Peranan Peradaban Islam dalam Krisis Alam Sekitar Global
Dalam negara-negara Muslim hari ini, sering kali peradaban Islam tidak lagi dilihat sebagai suatu model pembangunan, suatu sumber pemikiran dan amalan sosioekonomi yang lengkap, apatah lagi sebagai suatu sumber penyelesaian kepada cabaran global semasa seperti yang cuba ditangani oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).
Para pemimpin, pengubal dasar dan golongan terpelajar amnya perlu menggali khazanah peradaban Islam untuk memberikan bantuan kepada dunia yang telah menyedari bahawa takrifan pembangunan kontemporari hanya memberi kita sistem kapitalis yang pincang, krisis alam sekitar yang semakin parah dan golongan belia yang semakin kecewa dengan keadaan dunia hari ini.
Umat Islam perlu insaf bahawa dalam pandangan hidup Islam, istilah “alam” itu sendiri mempunyai medan makna yang tersendiri meliputi bukan sahaja semua yang ada di sekeliling kita, tetapi juga apa-apa sahaja yang ada dalam diri kita yang menunjuk kepada-Nya, seperti yang ditakrifkan oleh ulama silam, Al-Jurjani dalam Kitab al-Ta’rifat: “segala sesuatu selain Tuhan yang menunjukkan kepada-Nya.”
Dengan kata lain, orang Islam yang terpelajar dahulu telah lama mengerti hakikat bahawa terdapat pertalian erat antara kesihatan ruhani perseorangan dengan kesihatan alam tabii.
Ternyata bahawa Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri menjalani gaya hidup yang benar-benar mampan dan merupakan contoh yang terbaik untuk setiap generasi termasuk dalam soal kemampanan dan kehidupan yang seimbang dengan alam tabii.
Pemikir agung Turki, Said Nursi pernah berkata: “Dalam setiap amalan Baginda Nabi, kelakuan harian dan perintah syariatnya, dia memilih jalan kesederhanaan dan menghindari sifat-sifat berlebihan, pembaziran dan kelalaian yang merupakan salah laku dan kegelapan. Baginda benar-benar menjauhi pembaziran dan mengambil berhemah dan bertimbang rasa sebagai panduan dalam ucapannya dan dalam makan dan minum.”
Oleh itu, umat Islam telah lama menyedari bahawa perspektif dan sikap yang betul terhadap alam tabii akan menzahirkan pelbagai amalan kehidupan yang secocok dengan fitrah. Walau bagaimanapun, umat Islam hari ini telah melupakan perkara ini dan menjadi keliru.
Lebih-lebih lagi, pandangan hidup sekular moden yang dipelopori oleh pelbagai pihak sering mengandaikan bahawa alam tabii sebagai dalam keadaan huru-hara (chaos), sebagai tidak sempurna, sebagai automaton yang tidak bermaya dan yang muncul daripada “peluang buta”. Dengan perspektif sedemikian, seseorang tidak akan mengendahkan keseimbangan (mizan) yang tercipta dalam alam tabii, dan tidak akan teragak-agak untuk eksploitasi dan manipulasi alam tabii atas nama “pembangunan”.
Dalam dunia Muslim abad ke-20, para sarjana seperti Said Nursi (Turkiye), Syed Muhammad Naquib Al-Attas (Malaysia) dan Seyyed Hossein Nasr (Iran), antara lain, telah menyatakan dengan tuntas mengenai persoalan ini.
Bagi golongan pemikir Muslim ini, masalah kemerosotan alam sekitar yang meluas dan kehilangan keharmonian dalam alam tabii mempunyai punca yang lebih mendalam: perubahan dalam pandangan hidup yang tidak lagi menganggap alam tabii sebagai suci.
Sudut pandang ini juga disepakati oleh segelintir individu terpelajar Barat. Misalnya, Raja Charles III dari United Kingdom dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 2010 bertajuk, Harmony: A New Way of Looking at Our World, menyebut bahawa: “…apabila kita mendengar perbincangan tentang ‘krisis alam sekitar’… saya mencadangkan bahawa ini sebenarnya menggambarkan akibat luaran dari krisis jiwa yang mendalam. Ia adalah krisis dalam hubungan kita dengan-dan persepsi kita tentang alam, dan ia lahir daripada kebudayaan Barat yang dikuasai selama sekurang-kurangnya 200 tahun oleh pendekatan mekanistik dan sempit (reductionist) terhadap pemahaman saintifik kita tentang dunia di sekeliling kita.”
Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa negara-negara Muslim perlu menganjurkan pendekatan peradaban (whole-of-a-civilization) selain pendekatan keseluruhan masyarakat yang lazim dianjurkan (whole-of-a-society), kerana masyarakat Islam global sepatutnya menjadi umat pertengahan (ummatan wasatan) di bumi pada saat sifat-sifat melampau dalam pelbagai bentuk berleluasa.
Bagi negara-negara Muslim, tumpuan kita harus tertumpu kepada menghasilkan sekali lagi peradaban yang terpuji, kerana peradaban Islam semestinya merangkumi kesihatan ekologi dan ruhani, seperti yang dizahirkan oleh umat Islam terdahulu yang akhirnya diilhamkan oleh Zaman Kesejahteraan Tulen (Asr as-Sa’adah): zaman Baginda Nabi Muhammad SAW.
Mengamalkan pendekatan peradaban ini semestinya memerlukan perubahan sistemik bermula dengan pandangan hidup (worldview) yang menjadi punca kepada perubahan sikap atau tingkah laku yang membawa kepada perubahan beransur-ansur dalam pelbagai bidang dan sektor untuk menjadi lebih selaras dengan fitrah, yakni kecenderungan semula jadi kita yang dicipta oleh Tuhan dan lebih selaras dengan seluruh kosmos.
Hal ini yang demikian memerlukan usaha yang lebih mendalam dalam ruangan pemikiran, dan di sinilah peranan para alim ulama, pemikir dan institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam keseluruhan usaha untuk kelestarian atau kemampanan dan menangani kemerosotan ekologi di bumi ini.
Pendekatan peradaban sedemikian tidak bermakna hegemoni satu peradaban atau agama akan meningkat dengan mengorbankan budaya dan peradaban lain. Sebaliknya, dalam pendekatan peradaban Islam, golongan terpelajar akan mengambil manfaat daripada kebijaksanaan dan ajaran hikmah ajaran tradisional dan agama-agama besar dunia.
Sekiranya langkah ini diambil oleh para pemimpin kita, tidak mustahil Malaysia dan dunia Muslim suatu hari nanti boleh menjadi sebahagian daripada kisah baru kemanusiaan, kemajuan dan ketamadunan yang lebih cerah yang dapat beralih daripada pendekatan sempit ke arah yang lebih holistik.