengan peraturan dan kehendak syariat. Literasi juga penting dalam menentukan bentuk rawatan yang sesuai dengan gangguan yang dialami. Pengetahuan seperti ini juga akan dapat membantu mempertingkatkan lagi prasarana dans umber untuk memelihara kepentingan kesihatan mental masyarakat memandangkan bebanan kewangan dan produktiviti gangguan mental adalah sama besar dengan bebanan penyakit fizikal yang lain.