Teks perutusan sambutan Hari Pekerja 2021 oleh YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 1hb. Mei 2021
Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh, dan Salam Sejahtera.
Tibanya tarikh 1 Mei saban tahun, kita bukan sekadar bercuti, tetapi setiap daripada kita meraikan golongan yang paling penting dan mustahak dalam pembangunan negara. Sama ada daripada bidang pentadbiran, pendidikan, kewangan, keselamatan mahupun kumpulan pelaksanaan, semua telah memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan pembangunan agama, bangsa dan negara.
2. Bekerja merupakan suatu amanah yang menuntut kekuatan mental, fizikal dan rohani seseorang. Dalam Islam, bekerja merupakan perkara yang berkait rapat dengan etika dan moral untuk menghasilkan kerja yang berkualiti kerana setiap pekerjaan yang dilakukan akan dinilai sebagai Ibadah di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
3. Teras kepada kualiti kerja dan kecemerlangan adalah pembinaan sahsiah dan akhlak yang unggul dalam diri pekerja. Pekerja yang menghasilkan kerja yang berkualiti mampu memberi kesan kepada kecemerlangan sesebuah organisasi serta menjadi penanda aras kepada kejayaan pengurusannya.
4. Islam telah meletakkan asas yang kukuh dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Ini berpandukan kepada hadith Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan itqan”
5. Konsep Itqan ini amat berkait rapat dalam menghasilkan kerja yang berkualiti kerana nilai-nilai seperti istiqamah dan tekun dalam melaksanakan sesuatu tugasan akan memberi impak positif iaitu akan disukai dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
6. Bagi melaksanakan konsep Itqan ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia sentiasa berusaha bagi memupuk semangat dan membentuk pemikiran berasaskan al-Quran (Quranic Mind) menerusi program-program seperti kolokium, seminar, muzakarah pakar, mahu pun program-program di Radio IKIM.
7. Dengan ini, seseorang itu tidak akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat apa yang ia lakukan. Matlamat utama bekerja di dalam Islam adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan juga memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
8. Dalam tadbir urus, tonggak dua belas ialah panduan-panduan, contoh-conth nilai dan etika serta amalan-amalan baik yang perlu diamalkan. Dua belas tonggak tersebut ialah:
i. Menghargai Masa
ii. Ketekunan Membawa Kejayaan
iii. Kemuliaan Kesederhanaan
iv. Ketinggian Peribadi
v. Kekuatan Sifat Baik Hati
vi. Kewajipan Menjalankan Tugas
vii. Kebijaksanaan Berhemat
viii. Keutamaan Kesabaran
ix. Peningkatan Bakat
x. Pengaruh Teladan
xi. Keseronokan Bekerja
xii. Nikmat Mencipta
Adalah diharapkan bahawa setiap pekerja akan menerapkan nilai-nilai ini untuk kemajuan kerjaya.
9. Dikesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja IKIM yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selama ini. Kepada pekerja-pekerja di luar IKIM yang telah bekerjasama dengan pekerja-pekerja institut ini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.
Selamat Menyambut Hari Pekerja bagi tahun 2021.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.