Pensekularan Akal Fikiran: Musuh Terbesar Manusia?
Sejak awal kurun ke-20, proses pensekularan yang pada awalnya terbatas kepada bangsa-bangsa Barat telah mula tersebar secara meluas kepada seluruh dunia termasuk kepada pemikiran golongan terpelajar di dunia Islam.
Walaupun kini seolah-olah terdapat suatu kesedaran dari pelbagai pihak di dunia termasuk di negara-negara bukan majoriti Muslim seperti China dan Rusia berkenaan cabaran sekularisasi ini, namun ia sering dilihat sebagai suatu pertentangan pemaksaan hegemoni Barat dari sudut hal-ehwal politik antarabangsa atau geopolitik.
Tidak dinafikan, pihak yang teryata menganjurkan proses sekularisasi itu muncul dari negara-negara Barat.
Namun negara-negara Barat hanyalah menghidangkan hasil fikiran dari sekularisasi itu, dan membentangnya sebagai suatu agenda yang positif yang wajar diikuti oleh seluruh dunia.
Yang lebih nyata dewasa ini ialah proses sekularisasi yang telahpun mempengaruhi cara pandang dan cara berfikir golongan cerdik pandai Kaum Muslimin sendiri hatta dikalangan bangsa-bangsa Arab sekalipun.
Mungkin inilah penjelmaan kepada sabda Baginda Nabi salla’Llahu ‘alayhi wa sallam: “Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih di lautan. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”
Para pembaca perlu peka bahawa sekularisasi akal-fikiran Muslim dewasa ini terjadi melalui wahana bahasa, khususnya melalui perubahan atau pembatasan makna-makna kunci yang telah sekian lama membentuk cara pandang (atau ‘perspektif’), serta pemikiran dan kefahaman Kaum Muslimin sejak terbitnya Islam dipersada dunia.
Berikut ialah beberapa contoh:
- Apabila ‘agama’ atau ‘ad-din’ yang digunakan dalam bahasa-bahasa Islami dibataskan atau diubah maknanya merujuk hanya kepada suatu alat kegunaan masyarakat, dan bukan lagi sebagai suatu Kebenaran untuk dihidupkan dalam diri dan masyarakat.
- Apabila ‘ilmu’ diubah maknanya merujuk hanya kepada sebarang maklumat dicapai melalui internet, dan bukan lagi sebagai suatu ‘cahaya’ kefahaman anugerah Allah SWT yang akhirnya menjadi sifat diri seseorang insan.
- Apabila ‘insan’ diubah maknanya merujuk kepada faham ‘homosapien’ yang dianjurkan oleh ahli antropologi Barat dan dinafikan segala hakikat ruhanian diri insan itu, dan bukan lagi faham insan yang merupakan kesatuan hakikat ruhani dan bashari.
- Apabila ‘kesejahteraan’ diubah maknanya merujuk kepada keseronokan aspek kehaiwanan diri, bukan lagi merujuk kepada ketenteraman kalbu hasil daripada kehidupan yang beriman dan berakhlak.
- Apabila ‘pendidikan’ diubah maknanya merujuk kepada penyampaian sejumlah subjek bermatlamatkan keputusan peperiksaan, dan bukan lagi kepada suatu proses untuk mengasah akal, kalbu, nafsu, dan ruh anak-anak kita supaya akhirnya menjadi insan yang adil dan beradab.
Justeru, sekiranya difikirkan, perubahan makna-makna kunci ini menimbulkan ancaman yang halus lagi genting dan mendalam kepada kestabilan sesebuah negara Muslim, dan juga keseimbangan kehidupan secara keseluruhannya.
Sekularisasi inilah akar kepada penyebab hilangnya keseimbangan dalam kehidupan manusia hingga menjelmakan kemurungan pada tahap yang tinggi diseluruh dunia.
Sekularisasi inilah akar kepada penyebab fenomena kerosakan alam sekitar yang tidak pernah terlihat dalam sejarah manusia.
Sekularisasi inilah akar tersebarnya tabiat ketamakan (greed) dan kepenggunaan (consumerism) yang memastikan kerosakan alam sekitar dan kesengsaraan terus terjadi.
Sekularisasi inilah akar kepada penyebab munculnya golongan biadab baharu dikalangan cerdik pandai diseluruh dunia.
Sekularisasi inilah yang mengalih tumpuan negara-negara Muslim kepada bidang disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sahaja, dan mengabaikan agenda Kemanusiaan (Humanities) yang boleh mengangkat taraf keinsanan masyarakat dan penentu sebenar masa depan negara.
Sekularisasi inilah akar kepada perpecahan kepada kesatuan akliah dan agenda keilmuan kaum Muslimin.
Sekularisasi inilah akar kepada penyebab kezaliman dan penindasan yang besar-besaran terhadap pelbagai bangsa, sama ada di Palestin, Pattani, Kashmir, Turkestan Timur, dan lain-lain tempat.
Sekularisasi inilah akar kepada perpecahan negara-negara Muslim yang hanya menumpukan kepada keuntungan masing-masing, dan bukan kepada kejayaan seluruh umat mahupun peradaban Islam.
Perlu diingat, oleh kerana jumlah umat Islam seramai 1.8 bilion dan sepatutnya memainkan peranan sebagai Ummatan Wasatan (Umat yang Seimbang atau Adil) kepada semua umat lain di dunia, maka sekiranya umat Islam tergelincir, seluruh dunia akan terus tergelincir.
Sekali lagi penulis ingin menekankan, apabila kita memberi tumpuan kepada sekularisasi sebagai musuh yang terbesar, ini tidak bermaksud kita mengalih tumpuan kepada masalah dalaman diri-diri Muslim. Tetapi ia bermaksud menumpukan permasalahan halus yang di hadapi oleh cerdik pandai Kaum Muslimin tanpa disedari – yang akhirnya memberi kesan mendalam kepada diri-diri Muslim persendirian dan juga seluruh umat Islam.
Jalan penyelesaian kepada cabaran halus sekularisasi ini tidak lain dari apa yang telah dianjurkan oleh Islam dan para alim ulamak tulen sepanjang sejarah: pulangkan amanah pada ahlinya (merujuk kepada titah Allah swt dalam Surah an-Nisa’ 4:58).
Dalam erti kata lain, memastikan agar para sarjana, ilmuwan, dan pendidik yang peka dengan persoalan sekularisasi ini diberikan ruang dan sokongan untuk menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dari pelbagai sudut khususnya: melatih generasi baharu yang bakal menjadi alim ulama, sarjana, pendidik, dan profesional yang peka dengan soal sekularisasi supaya berupaya memainkan peranan dalam dunia secara berkesan dan berhikmah; menasihati dan membantu pimpinan negara dalam soal agama, pendidikan, bahasa, dan peradaban; dan seterusnya membantu pimpinan dan cerdik pandai dinegara-negara Muslim lain berkenaan persoalan yang sama.
Wallahua’lam.