Kematangan Bernegara di Tangan Rakyat
Pilihan raya yang bakal diadakan merupakan detik penting untuk memulihkan imej dan kredibiliti negara. Sementara parti dan calon menyusun strategi kemenangan, rakyat perlu menetapkan visi dan kriteria dalam pemilihan wakil rakyat mereka. Imej dan proses bernegara yang matang memerlukan perwakilan yang bijaksana, beretika dan berintegriti di Parlimen bagi membina keyakinan semua pihak termasuk bakal pelabur asing.
Sekadar mengenang kembali paparan media sosial Selangor Royal Office bertarikh 12 April 2022, DYMM Sultan Selangor merasa tertarik dan berkenan membeli sebuah karya lukisan berupa sidang Parlimen yang dianggotai oleh perwakilan berupa haiwan seperti monyet, beruk, katak dan cipanzi. Paparan ini sudah pasti memberi mesej tertentu yang perlu dicermati. Tidak keterlaluan jika kita lihat yang berlaku di Parlimen kita suatu masa tertentu mencerminkan sifat yang dibayangkan oleh lukisan tersebut. Jika rakyat celik mata hatinya, ini boleh diambil sebagai satu sindiran bersimbolik dan nasihat berhikmah tentang sesiapa yang rakyat pilih sebagai perwakilan mereka.
Parlimen bukan pentas lakonan yang memperlihatkan pelbagai watak dan persembahan. Tindak balas tanpa fikir, percakapan yang kesat, lucah, kasar, tegang dan menyerang peribadi menjadikan sidang parlimen kedengaran seperti bunyi di zoo. Memang kita akui bahawa ada perwakilan yang tidak tergolong dalam kategori ini, tetapi coretan ini mengajak rakyat agar memiliki jiwa patriotik bukan politik kepartian semata-mata ketika keluar mengundi.
Asal penubuhan sesebuah parti politik berpunca daripada pegangan ideologi tertentu dan dibentuk berdasarkan isu-isu khas dengan tujuan mengambil bahagian dalam kuasa dengan menyertai dalam pilihan raya. Tidak mustahil ada parti yang membawa misi dan agenda bangsa, kedaulatan dan agama. Pengundi perlu mengambil kira perkara ini kerana sekali tersilap langkah, padahnya sangat buruk kerana wakil rakyat mempunyai budibicara dalam proses perundangan, polisi dan dasar negara. Parlimen pernah menghadapi cabaran dalam proses pindaan rang undang-undang (RUU) melibatkan isu-isu berkaitan kerana perwakilan berpendirian berdasarkan kepentingan diri, bangsa atau parti mereka tanpa menghiraukan pendirian rakyat yang mereka wakili.
Kecenderungan negara-negara yang mempunyai banyak parti politik menggambarkan kerencaman yang tidak selesai dalam sesebuah negara. Apa yang pasti, semakin banyak parti politik, semakin terserlah perpecahan dan ketidaksefahaman. Hal yang demikian ini biasanya berlaku dalam kalangan negara membangun yang berkecamuk dengan masalah dan komplikasi dalaman proses bernegara. Usaha gabungan parti politik pula merupakan strategi menguasai majoriti untuk menerajui pimpinan kerajaan atau pembangkang. Menariknya di Malaysia, bukan sahaja parti itu sendiri banyak, gabungan parti-parti juga pelbagai.
Tumpuan menjuarai kuasa dalam kalangan parti politik akan menyebabkan pergolakan dan menumpulkan usaha pembangunan rakyat dan negara. Tidak mustahil pilihan raya kali ini juga akan berhadapan dengan krisis yang pernah dialami seperti wujud undi tidak percaya dan akhirnya negara berhadapan lagi dengan dilema kepimpinan. Negara yang matang seperti negara maju mempunyai lebih sedikit parti politik, iaitu satu atau dua (one-party atau two-party) berbanding multi-party. Walaupun undang-undang tidak menghalang penubuhan parti politik, tetapi bilangan yang dibenarkan bertanding di pilihan raya perlu diuruskan sebaik mungkin pada peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya dengan mengenakan syarat tertentu terhadap parti atau penggabungannya. Multi-party tidak menampakkan keuntungan kepada rakyat dan negara kecuali perlumbaan dan pertikaian pimpinan parti terhadap nasib dan masa depan karya politik mereka.
Gambaran dan wajah parti diwarnai oleh tingkahlaku, sikap dan integriti individu dalam parti berkenaan. Walau bagaimanapun suci sebuah parti, merit perwakilan yang menjadi keutamaan dalam usaha menyampaikan aspirasi dan menentukan dasar negara secara adil, maju dan bijaksana di Parlimen. Kebijaksanaan dan keadilan rakyat sebagai warganegara ialah memilih perwakilan yang tertib berhujah, mempunyai integriti dan beretika sepanjang masa, di dalam atau di luar Parlimen.
Kesempatan pilihan raya kali ini, rakyat perlu mengenakan sedikit tapisan dalam pemilihan wakil mereka bukan semata-mata kerana bendera atau parti politik. Tambahan pula, pilhan raya kali ini menyaksikan terlampau banyak parti politik dengan berbagai-bagai rencam, ideologi dan isu yang memperjuangkan ‘rakyat’ kononnya tetapi parti tersebut sendiri sukar untuk bersatu ke arah kebaikan dan kebajikan rakyat. Kriteria calon perlu diutamakan berbanding parti atau bendera. Hak mematangkan negara berada di tangan setiap individu warganegara Malaysia, dengan iltizam memilih calon perwakilan yang berkredibiliti dan berintegriti.