Ketegasan Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 Dalam Memelihara Kedudukan Agama Islam, Kestabilan Politik Dan Keharmonian Kaum.
Seperti yang kita semua rakyat Malaysia sedia maklum, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober 2023 yang lalu.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari ini. Majlis Raja-Raja (MRR) turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong merupakan satu-satunya jawatan unik dalam dunia. Ini kerana, Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh MRR dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu bagi satu tempoh lima tahun. Pemilihan dibuat dengan cara undian sulit yang hanya boleh dibuat oleh sembilan Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat khas MRR tanpa penglibatan Yang di-Pertuan Negeri-Negeri walaupun mereka ahli mesyuarat MRR.
Berkenaan tatacara pelantikan Yang di-Pertuan Agong, pemilihan tersebut diperincikan dalam Jadual Ketiga baca bersama Perkara 32 dan 33 Perlembagaan Persekutuan.
Seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika Raja itu belum dewasa atau Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih atau MRR mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.
Meskipun begitu, ketetapan ini tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya lima orang anggota MRR telah mengundi menyokongnya.
MRR hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya adalah yang pertama dalam senarai pemilihan. Jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, jawatan Yang di-Pertuan Agong hendaklah ditawarkan kepada Raja yang negerinya adalah yang berikut selepas negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
Apabila Raja yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong menerima jawatan itu, MRR hendaklah mengisytiharkan Raja itu sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
Apa yang menarik dalam sumpah mengangkat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, menurut Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan, ia hendaklah dilakukan di hadapan Ketua Hakim Negara atau sekiranya Ketua Hakim Negara tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu, Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan akan menggantinya dan disaksikan oleh dua orang Sultan.
Dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, diperuntukkan secara jelas lafaz angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong yang mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negara yang telah disah dan dimasyhurkan. Yang di-Pertuan Agong seterusnya mengaku dengan sesungguhnya dan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negara.
Walaupun institusi Yang di-Pertuan Agong hanya wujud sejurus negara merdeka pada 31 Ogos 1957, namun ia merupakan satu institusi yang memain peranan penting dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu institusi yang hanya bersifat istiadat (ceremonial) dan pengesahan semata-mata (rubber stamp). Ia merupakan satu institusi tertinggi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama/Ketua Utama Negara (Supreme Head) bagi Persekutan Malaysia yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas yang diwujudkan di bawah Bahagian XV, lihat bersama Perkara 182 (2) Perlembagaan Persekutuan. Itu pun hanya atas kapasiti hal ehwal peribadi baginda.
Perkara 32(3) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh meletak jawatan dengan mengutus surat perletakan jawatan kepada MRR. Baginda juga boleh diturunkan takhta oleh MRR. Baginda juga tidak boleh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sekiranya baginda bukan lagi Raja bagi negeri baginda.
Berkaitan peranan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak), baginda berperanan supaya perjalanan hal ehwal Islam berjalan dengan lancar melalui penubuhan Majlis Agama Islam Negeri-negeri tersebut/Wilayah Persekutuan demi membantu dan menasihat baginda dalam semua urusan yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam. Ini disebut dalam Perkara 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan pula menekankan tentang kedudukan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang mempunyai Raja.
Justeru, Yang di-Pertuan Agong bukan Ketua Agama Islam bagi Persekutuan.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam adalah terletak secara eksklusif di bawah kuasa Sultan dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tiada Sultan. Pelantikan hakim-hakim di Mahkamah Syariah adalah dibuat oleh sultan-sultan bagi negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Ini termasuk Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Terdapat sesetengah negeri, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam terdiri daripada Raja Muda. Pelantikan Mufti juga terletak di bawah kuasa Sultan-sultan dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah-wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Hal-hal berkaitan dengan pendidikan Islam, pentadbiran masjid-masjid, pertauliahan guru-guru agama dan pendakwah hendaklah mendapat perkenan Sultan-sultan dan Yangdi-Pertuan Agong.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu berperanan membawa arah tuju pembangunan agama Islam di Malaysia. Justeru itu, MRR menubuhkan Majlis Bagi Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) melalui Peraturan-Peraturan MKI pada tahun 1968 pindaan 2022 yang kini dipengerusikan oleh Sultan Selangor.
Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan yang betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) supaya ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggungjawab.
Meskipun Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, kecuali seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, baginda mempunyai kuasa budibicara dan hak prerogatif dalam hal-hal tertentu seperti dalam pelantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan perisytiharan darurat bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman.
Penulis mengambil contoh beberapa peristiwa yang berlaku beberapa tahun kebelakang yang menuntut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mengawal suhu politik yang tidak menentu dan dalam masa yang sama, menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara supaya tidak berlaku kacau-bilau yang boleh mengakibatkan perpecahan dan ketidaktenteraman.
Ini dapat dilihat dengan pertukaran Perdana Menteri sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun dan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Yang paling penting, Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara mempamerkan suri teladan yang baik dengan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dalam menjalankan tugas baginda.
Negara merafak sembah menjunjung kasih ucapan jutaan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ibn Almarhum Sultan Ahmad Shah Yang di-Pertuan Agong ke 16 yang tamat tempoh pemerintahan pada 30 Jan 2024.
Negara mengalu-ngalukan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar menaiki takhta dan bersemayam atas singgahsana, dianugerah hidayah dan taufiq oleh Allah SWT bagi meneruskan kecemerlangan pemerintahan terutamanya dalam menegakkan syiar Islam di Malaysia dan menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, etnik dan agama.
Ketegasan baginda dalam memastikan kehidupan rakyat jelata terpelihara dan kestabilan politik demi ekonomi, sosial dan perpaduan negara sangat-sangat rakyat nanti-nantikan.
Dirgahayu dan Daulat Tuanku!