Islah sebagai Agenda Meluhurkan Malaysia Madani
YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membawa kembali konsep dan pendekatan ‘islah’ dalam pentadbiran negara dan ini menuntut satu perbincangan dan tindakan yang mendalam.
Sekiranya diteliti penggunaannya dalam al-Quran, Hadis, serta perbahasan alim ulama besar silam, islah tidak terbatas kepada pembaharuan atau penambahbaikan dari segi prosedur, proses kerja, dan peraturan semata-mata. Tetapi lebih tepat lagi, islah merujuk kepada suatu usaha membaik-pulih suatu keadaan (zahir dan batin) yang telah mengalami kefasadan yakni kerosakan dalam pelbagai sudut.
Pada hakikatnya fasad juga meliputi pengertian hakikat rohani insan yakni fasad al-qalb seperti sabda baginda Nabi SAW dalam hadis berikut: “Ingatlah bahawa di dalam tubuh itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah tubuh seluruhnya. Dan apabila buruk atau rosak (fasad), maka rosaklah tubuh keseluruhannya. Ketahuilah, dan ia ialah al-qalb.” (Sahih Bukhari)
Dalam al-Quran al-Karim juga disebut perihal golongan muslihun (yang membawa pengislahan) dan lawannya mufsidun—yakni yang membuat fasad secara sedar dan tanpa sedar.
Oleh itu, satu usaha pengislahan yang tulen dan berkekalan memerlukan usaha membaik-pulih hakikat rohani insan termasuklah pada peringkat pemikiran (thought) dan jiwa (soul). Perlu diingat bahawa akal insan itu ialah hakikat rohani jua, berbeza dengan hakikat fizikalnya yang difahami dalam konsep ‘otak’.
Maka, pengislahan yang mendalam dan berkekalan perlu melibatkan suatu usaha teratur untuk meningkatkan taraf pemikiran dan sifat-sifat terpuji para pentadbir kerajaan. Perkara ini juga telah dijelmakan dalam sejarah tamadun Islam melalui pendekatan pengislahan kalbu (islah al-qalb)yang disebut al-Ghazali (m. 1111), dan juga pendekatan ta’dib (atau penyerapan adab sebagai proses berpanjangan meluhurkan diri) yang pernah diamalkan di Empayar Uthmaniyah (Turkiye).
Akal fikiran para pentadbir sesebuah negara Madani perlu dipenuhi dengan hikmah-hikmah ajaran Islam serta bijak pandai pelbagai tradisi ilmu di dunia untuk menatijahkan sifat-sifat terpuji dalam akal dan peribadi seperti sifat berani, bijaksana, timbang-rasa, dan adil, dan sekali gus mengelakkan fasad dalam kalbu seseorang.
Usaha pengislahan pemikiran, adab dan budaya sedemikian (thought and cultural reform) perlu berpusat kepada barisan pemimpin sedia ada serta barisan pemimpin masa hadapan. Dan perkara ini tidak boleh hanya dilakukan dengan usaha penterjemahan buku atau menggalakkan budaya membaca, walaupun usaha seperti ini adalah suatu yang terpuji dan diperlukan.
Agenda pengislahan pemikiran, adab, dan budaya sesebuah masyarakat perlu dilakukan secara teratur dengan memanfaatkan ahli fikir, sarjana, dan cerdik pandai terbaik negara. Maka usaha pengislahan di Malaysia perlu melibatkan memulangkan amanah kepada ahlinya (seperti yang dititahkan Allah dalam al-Quran) dalam semua urusan dan bidang khususnya dalam usaha untuk membawa pengislahan pemikiran, adab dan budaya negara.
Perintah Allah ini juga telah lama diambil perhatian oleh ahli hukama’ (para bijaksana) Muslim seperti yang boleh dilihat dalam karya-karya agung mereka. Inilah sebabnya ahli fikir Muslim silam menekankan keperluan melahirkan kepimpinan bijaksana atau berhikmah (rule of wisdom), berlawanan dengan kepimpinan jahil (rule of ignorance) dan kepimpinan fasiq (rule of transgressor).
Pada konteks hari ini, untuk benar-benar memulangkan amanah kepada ahlinya menuntut yang empunya kuasa untuk mengkaji dan menilai segala ilmu, hikmah (wisdom), bakat, dan kepakaran yang telah dianugerahkan oleh Allah di sesuatu tempat dengan sebaik mungkin.
Dalam sebuah makalah oleh Umair Haque—dianggap salah seorang pemikir pengurusan yang berpengaruh di dunia Barat—yang diterbitkan dalam Harvard Business Review, beliau menyebut, “The scarcest, rarest, and most valuable resource in the world today is wisdom. The countries, companies, and people that possess it will prosper.” (“Sumber yang paling jarang dan paling berharga di dunia hari ini ialah kebijaksanaan. Mana-mana negara, syarikat, dan bangsa yang memilikinya akan makmur.”)
Penting untuk diingat bahawa dalam sudut pandang Islam, menurut Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, On Justice and the Nature of Man, kebijaksanaan atau hikmah (wisdom) ialah suatu ilmu yang dianugerahkan Tuhan untuk segelintir individu yang layak menurut kehendak Nya. Prof. al-Attas berpendapat ia boleh dipelajari daripada ahli-ahlinya oleh penuntut ilmu yang jujur.
Antara implikasi kepada faham pengislahan yang lebih sempurna ini juga menuntut meningkatkan mutu struktur kerajaan sedia ada untuk benar-benar mencerminkan sifat keadilan manusia sewajarnya. Ini kerana konsep asal ‘kerajaan’ dalam sejarah manusia bermaksud untuk mencerminkan hakikat insan, dan inilah sebab munculnya teori ‘body politic’ di Barat yang juga dibincangkan lebih awal dalam penulisan-penulisan Tadbir al-Madinah (ilmu tadbir bandar dan negara) di kalangan ahli fikir Muslim silam.
Menurut ahli fikir Muslim silam tersebut, kerajaan dan para pentadbirnya perlu melihat diri mereka sebagai satu diri insan: Pejabat Perdana Menteri, badan-badan pemikir, dan majlis-majlis penasihat sebagai intelek seseorang; hal ehwal agama dan kementerian perpaduan negara sebagai hati atau kalbu seseorang; kementerian pendidikan, dan kebudayaan sebagai roh seseorang, dan kementerian-kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan, luar bandar dan sebagainya dilihat sebagai hakikat jasmani diri. Dalam perspektif kerajaan ini, matlamatnya ialah untuk memastikan ‘kesihatan’ terpelihara dengan memastikan semua aspek ‘diri insan’ ini dipelihara secara seimbang.
Mungkin sudah tiba masanya kerajaan melantik ahli fikir dan para sarjana dalam sebuah majlis pakar pengislahan dan juga dalam setiap kementerian untuk menzahirkan keadaan ini secara lebih sempurna. Perkara ini juga pernah disarankan oleh golongan awal kaum Muslimin sebagai contoh, Sayyidina Ali Abi Talib dalam warkahnya kepada Malik Ashtar (Gabenor Mesir): “Lazimilah sebanyak mungkin majlis atau perhimpunan bersama ahli ilmu dan hikmah dan libatkan mereka dalam pelbagai perkiraan kamu, kerana ia sesuai dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara.” Sekiranya persoalan asasi ini diambil perhatian, tidak mustahil Malaysia akan berupaya melonjak sebagai sebuah negara yang menawarkan sebuah model baharu dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan sejagat dan sekali gus menjelmakan suatu kitaran adil (Circle of Justice), keadaan yang sejahtera, dan seterusnya mencapai taraf Negara Madani. Wallahua’lam.