SEMBAH UCAPAN YABHG TUN AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID, PENGERUSI IKIM DI WACANA DI-RAJA “ISLAM AGAMA RAHMAH: RAJA, PERLEMBAGAAN DAN PATRIOTISME”, PADA 10 OKTOBER 2019
Menghadap,
Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah,
Menghadap,
Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj,
Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Diampun.
Terlebih dahulu bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala oleh kerana dengan limpah KeizinanNya dan InayahNya maka dapat kita berada di dalam Dewan ini pada hari yang penuh rahmat ini. Patik bagi pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua mencemar duli berangkat pada pagi ini sempena majlis perasmian Wacana Diraja: “Islam Agama Rahmah: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme”, di ikuti pula dengan pelancaran dua buah buku yang berjudul (i) Islam dan Hubungan antara Penganut Agama, dan (ii) Patriotisme dan Toleransi Kaum antara Belia di Malaysia : Hasrat dan Pelaksanaan.
Ampun Tuanku,
Pemilihan tema wacana ini adalah di atas kesedaran bahawa kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan adalah amat diperlukan dalam keadaan sekarang. Perkara (150 (6A) dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa ada enam hak yang tidak boleh digugat biarpun negara kita di dalam keadaan darurat, iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat orang-orang Melayu, kebebasan berugama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di negeri-negeri Sabah dan Sarawak, serta hak berkaitan dengan bahasa. Selanjutnya, kefahaman mengenai kedudukan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan falsafah serta semangat Perlembagaan Persekutuan hendaklah merupakan “a pre-requisite to good citizenship”. Oleh hal yang demikian, limpah perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku bagi merasmikan wacana ini adalah merupakan satu detik sejarah bagi institut ini yang akan terpahat di dalam ingatan, hati dan sanubari patik-patik sekelian buat selama-lamanya.
Ampaun Tuanku, sembah patik mohon di ampun, dengan limpah perkenan kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, patik mohon berucap kepada para hadirian sekalian.
Yang Berhormat
Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, dan Datin Seri,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Yang Berhormat Menteri-Menteri, dan Timbalan-Timbalan Menteri,
Tuan-tuan Yang Terutama Duta-Duta,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Terlebih dahulu, bagi pihak IKIM saya ucapkan terima kasih khusus kepada YB Menteri, di Jabatan Perdana Menteri dan juga YBhg Datin Seri, dan para hadirin sekelian kerana sudi bersama menghadiri majlis diraja pada pagi ini. Wacana yang akan dirasmikan sebentar lagi adalah majlis ilmu yang tertinggi dalam siri National Colloquium seperti yang dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri bagi tempoh bulan September 2019 – September 2020. Sembilan wacana yang lain adalah berjudul seperti berikut (dengan izin): (i) Maqasid Syariah for Sustainable Governance (ii) Good Governance in Islam (iii) Islam and Moral Freedom: Issues and Challenges (iv) Islam and Disruptive Technologies (v) Demystifying Islamophobia : Towards A Deeper Understanding of Islam (vi) National Sovereignity in the Context of International Conventions (vii) Religious Responses to Climate Change and Environmental Degradation (viii) The Failure of Extreme Capitalism: is Islamic Economics the Answer?, dan (ix) Halal Economy: Potentials and Challenges. IKIM akan mengundang pakar-pakar tempatan dan luar negara, penjawat-penjawat awam, mahasiswa-mahasiswa, para ulama, ahli-ahli akademik, wakil-wakil NGOs dari semua kaum untuk menyertai National Colloquium ini. Penemuan-penemuan yang terhasil daripada siri National Colloquium ini akan disiarkan oleh Radio IKIM.
Ampun Tuanku Beribu Ampun, sembah patik mohon diampun, sekianlah sembah ucapan patik.
Patik sekali lagi merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua berangkat ke IKIM pada pagi ini, yang akan tercatat dengan tinta emas dalam lipatan sejarah institut ini.
Ampun Tuanku Beribu Ampun, sembah patik mohon diampun.
Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.