Mendidik Golongan Muda Menghargai Hari Malaysia
Negara baru sahaja menyambut Hari Malaysia. Hari Malaysia yang disambut pada setiap 16 September setiap tahun merupakan hari memperingatkan kita tentang penubuhan Persekutuan Malaysia. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk negara Malaysia. Seperti yang kita maklum, Malaysia adalah negara berdaulat dan mempunyai rakyatnya yang berbilang kaum.
Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat untuk memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara ini. Apatah lagi di sinilah tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita seharian. Sewajarnya kita dapat mengekalkan nikmat kemakmuran ini agar sentiasa dikecapi dan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Namun begitu, sejauhmanakah golongan muda dapat dididik untuk menghargai Hari Malaysia? Apakah mereka sedar akan kewujudan Hari Malaysia ini? Atau mereka hanya menantikan Hari Malaysia sebagai agenda hari cuti umum sahaja.
Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir golongan muda yang sedar kewujudan Hari Malaysia. Sebaliknya adalah menjadi satu fenomena yang tidak sihat apabila ada segelintirnya pula yang belum menyedari akan kewujudan Hari Malaysia. Buta sejarah ini akan menjadikan golongan muda rapuh jati diri dan akan merendahkan semangat cinta dan menghargai negara.
Maka di sini kita perlu berfikir bagaimana untuk memupuk rasa cinta dan menghargai negara Malaysia terutama dalam kalangan golongan muda ini. Apakah cukup sekadar mempelajari kurikulum pendidikan mata pelajaran Sejarah atau Pendidikan Sivik di sekolah sahaja dapat mendidik golongan muda ini menghargai negara tercinta?
Justeru, untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara dan memupuk rasa kesetiaan kepada pemimpin negara, sistem pendidikan kita perlu melakukan sesuatu tentang perkara ini. Sistem pendidikan hari ini seharusnya turut memberi penumpuan terhadap perkara perpaduan dan mencintai keamanan dalam negara kita. Pun begitu, golongan muda juga perlu ditekankan tentang semangat bahawa kita hidup di sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum terutama di Sabah dan Sarawak itu sendiri. Jadi semangat perpaduan perlu diutamakan.
Apabila semangat perpaduan tersemai dalam jiwa anak muda kita, mereka akan sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Perpaduan yang dipupuk ini merupakan sebahagaian daripada tuntutan Islam. Malah perpaduan yang wujud inilah dapat mengekalkan keamanan dan menjaga kestabilan negara daripada segala bentuk ancaman. Kita bimbang jika ada generasi muda yang cuba untuk menghuru-harakan kestabilan dalam negara kita apatah lagi memutarbelitkan fakta sejarah perjuangan untuk mencapai penubuhan negara Malaysia. Ketidakstabilan dan ketidaksepaduan ini juga akhirnya akan melemahkan kestabilan sosio, ekonomi dan politik negara.
Selain itu, dalam mendidik dan menghargai Hari Malaysia hebahan melalui media masa juga perlu terutama melalui pemaparan imbauan sejarah untuk kesedaran dan menanam penghayatan dalam jiwa anak muda tentang tarikh bersejarah penubuhan Malaysia ini. Media massa umpamanya, wajar menayangkan tayangan filem yang dapat membantu khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa tarikh 16 September merupakan tarikh signifikan yang terkandung dalam lipatan peristiwa bersejarah bagi Malaysia.
Begitu juga bagi masyarakat setempat boleh memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia pada peringkat akar umbi lagi. Peranan masyarakat setempat mengadakan beberapa ceramah, seminar, forum dengan melibatkan anak muda di kawasan perumahan atau kampung ini dapat mendidik anak muda untuk terus bergerak sama dalam penganjuran sambutan Hari Malaysia. Ini juga dapat menyuntik sedikit sebanyak perasaan untuk menghargai negara tercinta.
Teruskanlah usaha untuk mendidik generasi muda untuk menghargai Hari Malaysia. Jangan biarkan generasi muda kita terus melupakan dan tidak menghargai tarikh bersejarah ini. Setidak-tidaknya, melalui kesedaran sejarah maka generasi muda akan mampu menghayati, menghargai dan mencintai nilai sebenar Malaysia. Semoga Malaysia yang tercinta terus maju, aman dan damai di bawah payung serta pelindung-Nya.