Malaysia Bukan Negara Sekular
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Begitu jugalah dengan polemik isu seputar persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular. Saya pernah menulis dan menyentuh tentang hal ini dalam akhbar BH pada 29 Mac lalu dan ia telah mendapat respon daripada penulis lain seperti Nizam Bashir dan Mohsin Abdullah. Adalah penting untuk saya membawa kembali topik ini apabila baru-baru ini, timbul lagi kenyataan oleh pihak-pihak tertentu bahawa negara ini merupakan negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya. Ini berbalik kepada persoalan kita, adakah Malaysia sebuah negara sekular?
Menyelak kembali lembaran sejarah, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mula terpakai pada 31 Ogos 1957 sehingga hari ini merupakan satu dokumen yang dapat diterima oleh semua pihak daripada pelbagai latar kaum, bangsa dan agama. Ia merupakan sebuah kontrak sosial yang dipersetujui oleh tiga etnik besar iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan pada masa itu. Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara (Perkara 4(1)) dan merupakan sebuah dokumen penting yang mengambil kira kehendak tempatan. Ia bertitik tolak daripada Suruhanjaya Reid, sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan pada 21 Mac 1956 bertujuan merangka Perlembagaan Persekutuan sebagai persediaan negara mencapai kemerdekaan. Antara perkara penting yang dibincangkan oleh Suruhanjaya itu seperti pembentukan sebuah kerajaan pusat, kedudukan istimewa Raja-raja Melayu dan pengekalan hak-hak istimewa orang Melayu.
Asalnya, tidak terdapat peruntukan Islam sebagai agama negara dalam draf awal Perlembagaan tetapi Hakim Abdul Hamid dari Pakistan telah membangkitkan persoalan tersebut dalam lampiran laporan Suruhanjaya Reid yang turut dianggotai beliau. Kemudian, satu peruntukan tentang Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan atas cadangan Parti Perikatan tanpa mengenepikan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka. Namun begitu, agama-agama lain tidak boleh dikembangkan dan disebarluaskan kepada orang-orang Islam (Perkara 11(4)). Walaupun tiada wakil tempatan, tetapi mujur ada seorang wakil Muslim dalam Suruhanjaya itu.
Jika dibuka Perlembagaan Persekutuan, tiada langsung perkataan sekular dinyatakan. Begitu juga tiada nama agama lain disebut selain Islam. Terdapat banyak bukti jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan mengangkat kedudukan agama Islam melalui beberapa peruntukan seperti Islam merupakan agama bagi Persekutuan (Perkara 3(1)), kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam (Perkara 3(2)), lafaz angkat sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang menyaksikan bahawa baginda berdua sentiasa memelihara agama Islam (Perkara 37) dan kerajaan boleh membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam (Perkara 12(2)).
Beberapa tokoh perundangan dan kehakiman negara seperti Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan negara ini sekular. Menurut beliau, Perkara 3(1) seharusnya meliputi undang-undang utama negara dan tidak disempitkan untuk upacara rasmi keagamaan semata-mata. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas menyatakan bahawa agama Islam bukan hanya semata-mata peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman wajar diteliti dalam mentakrif Perkara 3(1) tersebut.
Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah dalam mentafsirkan Perkara 3(1) menyatakan bahawa: “Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil.”
Memang benar, ada pihak yang menghujahkan Malaysia sebuah negara sekular berdasarkan kenyataan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama pernah menjelaskan dalam sesi Parlimen bahawa negara ini ialah negara sekular dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanya untuk tujuan rasmi negara, namun kenyataan beliau tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sebenar Perlembagaan Persekutuan yang tidak menyebut perkataan sekular. Begitu juga dengan kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 yang mungkin dijadikan hujah bagi sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengiyakan Malaysia bukan negara Islam dan mengesahkan negara ini sebagai negara sekular tentang perayu yang mempertikaikan hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah bercanggah dengan undang-undang Islam.
Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pula berpendapat lazimnya, peruntukan agama rasmi bagi negara tidak dimasukkan dalam Perlembagaan negara dalam sesebuah negara sekular dan tiada peruntukan serta bantuan diberikan bagi aktiviti-aktiviti agama. Ini adalah berbeza dengan negara-negara seperti Turki dan India yang secara jelas menyebut perkataan sekular dalam Perlembagaan mereka. Jika dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkataan ‘agama’ itu sendiri diulang tidak kurang daripada 20 kali. Agama diberikan penekanan dan kedudukan tinggi sekali gus membuktikan Perlembagaan Persekutuan bukan sekular kerana sekular bermaksud mengasingkan urusan duniawi dengan hal-hal keagamaan. Ini sama sekali tidak terjadi berdasarkan peruntukan-peruntukan yang telah dinyatakan di atas.
Berbalik kepada polemik ataupun persoalan tentang Malaysia sebuah negara sekular, ia adalah mungkin kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah negara Islam yang mengundang perdebatan sekarang, malah ia telah lama dibangkitkan semenjak dari zaman Tunku Abdul Rahman lagi sepertimana dibincangkan. Mungkin kerana ketiadaan peruntukan khusus ini jugalah yang menyebabkan pihak-pihak tertentu mempertikaikan perisytiharan yang pernah dibuat oleh Perdana-perdana Menteri Malaysia sebelum ini berhubung Malaysia sebuah negara Islam. Tetapi jika diamati, tidak juga tepat bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular dengan merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam.
Jika Perkara 4(1) telah meletakkan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara, maka peruntukan-peruntukan di dalamnya yang memihak kepada perkara berkaitan Islam, Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu perlu diambil kira dalam membincangkan isu adakah Malaysia sebuah negara sekular? Saya sekali lagi menegaskan pendirian bahawa Malaysia bukan negara sekular.