Natijah Melanggar Hukum Alam
Dimanakah silapnya apabila kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur berulang kembali di Cameron Highlands? Tidakkah kejadian seumpamanya yang berlaku sebelum ini sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pihak untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang?
Lebih mengejutkan apabila dilaporkan bahawa lebih 60 peratus kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan dan hutan di tanah kerajaan di Cameron Highlands telah diteroka sejak 14 tahun yang lalu.
Ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, tiadakah pemantauan dilakukan oleh pihak-pihak berwajib sehinggakan lebih daripada separuh kawasan hutan telah diteroka sedemikian rupa tanpa memikirkan natijah daripada kerakusan yang dilakukan?
Malah, lebih menyedihkan apabila pencerobohan hutan untuk tujuan pertanian turut berlaku di kawasan lereng bukit yang mempunyai kecerunan 45 hingga 50 darjah sehingga mengakibatkan berlakunya hakisan dan mendapan yang teruk yang menjadi punca utama berlakunya banjir lumpur berkenaan.
Ini secara jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak terlibat yang seolah-olah menutup mata dan hanya mementingkan tembolok semata-mata apabila dengan sewenang-wenangnya meneroka kawasan-kawasan sensitif berkenaan tanpa memikirkan risiko tinggi yang bakal timbul apabila terus diganggu.
Sedangkan, mereka seharusnya prihatin bahawa syarat untuk sesuatu aktiviti pertanian dilakukan di kawasan lereng bukit perlu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan yakni hanya kawasan yang mempunyai kecerunan bawah 25 darjah sahaja dibenarkan.
Justeru, apabila syarat ini tidak diambil peduli maka sudah tentu menggugat keseimbangan semulajadi di kawasan berkenaan sehingga membawa kepada berlakunya bencana seumpama ini.
Di samping itu, aktiviti pencerobohan hutan yang tidak terkawal untuk tujuan pertanian juga telah memusnahkan sebahagian besar kawasan tadahan air sehingga memburukkan lagi keadaan.
Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib dengan memperkasakan lagi aspek penguatkuasaan dan mengambil langkah proaktif bagi memulih dan menyelamatkan Cameron Highlands agar tragedi sama tidak berulang.
Dalam konteks ini, peranan kerajaan negeri penting terutamanya dalam aspek pengurusan dan penstrukturan pelan pembangunan di kawasan berkenaan agar dilakukan dengan lebih teliti dan terancang bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah secara lestari, di samping turut meminimumkan impak untuk tempoh jangka panjang.
Setiap aktiviti pembangunan juga perlu dirancang dengan lebih rapi bagi mengekalkan kawasan hijau dan menetapkan kawasan yang sesuai untuk aktiviti pertanian serta perumahan, dan yang paling penting perlu mengambilkira aspek-aspek tertentu bagi mengurangkan risiko bencana.
Selain itu, kerajaan negeri juga perlu peka terhadap segala projek pembangunan yang dilakukan agar setiap aktiviti pembukaan tanah dipantau dengan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya sebarang bentuk penyelewengan yang boleh mengundang padah yang lebih besar di kemudian hari.
Tragedi ini seharusnya diambil iktibar dan pengajaran sebagai natijah dan peringatan Allah kepada kita lantaran melanggar hukum alam supaya kita kembali kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (Surah ar-Rum, ayat 41).